Kematangan hubungan Atilia & Adam


Ibu Atilia iaitu Salamiah Hassan (kiri sekali) dan ibu bapa Adam (kanan) menjadi orang paling bahagia pada malam resepsi Atilia, Ahad lalu.

Kematangan usia dan pengalaman hidup menjadi resipi utama hubungan pasangan penyanyi bertubuh genit, Raja Atilia Raja Haron, 40, atau lebih mesra disapa Atillia bersama suaminya, Adam Sofian, 37.

Diakui sendiri oleh tuan empunya badan, Atillia memberitahu, hubungan cinta yang terjalin selama enam tahun itu disimpul rapi dalam ikatan toleransi dan kesefahaman bersama dengan jurutera bunyi tersebut.




“Pada usia ini, tiada ada apa yang perlu dikejarkan, malah hubungan kami sebelum ini tidak seperti pasangan lain yang beria-ria bercinta. Usia membuatkan kami lebih tenang mendepani perhubungan.

“Saya percaya, sikap toleransi menjadi resipi utama dalam hubungan ini, lagipun kami bekerja dalam bidang yang sama. Masing-masing sudah faham skop kerja dalam bidang seni,” ujarnya usai majlis resepsi sebelah pihak lelaki yang diadakan di Dewan Perdana, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Disatukan pada 31 Ogos lalu dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang berlangsung di Hotel The Saujana Subang, Atilia sah bergelar isteri kepada Adam dengan hanya sekali lafaz.

Atillia dan Adam kemudian diraikan dalam sebuah resepsi yang diadakan di Dewan Perdana, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu. Serba ringkas, namun masih tampak eksklusif. Begitulah sedikit gambaran keseluruhan resepsi pasangan merpati dua sejoli itu.

Pelamin indah dihiasi dengan bunga berwarna putih serta dekorasi rona krim dan putih menyerlahkan lagi malam yang penuh bermakna buat pasangan mempelai itu.

Tepat pukul 9 malam, pasangan mempelai yang menggayakan pakaian sedondon berwarna putih dan berkonsepkan moden rekaan Rico Rinaldi berjalan masuk ke dalam dewan diiringi paluan kompang dan alunan muzik.

Terus bersanding di atas pelaminan, upacara menepung tawar oleh kedua ibu bapa pasangan serta beberapa tetamu utama dijalankan. Antara tetamu utama yang hadir pada malam penuh bersejarah itu termasuk Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Majlis diteruskan lagi dengan persembahan daripada rakan-rakan penyanyi yang hadir termasuk Ning Baizura, Alyah dan ibu kepada penyanyi itu sendiri, Salamiah Hassan selain persembahan kumpulan penari tradisional.

Meluahkan rasa syukur, Atillia lega apabila segala yang dirancang berjalan dengan lancar. Walaupun diadakan secara sederhana, namun majlis kemeriahan majlis keraian itu tetap terasa.




“Saya sangat bersyukur apabila majlis ini berlangsung dengan lancar. Pada mulanya kami hanya menginginkan majlis resepsi yang diadakan secara bersederhana, namun tidak sangka keluarga Adam pula mahu meraikan kami.

“Selepas ini, saya dan Adam akan sibuk dengan kerja masing-masing. Saya pula akan sibuk dengan kerja-kerja menyiapkan album terbaharu yang dijangka akan diterbitkan menjelang awal tahun depan,” ujarnya.

Ditebak mengenai keistimewaan yang terdapat pada Adam di mata Atilia, pelantun lagu Indah itu memberitahu, dia suka melihat suaminya yang sangat berdisiplin dalam kehidupan hariannya selain seorang yang begitu rajin bekerja.

“Saya suka orang yang tegas. Dia tidak banyak bercakap tetapi bijak menguruskan dirinya dengan cara yang sangat berdisiplin. Hal tersebut membuatkan saya rasa terjamin apabila bersamanya,” ujarnya yang telah pun berbulan madu di Amsterdam, Australia sekitar September lalu.

Ditebak mengenai perancangan masa depan, Atillia memberitahu, dia merancang untuk menimang cahaya mata secepat mungkin memandangkan usianya dan suami sudah meningkat.

“Alhamdulillah, akhirnya saya berkahwin dengan seorang lelaki yang sangat memahami saya. Sekarang ini, fokus kami adalah mahu segera menimang anak. Kalau boleh anak kembar, maklumlah, usia kami pun bukannya muda lagi,” katanya dengan perasaan teruja.
Previous Post Next Post