Kempunan MPV Vellfire, Dan Loka rugi RM100,000



Sikap terlalu mempercayai orang yang tidak dikenali akhirnya membawa padah kepada vokalis kumpulan Loka, Dan Azreen apabila dia ditipu hampir RM100,000 oleh seorang lelaki yang berpura-pura sebagai seorang pegawai kastam.

Menurut anak kepada vokalis Flop Poppy, Andy itu, dia menyerahkan wang tersebut untuk dijadikan deposit pembelian empat buah kereta mewah termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Vellfire idamannya dengan harga yang murah disebabkan kenderaan tersebut merupakan kereta lelongan kastam.

Namun, sehingga September lalu, lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Mohd. Faleq itu gagal memberikan sebarang dokumen yang sah dan menyerahkan kereta tersebut kepada Dan.




Artis Meletop! menghubungi Dan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kes penipuan tersebut. Ikuti luahan kecewa pelantun lagu Jangan Pergi itu.

Artis Meletop! Bolehkah Dan ceritakan perkara sebenar di sebalik kes penipuan tersebut?

Pada mulanya, seorang kenalan memperkenalkan saya kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai seorang pegawai kastam. Individu tersebut mengaku dirinya bertugas untuk menjual kereta yang dilelong oleh pihak kastam termasuk beberapa kereta mewah. Namun, setelah memberikan wang pendahuluan sejak Mei lalu, individu berkenaan lesap tanpa sebarang berita.

Apakah yang membuatkan anda percaya bahawa dia merupakan seorang pegawai kastam?

Saya mula yakin apabila dia menunjukkan bukti termasuk kad kuasa miliknya selain memberitahu, dia boleh membantu mempermudahkan proses pembelian kenderaan lelongan kastam. Malah, dia turut membawa saya dengan tunang dan seorang kenalan ke gudang tempat penyimpanan kereta tersebut di Perak. Konon-kononnya itulah tempat kereta itu disimpan. Lelaki yang dikenali sebagai Mohd. Faleq itu turut membawa saya ke rumah keluarganya di Bota Kiri, Perak untuk berjumpa keluarganya, sekali gus menambahkan keyakinan saya terhadap identiti dirinya.

Bilakah anda tersedar bahawa anda telah ditipu oleh individu tersebut?

Selepas kami menyerahkan wang berkenaan secara tunai kepadanya, dia ada menyerahkan satu salinan geran dan sijil daripada Puspakom. Dokumen itu tidak menyertakan nombor plat kenderaan. Sejak itu iaitu dari bulan Mei sehingga September 2014, dia mula memberikan pelbagai alasan apabila kami mempersoalkan bila kenderaan tersebut boleh dimiliki sehinggalah dia menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga kini.


CONTOH model kenderaan Toyota Vellfire yang mahu dibeli Dan.

Apakah tindakan anda seterusnya setelah ditipu oleh individu tersebut?

Saya telah menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan individu tersebut. Menginginkan kepastian, saya terus merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saya amat terkejut apabila mendapati kereta yang dimaksudkan tidak pernah didaftarkan dan individu tersebut bukan seorang pegawai kastam seperti yang didakwanya. Selepas mendapat tahu hal tersebut, baru-baru ini saya ada membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara dan kes berkenaan sedang dalam siasatan. Saya tidak kembali mencarinya di kampung halamannya di Bota Kiri kerana menyerahkan semua siasatan kepada pihak polis.




Adakah anda menyiasat latar belakang lelaki tersebut setelah anda mendapati bahawa dia telah menipu anda?

Saya telah mendedahkan kes ini di dalam laman sosial. Ternyata, individu tersebut telah melakukan banyak penipuan berhubung jual beli kereta. Malah beberapa rakan dan saudara terdekat saya juga pernah menjadi mangsa penipuan tersebut dengan pelbagai taktik sebelum individu tersebut melarikan diri dengan wang yang telah diberikan kepadanya.

Adakah anda menyesal ataupun serik dengan insiden itu?

Saya menyalahkan diri kerana terlalu mempercayai orang. Langsung tidak terdetik dalam hati saya akan bahawa ditipu sehingga ratusan ribu ringgit. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan terutamanya urusan yang melibatkan wang.

Boleh anda ceritakan sedikit mengenai perkembangan terbaharu karier muzik anda?

Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang kumpulan Loka bakal melancarkan single terbaharu mereka berjudul Teguh Tekadmu menjelang awal tahun hadapan. Saya juga bakal tampil dengan beberapa single solo terbaharu bersama syarikat rakaman Life Records.
Previous Post Next Post