Amal, azam Anzalna


Sejak Ramadan lalu, Anzalna mula membabitkan diri dalam aktiviti amal bersama pesakit kanser.

MELUR & TYME KLCC, 3 petang. Pertemuan serba ringkas itu pada mulanya sekadar bersembang mengenai topik umum, pokok bicara dibiar meliar hingga akhirnya menggenggam erat awan impian yang dipendam pemilik nama sebenar Nur Anzalna Md. Nasir, 26. Kata pelakon kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu dia mahu suatu masa nanti memiliki sebuah yayasan sendiri bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Itu sumbangan saya kepada masyarakat. Untuk memberikan bantuan daripada segi kewangan secara total mungkin tidak mampu tapi sekurang-kurangnya apabila ada yayasan tersebut saya boleh membela nasib individu yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai sudut termasuk moral. Ini memang impian yang saya pasang sebelum bergelar artis lagi,” ujarnya setelah diasak berkali-kali.

Anzalna enggan seandainya dia terlalu bercerita tentang perihal kebajikan dan amal, keterbukaan itu pula menjadi kecaman sebilangan yang kurang senang dengannya. Malah, tidak mustahil sikap ingin membantu Anzalna dilihat satu usaha membeli jiwa peminat.




“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlalu kerap bercerita mengenai aktiviti kebajikan yang saya lakukan. Biar urusan itu melibatkan saya dan mereka (golongan memerlukan) sahaja. Saya risau segelintir masyarakat menilai niat saya bukan-bukan padahal sudah lama saya menyimpan hasrat ini sekiranya saya berkemampuan. Alhamdulillah, biar tidak banyak sekurang-kurangnya senyuman yang terukir di wajah mereka membuatkan hati saya gembira.

“Dedikasi ini tidak berlandaskan sebarang tujuan lain selain membantu individu yang memerlukan namun saya tidak boleh menutup mulut orang untuk melihat setiap perkara yang dilakukan terselindung niat atau muslihat bersifat peribadi,” tambah Anzalna.

DANZ

Sebelum ini Anzalna pernah turun padang membantu golongan kurang berkemampuan sekitar bulan Ramadan lalu ketika tidak sibuk dengan aktiviti penggambaran dan usaha itu kini diteruskan dengan kelahiran label pakaian jenama DANZ. Menerusi usaha tersebut, Anzalna menyalurkan sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh hasil daripada jualan pakaian DANZ untuk didermakan kepada individu yang memerlukan.

“Jenama pakaian DANZ baru sahaja diusahakan bersama kakak kepada teman lelaki saya, Diyanah Zaki. DANZ menjual pakaian yang sesuai untuk semua kelompok wanita yang inginkan nuansa kontemporari dengan harga berpatutan dan mengekalkan ciri-ciri elegan. Kami telah berkolaborasi dengan pereka fesyen terkenal, Cosry dan label pakaian Kree. Kemudiannya, sebahagian keuntungan yang diperoleh daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Kali pertama label pakaian DANZ dibuka untuk jualan kepada orang awam menerusi Starhype Fiesta, The Strand, Kota Damansara pada 29 November lalu dan kata Anzalna usahanya itu membuahkan hasil apabila gerai pakaian yang dibuka itu diserbu peminat. Kedua-dua hari sepanjang beroperasi Anzalna tidak melepaskan peluang untuk turut sama mempromosikan dan menjual pakaian kepada peminat.

“Kalau diikutkan saya bukan seorang yang petah berkata-kata apatah lagi untuk mempromosikan barangan untuk dijual tetapi Alhamdulillah saya banyak dibantu oleh Diyanah yang sangat mahir daripada segi strategi dan pemasaran. Sasaran kami sepanjang dua hari berkampung di Starhype Fiesta tercapai juga,” kata Anzalna yang turut mempromosikan DANZ menerusi akaun Instagram peribadinya dan @danzdesign.

Usaha tersebut disifatkan Anzalna sebagai kesinambungan kepada aktiviti amal yang dijalankan sebelum ini. Daripada sekadar melawat dan membantu mereka, pelakon filem Sepah The Movie itu melihat pelbagai usaha boleh dilaksanakan termasuk melibatkan diri dengan bazar dan jualan amal.

“Boleh dikatakan penubuhan DANZ adalah satu langkah ke hadapan untuk membantu memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Hasil jualan itu akan disalurkan kepada golongan kelainan upaya (OKU), rumah anak yatim, gelandangan dan kanak-kanak yang menderita penyakit kanser,” jelasnya yang akan sekali lagi turun padang sempena KL Calling x Oosha di Citta Mall pada 6 dan 7 Disember depan.

Hilang dari industri


Melihatkan penderitaan pesakit kanser, Anzalna menanam hasrat untuk menubuhkan yayasan sendiri.

Dalam perkembangan lain, Anzalna kini sedang menjalani penggambaran telenovela 148 episod berjudul A Love To Remember bergandingan bersama Hisyam Hamid dan Afiq Muiz. Diterbitkan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd., telenovela yang diadaptasi daripada naskhah asal Siempre Tuya Acapulco itu bakal ditayangkan di beberapa negara luar selepas memeterai perjanjian bersama (MoU) dengan Astro dan TV Azteca, Mexico.

“Saya kini menumpukan fokus dalam menjayakan watak Suraya untuk telenovela tersebut. Syukur kerana cita-cita saya dalam melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa tercapai kerana telenovela ini bakal ditayangkan di beberapa negara luar.

“Ada juga saya terdengar cakap-cakap orang saya sekarang sudah kurang muncul di kaca televisyen, namun sebenarnya saya mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk penggambaran drama A Love To Remember. Oleh kerana pertama kali terbabit dengan telenovela yang mencecah 148 episod, saya perlu memberikan sepenuh konsentrasi terhadap projek ini malah sekiranya ada selang masa diberikan oleh produksi saya akan memanfaatkan tempoh itu bersama keluarga.

“Mungkin peminat jarang melihat saya kerana drama rantaian sebelum ini sudah tamat siarannya dan mungkin selepas ini apabila drama 148 episod ini mula ditayangkan orang akan melihat Anzalna Nasir ‘kembali’ berlakon padahal saya tidak pernah ke mana-mana pun. Prinsip saya, sekiranya tiada sebarang produk untuk dipromosikan tidak perlulah saya ke sana ke mari tunjuk muka. Saya tidak gemarkan publisiti murahan,” tegasnya.

Anzalna tidak risau sekiranya dia dilupakan peminat suatu masa nanti kerana dia yakin setiap usaha yang ditebarkan sepanjang berada dalam lapangan seni akan membuahkan hasil suatu masa nanti.

“Banyak bakat baharu yang mewarnai dunia hiburan sekarang dan saya pun pernah berada dalam situasi berkenaan. Letak ke tepi soal takut dilupakan atau perlunya bersaing sesama artis kerana saya percayakan setiap hasil kerja saya. Misalnya projek besar seperti A Love To Remember yang akan memasuki pasaran antarabangsa tidak lama lagi, saya mahu dikenali sebagai artis yang berkhidmat kepada masyarakat seperti impian saya untuk mempunyai yayasan bagi membantu golongan yang memerlukan terutama pesakit kanser kerana saya mahu dekat dengan mereka dan hati saya mudah tersentuh apabila bersama mereka.

“Jadi, saya tidak takut untuk dilupakan kerana saya mahu menggunakan apa yang ada nanti untuk membantu orang lain,” jelasnya.




Bersih kontroversi

Kepercayaan peminat kepada Anzalna bukan terletak pada nilai kontroversi yang tercetus dari semasa ke semasa, malah pelakon itu jarang terjerat dalam cerita liar yang negatif tentang dirinya. Paling tidak pun sepanjang tahun 2014, Anzalna bersih daripada kemelut yang menjejaskan nama dan kredibilitinya.

Walaupun pernah tercetus sedikit hal yang menjejaskan hubungan baiknya dengan pelakon gandingan dalam sebuah drama rantaian pertengahan tahun ini, Anzalna bijak menangani isu berkenaan dan membasuh segala kelemahan itu dengan janji baharu tahun 2015.

“Tahun 2014 telah merealisasikan impian saya untuk terbang ke peringkat lebih tinggi menerusi telenovela A Love To Remember, siapa tidak menyimpan impian untuk dikenali di pasaran antarabangsa? Kemudiannya, saya berjaya mempunyai label pakaian sendiri yang lebih manis dapat dikongsikan bersama golongan yang memerlukan

“Manakala tahun 2015 pula saya mahu memperkemaskan perjalanan seni dan meneruskan niat saya untuk menyumbang bakti dalam kerja-kerja amal. Pastinya saya mahu menjadi insan yang lebih baik daripada sekarang. Mengenai soal cinta, kita bercerita lain masa,” simpul Anzalna kemas.
Previous Post Next Post