Misi terdesak Gila Baby



APABILA anda terdesak untuk mendapatkan wang, adakah anda sanggup mendapatkannya dari saluran yang salah, biarpun anda sedar ia menjadi satu kesalahan?

Begitulah kisah mengenai filem terbaharu arahan Kabir Bhatia yang diinspirasikan oleh Elmy Khalim.

Cerita ini berdasarkan kisah atau kehidupan seharian kita yang keluar dari zon selesa. Ia mengisahkan bagaimana seorang lelaki biasa yang mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada orang lain.

Hasilnya dia terjebak dengan pengalaman yang sememangnya gila dan lain daripada yang lain. Selepas terjebak, dia merasakan perkara yang terjadi tidak boleh diulang semula.




Justeru itu, dia mengambil keputusan untuk terus berdepan dengan dugaan dan cabaran yang dihadapinya.

Secara ringkasnya, filem yang diterajui oleh Beto Kusyairy, Nadiya Nisaa’, Sharnaaz Ahmad, Chew Chew Kin Wah, Adlin Aman Ramlie, Jalil Hamid, Lan Pet Pet, Fimie Don dan Chelsia Ng bersama pelakon tambahan lain mengisahkan kehidupan Bob (Beto) yang terdesak memerlukan wang yang banyak bagi membiayai kos pembedahan ayahnya di hospital.

Dengan mengambil jalan mudah, Bob membantu Roy (Sharnaaz), bekas teman sekelasnya di sekolah yang selalu membulinya dahulu untuk melakukan jenayah mencuri kereta.

Walaupun percubaan pertama Bob untuk aktiviti jenayah tersebut berjaya tetapi ada seorang bayi di tempat duduk belakang kereta yang dicurinya itu.

Bob kini mendapati dirinya diburu oleh beberapa pihak yang tidak akan berhenti selagi Bob dan bayi tersebut tidak ditangkap. Untuk mengeruhkan lagi keadaan, dalam perjalanan menyelamatkan diri, Bob bertemu Jaja (Nadiya) yang mengugut Bob untuk membawanya sekali kerana ingin lari dari masalahnya sendiri.

Penuh pengajaran

Secara keseluruhannya, apa yang boleh penulis simpulkan, filem Gila Baby adalah sebuah filem yang simple dengan jalan cerita yang mudah difahami.

Namun filem ini tersirat pelbagai pengajaran penting untuk diteladani bersama. Ia memperlihatkan bagaimana kita perlu berusaha untuk dapatkan sesuatu dengan cara yang baik.

Fokus dengan apa yang kita buat dan paling penting bersikap jujur. Selain itu filem ini juga sarat dengan nilai kemanusiaan yang wujud secara nyata di dalam filem ini.




Gandingan bersahaja

Sementara itu, dari segi lakonan pula, pemilihan Sharnaaz sebagai gangster merupakan pemilihan yang tepat. Walaupun kerap membawa watak antagonis, namun dia tetap berjaya memberi kelainan kepada karakter Roy.

Manakala lakonan Beto seperti biasa tidak menghampakan, di mana watak Bob yang nekad dalam kehidupannya tapi dalam masa yang sama mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

Kehadiran Nadiya pula penulis lihat sekadar pelengkap kepada filem ini. Namun yang menariknya adalah sedutan babak filem lain yang dipaparkan pada penghujung filem menunjukkan Nadiya atau Jaja mempunyai kesinambungan dengan sebuah filem lain bersama Beto dan Que Haidar.

Namun secara keseluruhannya, filem ini agak menarik untuk ditonton dan bagi yang ingin mengetahui nasib Bob dan dapatkah Bob menyelamatkan dirinya daripada pihak berkuasa dan dalam masa yang sama menyelesaikan pembiayaan pembedahan ayahnya?

Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

Previous Post Next Post