Nastia, Emosi panggung Esok Belum Tiba


NASTIA

SAAT memutarkan trek pertama yang terkandung dalam album debut Nastia, Esok Belum Tiba, gemuruh adrenalin yang berada dalam keadaan pegun terus memuncak.

Paduan instrumen kerincing yang diselang-selikan dengan bunyian elektronik pada bahagian intro dijalin kemas menerusi karya yang diberi judul 1. itu.

Lagu yang dilatari bunyi tepukan tangan dan suara koir yang hanya menyebut: ‘La la la la’, memberikan suasana sinematik yang begitu berbeza sebagai trek pemula untuk sesebuah album.




Bagaikan sebuah cerita, lagu berbentuk instrumental tersebut kemudiannya bersambung dengan trek kedua berjudul Kisah Kita.

Menerusi lagu yang turut mendapat sentuhan AG Coco itu, lenggok suara vokalisnya, Leo Azman kedengaran begitu lunak melagukan karya berkenaan sambil ditemani kehadiran bunyi halus petikan gitar dan akordian.

Lantunan suaranya sekali lagi menangkap gegendang telinga tatkala trek ketiga yang berjudul Anggur mula dimainkan.

Indah berteman ketukan piano, karya yang bermula sedikit perlahan itu akhirnya berganjak ke posisi moderate, menjadikan ia kedengaran lebih berat dan sedikit melankolik.

Penceritaan yang cuba disampaikan oleh kumpulan yang dianggotai oleh empat orang anak muda ini diteruskan menerusi lagu berjudul Esok Belum Tiba.

Istimewanya, lagu yang mendapat sentuhan Leo Azman dan Rudy ini turut menampilkan vokal penyanyi Liyana Fizi. Sekali lagi, elemen sinematik yang digunakan pada dua lagu terawal disuntik ke dalam lagu ini.

Secara lahirah, konsep unik yang cuba diketengahkan oleh Nastia ternyata menjadi. Lagu-lagu di dalam album pertama mereka bagaikan dicangkuk lalu digubah menjadi rantai yang panjang bagi menceritakan sebuah cerita lengkap untuk disajikan kepada pendengar.

Pengalaman mendengar lagu-lagu yang terkandung di dalam Esok Belum Tiba sama seperti menonton sebuah karya filem sambil ditemani dengan skor muzik dan lagu-lagu runut bunyi.

MTV Nastia - Esok Belum Tiba ft. Liyana Fizi




Previous Post Next Post