Wings kekal dengan (dari kiri) Eddie, Joe, Awie dan Black untuk siri jelajah Konsert Menakluk Kosmos.
DIMULAI dengan Belenggu Irama, Hukum Karma, Teori Domino, Jerangkung Dalam Almari dan Bazooka Penaka yang dirakam antara 20 hingga 28 tahun yang lampau, kemudian yang terakhir Naga Kramat sekitar 13 tahun lalu, itu semua bukti pencapaian kepada legasi sebuah ‘kerajaan’ rock atas nama Wings.
Tiga belas tahun tanpa album baharu, Menakluk Kosmos yang dilancarkan Mei 2014 menjadi gerakan era masa kini kepada empat pemilik sayap, Awie, Joe, Eddie dan Black untuk terus beraja di takhta mereka.
Selepas enam bulan menemui peminat, album yang dinanti-nantikan sejak lebih sedekad itu tidak mahu dibiarkan tersusun di atas rak kedai-kedai muzik, menunggu untuk dijenguk dan diselak tanpa semboyan vokal dan gema yang mengaum ke penjuru alam. Menakluk Kosmos pernah berdepan cetak rompak sebelum ia dilancarkan, namun semangat juang Wings tidak tersadai di pertengahan jalan.
Perhitungan dibuat, strategi telah disusun dan kini gerakan Menakluk Kosmos sudah menandakan daerah pertama yang bakal mereka gegarkan. Tidak Hanya Bisa Yang Tertunda, Ingatkan Dia, Peti PandoraMu, Raja Segala Duri, Segitiga Piramida dan Penanti yang sudah panas untuk dilancarkan sebagai peluru, jelajah yang diberi jenama Konsert Wings Menakluk Kosmos itu akan dipadukan dengan lagu-lagu hit daripada album-album terdahulu.
Lagu-lagu seperti Ranggi Metropolis, Sejati, Opera Hidup, Hukum Karma, Taman Rashidah Utama dan Bujang Senang, sekadar menyebutkan beberapa judul, rantaian lagu berkenaan antara yang dijanjikan untuk peminat menjelang Konsert Menakluk Kosmos di lokasi pertama yang akan berlangsung di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 27 Disember nanti.
Selepas di Seberang Jaya, jelajah itu akan bergerak ke timur, ke Stadium Tertutup Kuala Terengganu, Terengganu pada 9 Januari tahun depan dan seterusnya menuju ke selatan iaitu Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menjelang 31 Januari 2015.
“Kami sengaja memilih lokasi di utara tanah air sebagai lokasi permulaan, kemudian ke timur dan seterusnya selatan tanah air. Jarak lokasi itu tidak terlalu dekat, jadi peminat ada zon tersendiri untuk memilih lokasi konsert yang paling hampir dengan mereka.
“Kalau ikutkan sejarah, kali terakhir Wings menjayakan konsert jelajah begini sewaktu album Jerangkung Dalam Almari sekitar 1993 dahulu, kemudian Double Trouble pada tahun 2010. Perasaan untuk turun ke konsert jelajah bukan selalu dapat, ikutkan kami nak buat selalu.
“Kali ini, kami (Wings) sendiri yang merancang dan menganjurkan jelajah ini. Kalau tunggu penganjur lain, sampai sudah pun tidak merasa. Joe menerusi syarikatnya, Anggerik Events akan bertindak sebagai pengelola dan kami berharap agar diberi kemudahan dan kesihatan yang baik untuk menjayakan konsert ini,” ujar Awie, rockers yang laris bukan sahaja yang di pentas konsert, bahkan filem dan teater.
Tidak hanya di tiga lokasi (Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu), Wings turut merancang untuk membawa Konsert Menakluk Kosmos ke lokasi lain termasuk Singapura, Sabah dan Sarawak.
HAMPIR 30 tahun dalam industri muzik di Malaysia, Wings masih punya tenaga dan gagah ‘bersayap’ untuk terus menakluk jiwa dan telinga peminat mereka.
“Kami mungkin akan mengakhiri konsert jelajah itu di Stadium Putra, Bukit Jalil, setakat ini perancangan itu ada tetapi kami mahu fokus terhadap tiga lokasi pertama terlebih dahulu,” ujar Joe yang menggerakkan penganjuran konsert itu tanpa sokongan penaja besar.
Menganggap kesukaran penajaan besar sebagai alah bisa tegal biasa, Awie tetap berbesar hati atas sokongan pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup bersama-sama mereka menjayakan konsert jelajah itu.
“Sokongan yang diterima setakat ini sudah cukup memberikan kami semangat untuk meneruskan perjalanan seni dan kelancaran konsert itu nanti. Sejak tahun 1987 hinggalah 2014, pemuzik macam kami masalah penajaan. Kalau kami tidak berusaha sendiri, tak makanlah kami,” jelas Awie mewakili anggota Wings yang lain.
Seperti berkerat rotan dengan syarikat rakaman, KRU Music yang menerbitkan album Menakluk Kosmos, konsert jelajah itu juga langsung tidak melibatkan KRU dalam perancangan mereka.
“Apa yang kami buat ialah kami akan bawa album berkenaan untuk dijual di lokasi-lokasi konsert nanti,” jelas Awie yang berhasrat untuk mengembalikan momen zaman kegemilangan Wings sebelum ini di konsert tersebut.
Tambahnya lagi: “Kami nak kembalikan momen konsert zaman dahulu. Kami akan muncul dengan empat orang ahli Wings tanpa pemuzik undangan kecuali seorang pemain keyboard. Bila sebut konsert, peminat tahu bagaimana rasa konsert itu. Kalau sudah buat konsert di Istana Budaya, banyak protokol yang harus diikuti. Untuk konsert jelajah nanti, kami akan kembali kepada cara kami, tiada gimik tapi aksi spontan yang berlaku atas pentas itu yang seronok.”
Penjualan album 15,000 unit
Ketika album fizikal sukar menguasai pasaran muzik, Wings setidak-tidaknya berbangga kerana album Menakhluk Kosmos sudah terjual sebanyak 15,000.
“Itu juga satu fenomena tapi kali ini kami akan bawa album kami untuk dijual di lokasi konsert. Hak cipta album itu masih milik KRU tapi kami mahu jual sendiri album kami ikut cara kami,” tutup Awie yang berharap dapat mengembalikan keyakinan peminat agar membeli album fizikal di pasaran.