LAGU Hakeleh dicipta sepenuhnya oleh SonaOne termasuk lukisan kartun yang direka khas dalam klip video lagu berkenaan.
Sejak membolot tiga anugerah iaitu Lagu Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) yang berlangsung baru-baru ini, SonaOne meraih perhatian berganda daripada peminat serta penggiat industri seni.
Masakan tidak, lagu berjudul No More nyanyian dan ciptaan SonaOne itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi lagu bahasa Inggeris pertama yang dinobatkan sebagai Lagu Terbaik dalam sejarah penganjuran anugerah berprestij tersebut.
Bertemu dengan SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Lozach, 26, pada majlis sidang akhbar pelancaran single terbaharunya berjudul Hakeleh di pejabat Sony Music Malaysia di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, dia mengaku masih terkejut atas kemenangan dan perhatian yang diterimanya itu.
Meskipun masih belajar mendalami bahasa Melayu, SonaOne yang berdarah campuran Melayu-Perancis bakal menarik perhatian peminat muzik tempatan apabila melancarkan lagu bahasa Melayu pertama ciptaannya berjudul Hakeleh. Pada masa yang sama, Sonaone juga berkongsi cerita tentang perjalanan kerjaya seninya yang telah bermula sejak enam tahun lalu.
Artis Meletop!: Tahniah atas kemenangan di AIM21. Apakah perancangan SonaOne selepas ini?
Sonaone: Sebenarnya saya masih terkejut dengan kemenangan di AIM21. Saya juga sedar selepas menang tiga anugerah di AIM21, harapan khalayak terhadap karya saya semakin tinggi.
Memang pencapaian itu memberi sedikit tekanan, bagaimanapun saya bersyukur kerana hasil kerja saya diiktiraf. Perancangan selepas ini, saya akan terus berkarya dan akan tampil dengan lagu bahasa Melayu pertama berjudul Hakeleh.
Mengapa baru sekarang anda hendak tampil dengan lagu bahasa Melayu?
Sebelum ini saya hanya buat lagu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sahaja kerana itu zon selesa saya. Bagaimanapun, harus saya akui, siapa yang mahu dengar lagu bahasa Perancis di Malaysia, lagu bahasa Inggeris ada juga pendengar tetapi tidak menyeluruh.
Jika saya ingin meluaskan penguasaan muzik saya kepada peminat tempatan, saya harus buat lagu bahasa Melayu.
Bagi saya, itu satu cabaran yang besar. Saya terpaksa membuka kamus dan mengambil masa yang agak lama iaitu empat bulan untuk menyiapkan lagu Hakeleh tapi saya berpuas hati dengan hasilnya.
Dalam banyak perkataan bahasa Melayu mengapa anda memilih Hakeleh untuk dijadikan lagu?
Masa saya mula belajar bercakap bahasa Melayu, perkataan ‘hakeleh’ yang mula diperkenalkan kepada saya oleh rakan-rakan. Apabila saya cuba mencari terjemahannya dalam bahasa Inggeris, saya tidak jumpa. Ini bermakna ia bahasa pasar yang hanya digunakan di Malaysia sahaja, sekali gus memberi idea kepada saya untuk membikin lagu berdasarkan perkataan ‘hakeleh’.
Lagu itu menceritakan kisah seorang yang berlagak hanya pada stail dan muzik bukan kerana kekayaan sebab saya sendiri memang bukan orang kaya (ketawa).
SONAONE bersama trofi anugerah yang dimenanginya pada AIM21 baru-baru ini.
Dalam lagu Hakeleh ada diselitkan melodi daripada lagu kumpulan KRU dan Nico, adakah anda mendapat persetujuan mereka untuk memuatkan lagu tersebut di dalam lagu Hakeleh?
Kalau ikutkan adat resam hip hop, apabila saya menyelitkan lagu orang lain di dalam lagu saya, bermakna saya menghormati dengan memberi tribute kepada mereka. Itu satu kebiasan bagi pengamal muzik hip hop. Bukannya saya menciplak keseluruhan lagu tetapi hanya mengambil pengenalan muzik mereka dalam beberapa saat sahaja. KRU dan Nico merupakan idola saya.
Mereka antara kumpulan pertama yang menaikkan muzik hip hop di Malaysia. Memang saya tidak tanya kepada mereka terlebih dahulu tapi saya harap mereka okey dan merestui tindakan saya. Mungkin saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat dan memberitahu tentang perkara ini.
Sebenarnya adakah anda fasih berbahasa Melayu?
Saya boleh bercakap dalam bahasa Melayu tetapi ada sesetengah perkataan atau bahasa kiasan yang saya tidak faham. Saya tinggal di Perancis sejak lahir dan hanya balik ke Malaysia pada usia 12 tahun. Sejak itu, saya bersekolah di sekolah Perancis di sini, jadi pergaulan dan pertuturan banyak dalam bahasa Perancis dan bahasa Inggeris sahaja. Pada usia 17 tahun, barulah saya bercakap dalam bahasa Melayu kerana ketika itu saya sudah mula bergaul dengan ramai rakan Melayu.
Adakah anda selesa dengan perhatian yang diberikan peminat ketika ini?
Semuanya berlaku secara mendadak. Selepas saya menang pada AIM21, kehidupan saya agak berubah. Bayangkan, satu malam sahaja jumlah pengikut di laman Instagram meningkat daripada 18,000 kepada 22,000 orang. Saya terkejut dan pada masa yang sama bersyukur kerana perhatian diberi oleh peminat. Itu bermakna muzik saya diterima oleh mereka.
Sejak popular, kisah silam anda mula diperkatakan iaitu kontroversi pergaduhan anda bersama seorang kerabat diraja pada tahun 2012. Apa reaksi anda?
Semua orang ada kisah silam dan kontroversi pergaduhan itu sudah menjadi sejarah. Saya tidak mahu lagi memandang ke belakang, apa yang sudah lepas biarlah berlalu. Sekarang, fokus saya hanyalah kepada muzik. Jika ada juga orang ingin membangkitkan isu itu, siapa saya untuk menutup mulut orang lain. Apa yang penting, saya sudah pun melangkah ke fasa seterusnya.
Muzik Video SonaOne - No More