NAMA pelakon kacak, Aaron Aziz, sememangnya lebih sinonim dalam dunia lakonan, apatah lagi, di sepanjang penglibatannya dalam dunia glamor, dia sudah meraih banyak anugerah.
Pun begitu, tidak bermakna, Aaron hanya selesa berada di takuk lakonan sahaja tanpa mencuba cabang industri yang lain.
Dengan penghasilan filem yang bakal ditayangkan pada 8 Januari depan, Romeo Kota, ini membuktikan bahawa Aaron bukan hanya memiliki ilmu lakonan semata-mata.
Bertindak sebagai pengarah filem, Romeo Kota merupakan taruhan pertama Aaron dalam dunia pengarahan.
Mengakui perlu berdepan dengan banyak cabaran dalam kerjaya baharunya ini, Aaron menganggap ianya sebagai pengalaman dan ilmu yang dikutipnya dalam bidang ini.
“Sejujurnya, pada awal pembabitan saya dalam bidang ini, saya memang fokus kepada lakonan sahaja. Namun, pelawaan daripada pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, memberi peluang kepada saya.
“Apabila difikirkan semula, saya rasa inilah peluang yang ada untuk meningkatkan ilmu, bukan sahaja dalam bidang lakonan malah pengarahan.
“Saya menghargai pelawaan itu dan berterima kasih kepada pihak penerbitan kerana mempercayai kredibiliti saya untuk menghasilkan filem ini,” katanya.
Selain mengarah, Aaron juga bertindak sebagai pelakon filem terbitan, Excellent Pictures Sdn Bhd ini bersama pelakon popular, Nabil (Raja Lawak) dam Hanis Zalikha.
Filem bergenre komedi dan aksi ini mengangkat kisah Maria, seorang pelajar kolej yang ditemui koma di tepi jalan dan disahkan doktor telah menelan dadah berlebihan. Koperal RomiI dan Lans Korperal Fakrul, penyiasat yang telah ditugaskan untuk menyelesaikan kes tersebut untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui siapa dalang di sebalik kejadian itu. Mereka ditugaskan secara samaran di bawah kod ‘KRIPTIK’ dan diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.
Imbangi tugas
Bukan mudah untuk menggalas dua tugas dalam satu masa apatah lagi filem ini melibatkan babak-babak aksi walaupun diadun dengan genre komedi.
Akui Aaron, pada awalnya dia berdepan dengan kesukaran untuk mengimbangi watak dan tugasnya sebagai pengarah.
Pun begitu, jelasnya, walaupun penat dan tertekan dalam memikul dua tanggungjawab yang perlu digalas, ianya perlu diatasi dengan baik agar tidak menjejaskan karya dan lakonan.
“Alhamdulillah, saya dapat mengimbanginya dengan baik dan banyak perkara yang dapat dipraktikkan hasil daripada pemerhatian dan pembelajaran ketika bekerja di bawah pengarah lain sebelum ini.
“Sebelum ini, saya ada terlibat dalam pembikinan beberapa drama dan projek kecil lain seperti klip video. Jadi, dengan pengalaman itu, saya yakinkan diri untuk menjayakannya.
“Kalau nak kira penat, memang penat. Namun, saya perlu memastikan hasil kerja pertama saya ini berhasil dan dapat dibanggakan,” katanya lagi.
Tambah Aaron, Idham banyak membantunya ketika berada di lokasi terutama sekali dari segi aspek teknikal filem tersebut.
“Dia (Idham) banyak membantu saya. Walaupun dia menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada saya, namun dia tetap memberi tunjuk ajar,” katanya.
Berdepan kontroversi hebat
Perjalanan Romeo Kota bukanlah semudah yang disangka apabila Bintang Paling Popular 2011, ini turut berdepan dengan kontroversi hebat mengenai kerja pengarahannya.
Ketika proses penggambaran filem ini sedang berjalan, Aaron dikatakan tidak memiliki permit untuk mengarah dan didakwa melanggar peraturan negara serta memalsukan maklumat dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).
Akui Aaron, itu bukanlah kali pertama dia diserbu malah sudah tiga kali dirinya berdepan dengan permasalahan ini.
“Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pernah membuat pemeriksaan sama ada saya memiliki permit ketika berlakon dalam filem KL Gangster serta drama Adam Dan Hawa dahulu.
“Saya sudah lali dengan perkara ini bagi saya, sekiranya rezeki saya masih dalam bidang ini, saya akan bertahan dan menganggapnya sebagai dugaan.
“Pun begitu, saya bersyukur kerana kontroversi berkenaan tidak menjejaskan tumpuan saya dalam kerja pengarahan. Semuanya berjalan dengan lancar,” katanya lagi.
Walaupun berjaya menyiapkan tugas yang diberikan, namun Aaron tidak bercadang untuk meneruskan kerjaya pengarahannya buat masa terdekat ini.
“Cukuplah ini saja dulu. Rasanya saya belum bersedia untuk mengarah filem apatah lagi drama buat masa ini.
“Saya terima tawaran itu kerana kepercayaan Idham terhadap saya, namun kerjaya asal saya masih lagi pelakon,” katanya.
Kurang sebulan lagi filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tempatan, Aaron juga teruja menunggu maklum balas daripada penonton terhadap filemnya itu.
“Selepas melalui beberapa proses suntingan, saya lihat ramai yang suka dan tertarik dengan filem ini termasuk pihak produksi sendiri.
“Ianya sangat berlainan daripada filem lain apatah lagi saya berjaya mengubah personaliti pelakon terutamanya Nabil dan Hanis daripada watak yang biasa mereka bawakan,” katanya yang bakal muncul dalam beberapa drama tempatan termasuk, Suamiku Encik Perfect 10.
Tak halang minat anak
Menariknya, filem pertama Aaron ini turut menguji kemampuan anak keduanya, Dwi Ariana, 6, dalam bidang lakonan.
Menurut Aaron, penglibatan anaknya dalam filem itu adalah secara tidak sengaja apabila dia menggantikan salah seorang watak kanak-kanak.
“Dari pemerhatian saya, antara Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, 2 tahun, Dwi lagi menyerlah dalam bidang lakonan.
“Saya melihat Dwi memiliki bakat tersendiri dan mudah menghafal skrip serta menghayati watak yang diberi. Sebelum ini, dia juga pernah ditawarkan untuk berlakon filem, Disney Land.
“Setelah memujuknya, dia setuju untuk menggantikan pelakon kanak-kanak yang tidak dapat hadir itu,” katanya yang tidak menghalang minat anak-anak dalam apa jua bidang yang ingin diceburi.
Malah, sebelum ini, Aaron juga sering membawa ketiga-tiga anaknya ke lokasi penggambaran untuk memberi pendedahan kepada mereka dalam bidang tersebut.