PERTAMA kali menonton karya Nik Amir Mustapha, KIL, penulis terus 'jatuh cinta' dengan hasilnya.
Apatah lagi, penulis bukan di kalangan mereka yang gemar menonton filem indie atau filem yang penuh dengan bahasa seni.
Namun dengan sedikit sentuhan komersial, KIL berjaya menarik perhatian penulis dengan jalan cerita yang bersahaja, teguran halus dan lakonan yang mantap.
Kini apabila Nik Amir kembali dengan naskhah terbarunya, Terbaik Dari Langit (bahasa Inggeris: Nova), sebuah filem yang bercorak kembara dan fantasi.
Sekali lagi, Nik berjaya menarik perhatian bukan sahaja penulis malah pengikutnya dengan sentuhan seni yang tersendiri dalam filemnya ini.
Filem yang memperlihatkan Redza Minhat selaku Lakon Layar, mempertaruhkan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Iedil Putra, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Sharifah Amani dan Siti Saleha.
Filem ini mengisahkan seorang jejaka bernama Berg (Bront Palarae) yang merancang sebuah pengembaraan bersama empat rakannya untuk mencari kebenaran mengenai kisah UFO. Namun, di sebalik perjalanan yang jauh itu, mereka akhirnya menyedari sesuatu yang tidak pernah dijangkakan sebelumnya.
Mendengar judulnya, atau melihat kepada sinopsisnya iaitu kisah lima sekawan yang merancang sebuah pengembaraan untuk mencari kebenaran mengenai kisah UFO, anda barang kali merasakan Terbaik Dari Langit adalah sebuah karya picisan.
Namun bagi penulis sendiri, tatkala menonton filem ini dan sebaik menonton keseluruhan filem ini, ingatan penulis terlayang kepada kenangan ketika zaman persekolahan.
Mengapa penulis katakan begitu? Kerana Nik selaku pengarah telah menggarap sebuah jalan cerita yang mengangkatkan erti sebuah persahabatan, semangat setia kawan.
Terbaik Dari Langit adalah sebuah kisah mengenai Berg (Bront Palarae), seorang pembikin filem. Berg menemukan semula rakan-rakan sekolah yang telah terpisah selama 15 tahun untuk membikin sebuah filem pendek yang melibatkan sebuah UFO.
Berg yakin dia akan dapat mencari UFO yang telah dilihatnya ketika dia dan rakan-rakannya keluar dari kawasan sekolah asrama di waktu malam.
Dia merahsiakan penyakit kanser otak tahap keempat yang dihidapinya daripada rakan-rakannya. Ini mungkin peluang terakhirnya untuk membikin filem. Berg terpaksa mengambil ubat penahan sakit sepanjang perjalanan.
Rakannya Ijam (Iedil Putra), seorang selebriti, mengikuti pengembaraan ini sebelum pernikahannya dengan Zelda (Siti Saleha), yang merupakan anak kepada seorang usahawan berjaya.
Toyu (Amerul Affendi), rakan Berg yang berkulit gelap pula seorang yang lemah lembut dan sensitif. Toyu telah meninggalkan impiannya untuk menjadi seorang pelukis kerana kerjayanya sebagai seorang guru.
Ali (Megat Sharizal), yang tidak menamatkan persekolahannya kini seorang usahawan kecil-kecilan. Perniagaannya kurang memberangsangkan, dan kini menghadapi kewangan. Hanya Ali sahaja yang tahu tentang penyakit kanser Berg.
Sofia Jane (Nadiya Nisaa), seorang pelajar bidang perubatan turut sama dalam perjalanan ini selaku pelakon filem pendek itu.
Pada mulanya, semuanya kelam kabut dan mereka mula mempertikaikan kebolehan Berg mengarah. Keadaan semakin tegang apabila Ijam jelas masih tidak memaafkan Ali kerana telah mengakibatkan dia digantung sekolah dulu.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila UFO yang dinanti-nantikan tidak muncul di tempat yang telah Berg jangkakan. Berg mahu terus mencuba, dan meneruskan perjalanan ke sekolah menengah asal mereka.
Kumpulan itu berpecah, namun sesuatu berlaku sehingga mereka sesuatu yang tidak pernah dijangkakan sebelumnya.
Secara keseluruhannya, filem ini adalah sebuah filem yang penuh dengan sentuhan seni, signifikan yang tersendiri dan sindiran halus yang perlu difahami.
Anda barang kali perlu memikirkan perjalanan filem ini jika anda gemarkan filem-filem yang bergenre komedi, seram atau romantik.
Namun bagi anda yang mudah memahami filem yang menyelitkan banyak signifikan dalam sentuhan filemnya, maka anda akan memahami keseluruhan jalan cerita ini.
Biarpun mungkin tampak mengarut dengan kisah mengejar UFO, namun apa yang Nik cuba sampaikan adalah sebaliknya. Ia adalah bagaimana kita sebagai manusia yang tidak perlu berputus asa dalam mengejar apa yang kita impikan atau apa yang kita angankan sehingga berjaya.
Selain itu, filem ini juga memperlihatkan bagaimana lima orang sahabat yang tidak memahami satu sama lain pada awalnya, akhirnya boleh melihat apa itu semangat setia kawan.
Bukan itu sahaja, Nik turut menyelitkan beberapa sindiran halus kepada penonton yang mungkin ada di antaranya mempertikaikan hasil kerja seorang pengarah tanpa memahami apa yang cuba disampaikan.
Malah ada sesetengah penonton juga lebih suka menonton filem yang selamat seperti filem hantu, zombi, komedi dan sebagainya. Biarpun kedengaran agak kasar, namun ia adalah sebuah realiti pada masa kini.
Trailer: Filem Terbaik Dari Langit
Lakonan mantap
Seperkara lagi yang menarik mengenai filem ini adalah gabungan sentuhan sinematografi, pencahayaan, kesan bunyi dan juga CGI yang cukup rencahnya.
Ia menjadikan hasil filem ini lain daripada lain dan bersesuaian dengan keseluruhan jalan cerita filem ini.
Manakala dari segi lakonan pula, pemilihan para pelakon sangat bertepatan dengan watak masing-masing, dan pendapat penulis, sudah tiba masanya perhatian diberikan kepada Amerul Affendi yang berjaya membawakan watak Toyu dengan baik sekali.
Secara keseluruhannya, filem Terbaik Dari Langit adalah sebuah filem yang perlu untuk anda tonton dan anda akan berpuas hati dengan hasilnya.