Sisi bahagia Keira Knightley


LEBIH setahun mendirikan mahligai bahagia bersama pemuzik terkenal, James Righton, semestinya kehadiran cahaya mata menjadi pertanyaan ramai.

Malah sebelum ini, khabar angin mengenai kehamilan Knightley sudah biasa didengari namun ianya seakan beredar dibawa angin lalu.

Setelah lama menunggu akhirnya, penantian Keira Knightley, membuahkan hasil apabila dia disahkan hamil anak pertama mereka. Perkara ini diumumkan sendiri oleh pihak pengurusan Knightley.

Difahamkan, menerusi laporan antarabangsa Page Six, pelakon filem, The Imitation Game, ini telah hamil tiga bulan.

Walaupun perkara itu tidak diumumkan sendiri secara rasmi oleh Knightley sendiri, namun perkhabaran ini kemungkinan besar adalah benar. Malah, ada sumber memberitahu bahawa 'baby bump' Knightley sudah mula kelihatan.

Kemungkinan besar, sedikit masa lagi, pasangan ini akan tampil memberi penjelasan mengenai kehamilan itu.

Knightley dan Righton mendirikan rumah tangga pada 4 Mei tahun lalu dalam majlis tertutup di selatan Perancis yang hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja.

Pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta sejak awal tahun 2011 setelah berpisah dengan bekas kekasihnya, Rupert Friend.




Tolak watak Elizabeth Swann

Membintangi tiga filem pertama dari sekuel, Pirates of the Carribean, Knightley menolak untuk meneruskan peranan sebagai Elizabeth Swann menerusi filem keempat.

Malah, untuk sekuel kelima, Pirates of the Carribean: Dead Men Tell No Tales, Knightley enggan membintanginya lagi walaupun ada permintaan. Ditanya mengenai keengganannya itu, Knightley memberitahu bahawa dia ada alasan tertentu untuk tidak menyertainya.

"Saya sudah tidak tertarik dengan watak itu dan sudah berasa janggal untuk membintanginya. Salah satu sebab adalah saya rasa tidak boleh membayangkan peranan saya dan kembali ke set penggambaran Pirates.

"Saya rasa, saya tidak akan kembali lagi. Masa-masa lalu adalah masa indah bagi saya tapi memadai sekadar lima tahun sahaja," katanya lagi.

Untuk menggantikan peranan Knightley, syarikat penerbitan gergasi, Disney, mengajak pelakon muda untuk bergabung menjayakannya.

Malah, nama yang pasti menjayakan filem ini adalah Ansel Elgort dan George MacKay. Dua daripada nama itu akan dipilih sebagai pelakon utama.

Walaupun menolak untuk membintangi filem sekuel itu, Knightley masih lagi aktif dalam bidang lakonan dan baharu sahaja muncul dalam filem, The Imitation Game yang menemui pawagam sejak 7 November lalu.



Previous Post Next Post