SonaOne fokus muzik terbaik



SELEPAS karyanya, No More berjaya mencipta sejarah sebagai Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 21 (AIM 21) baru-baru ini, Sonaone akui bersedia untuk lebih fokus dalam kariernya.

SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafae, 26, berkata, kemenangan pertama itu menuntutnya untuk berusaha lebih gigih bagi menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti.

“Saya rasa sangat berbesar hati dengan kemenangan ini. Saya masih cuba memahami bagaimana saya bertuah di dalam keadaan industri yang dipenuhi dengan bakat-bakat yang lebih baik.

“Sehingga hari ini, saya masih berdebar memikirkan tentang perancangan yang saya mahu lakukan tahun depan kerana AIM banyak beri perubahan dalam perjalanan seni saya.

“Saya berharap, dapat teruskan karier ini untuk menyumbang kepada industri muzik tanah air,” katanya teruja.

Pada masa sama, Sonaone memberitahu dia tidak akan mengehadkan karyanya dengan tertumpu pada penghasilan lagu Inggeris semata-mata.

“Selepas ini saya mahu seimbangkan karya-karya saya di mana mahu menghasilkan lagu berbahasa Inggeris dan Melayu. Mungkin juga sesuatu yang berbeza dengan memasukkan dua bahasa ini dalam satu lagu.

“Bila bercakap mengenai identiti, saya lebih fokus kepada muzik yang lebih baik dan saya tidak tertumpu pada satu genre atau rap sahaja.

“Kadang-kadang saya juga suka menyanyi walaupun suara tidaklah berapa bagus,” selorohnya.




Tampil dengan Hakeleh

Bercerita lanjut mengenai lagu terbaharunya bertajuk Hakeleh, penyanyi berdarah kacukan Perancis – Malaysia ini memberitahu single kedua itu berkisarkan tentang kesungguhannya mahu bertutur dalam bahasa Melayu.

“Lagu ni tentang diri saya sendiri . Selalunya orang ramai akan bersikap stereotaip terhadap penyanyi rap dan dalam lagu ini saya cuba buktikan saya tidak seperti itu dan memiliki identiti tersendiri.

“Saya cuba tonjolkan muzik yang tersendiri,” ujarnya yang mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan single tersebut.

Memandangkan dirinya belum sepenuhnya menguasai bahasa Melayu, Sonaona akui menjadikan kamus sebagai bahan rujukan.

“Sejak dari kecil saya membesar di Perancis dan sudah terbiasa dengan kehidupan di sana. Pada usia 11 tahun saya balik ke Malaysia.

“Saya pilih Hakeleh kerana itulah perkataan yang saya selalu dengar,” katanya.

Sejak lirik video rasmi Hakeleh dilancarkan di pada 18 November lalu, ia mendapat lebih dari 88,000 tontonan di YouTube dan berjaya menduduki tangga pertama di carta iTunes Malaysia.

Muzik Video SonaOne - No More





Previous Post Next Post