SEJAK penyebaran rakaman video yang memaparkan aksi kurang sopan beberapa gadis Islam bertudung dipeluk dan dicium artis K-Pop, B1A4, pelbagai reaksi mula diluahkan masyarakat terhadap isu ini.
Tidak terkecuali juga, selebriti terkenal, Abby Abadi, menyifatkan ianya sebagai dugaan untuk orang Islam di akhir zaman.
Menurut Abby, insiden ini menunjukkan senario industri hiburan di negara kita yang tidak membawa Islam bersama.
"Pada pandangan saya, artis K-Pop itu tidak tahu akan hukum hakam agama Islam dan gadis itu pula mungkin tahu dan mungkin tidak. Kalau mereka tahu sekalipun, mungkin mereka buat-buat tak tahu kerana sudah menjadi kebiasaan apabila kejahilan menguasai diri.
"Dalam isu ini, saya melihat di kalangan artis yang meluahkan rasa kecewa terhadap insiden yang berlaku, namun bagi saya ianya tidak ubah seperti, 'tepuk air dalam dulang, terpercik muka sendiri'.
"Jika dilihat di kaca televisyen, filem dan persembahan pentas, jelas sekali mereka bebas bersentuhan tanpa batasan, berpeluk sakan, cium dahi, cium pipi, berkemban dan sebagainya tanpa mengira status mahupun batas agama," jelasnya lagi.
Tambah Abby, insiden yang berlaku itu sepatutnya dijadikan sebagai muhasabah diri dan pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) perlu buka mata untuk dunia hiburan tempatan.
"Sebelum mengambil tindakan terhadap gadis berkenaan atau artis K-Pop terlibat, penganjur dan pihak membenarkan konsert itu perlu diambil tindakan terlebih dahulu.
"Merekalah punca sebenar di sebalik kejadian dalam insiden itu," katanya lagi.