TEGAS AMAR, dia sudah tidak mahu dikaitkan dengan Izreen lagi selepas ini.
ASAL sebut sahaja nama pelakon baharu Amar Baharin, bayangan dramatis janda, Izreen Azminda segera menerpa ingatan.
Pernah menafikan percintaan mereka yang digembar-gemburkan sekitar hujung tahun lalu, namun seperti hujan pagi, panas mentari tiba-tiba menenggelamkan keintiman kedua-dua teraju utama drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan itu. Hubungan mereka dikatakan tidak berpanjangan dan terhenti sekerat jalan.
Sensasi antara Amar, 30, dengan Izreen, 30, tidak terhenti di situ sahaja. Dalam ruangan gosip sebuah akhbar baru-baru ini, nama Amar Baharin kembali menjadi tumpuan apabila didakwa sudah menemui cinta baharu. Jika sebelum ini dengan pelakon, kali ini Amar dikatakan sedang menyulam perasaan dengan seorang penyanyi wanita yang sudah lama menghilang dalam industri hiburan negara.
Ada yang mengatakan, cinta baharu aktor kelahiran program Anak Wayang tahun 2009 itu sebagai refleksi kepada gosip baharu Izreen yang kini dikaitkan bercinta dengan pelakon lelaki baharu, Nazrief Nazri. Kosmo! menghubungi Amar untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.
KOSMO!: Boleh Amar komen sedikit mengenai isu anda kononnya sedang bercinta dengan seorang penyanyi wanita seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini? Siapa pula penyanyi wanita itu? Bagaimana cerita tersebut boleh diperkatakan?
AMAR: Hari ini (kelmarin) saya asyik menerima panggilan telefon daripada rakan-rakan wartawan yang bertanyakan perkara sama. Siapa penyanyi itu? Sumpah saya tidak tahu-menahu tentang cerita itu. Bangun sahaja daripada tidur, keluarga saya sudah tanya, wanita mana pula kali ini yang digosipkan dengan saya itu?
Jadi, jawapan saya di sini satu sahaja. Saya tidak tahu apa-apa. Kalau betul saya ada bercinta dengan mana-mana wanita, sepatutnya pihak yang menulis itu tidak salah kiranya untuk menelefon saya terlebih dahulu, bertanyakan kepastian. Jangan main tulis sahaja. Bila sudah jadi begini, tidak manis rasanya bagi pihak saya sebab ia melibatkan nama saya.
AMAR Baharin menafikan dakwaan dirinya kini sedang bercinta dengan seorang penyanyi wanita. Bahkan tegasnya, dirinya tidak mahu lagi digosipkan dengan pelakon Izreen Azminda.
Jadi, sekarang anda menafikan sedang bercinta dengan penyanyi wanita itu?
Tahu pun tidak, macam mana saya mahu mengaku. Ya, memang saya menafikan sebab identiti dia pun saya tidak tahu.
Jika anda sendiri menafikan dakwaan ini, bagaimana pula tiba-tiba sahaja cerita seperti itu boleh timbul?
Saya pun tidak pasti kenapa dan dari mana cerita ini datang. Pada saya, cerita-cerita sebegini hanyalah untuk menambah koleksi cerita saya yang berkaitan dengan perempuan.
Saya pun tidak tahu sampai bila orang mahu kaitkan saya dengan wanita. Dari dahulu, tidak habis-habis asyik cerita mengenai cinta. Rasanya tidak perlu kaitkan saya dengan cerita sebegitu lagi sebab ia hanyalah sekadar rekaan semata-mata. Orang ramai yang membaca pun agaknya sudah muak jika sering dihidangkan dengan gosip berkaitan saya (ketawa).
Khabarnya, gosip tersebut timbul kerana aktres Izreen Azminda yang kini sedang rapat dengan seorang pelakon baharu. Komen anda?
Saya rasa itu langsung tidak masuk akal. Apa kaitan saya ada kekasih baharu dengan kisah gosip dia (Izreen)? Saya tidak pernah ambil tahu dengan siapa dia mahu berkawan. Itu hak masing-masing.
Sebelum ini pun orang asyik kaitkan kami bercinta. Selepas tamat sahaja drama Kerana Terpaksa Aku Relakan, kami sudah jarang berjumpa dan bekerjasama dalam lakonan. Masing-masing bawa haluan sendiri sebab itu sudah tidak rapat seperti dahulu. Bukannya kami putus cinta seperti yang digembar-gemburkan.
Kami masih berkawan seperti biasa. Kisah keintiman kami pun sebenarnya tiada apa-apa pun. Mungkin cuma peminat yang lebih-lebih apabila saya sering memuat naik gambar di laman sosial, itu sahaja.
Kalau boleh, saya sudah tidak mahu dikaitkan dengan dia lagi. Cukuplah. Naik rimas juga sebenarnya kalau asyik-asyik cerita yang keluar dalam akhbar berbicara mengenai gosip cinta kami. Kalau keluar berita mengenai pencapaian saya dalam lakonan, itu lagi bagus sebenarnya (ketawa).
Boleh kongsikan tentang perkembangan terkini anda?
Alhamdulillah dalam masa terdekat saya bakal menjalankan penggambaran drama bersiri 26 episod bertajuk Mr. London Mrs. Langkawi dengan pelakon Zul Ariffin dan Izara Aishah.
Selain itu, saya juga ditawarkan berlakon untuk drama yang akan bersiaran pada bulan Ramadan nanti, tetapi buat masa sekarang belum diputuskan kerana masih dalam perbincangan.
Nampaknya rezeki anda dalam lakonan drama semakin lebat. Adakah sekarang sudah mendapat apa-apa tawaran berlakon filem pula?
Alhamdulillah, sekarang tawaran berlakon drama memang banyak. Jalan cerita dan watak yang ditawarkan kepada saya juga kebanyakannya memang menarik.
Bab filem, buat masa sekarang saya masih belum mendapat apa-apa tawaran. Kalau saya ada menerima tawaran filem, mungkin saya akan tengok dahulu watak apa dan jalan ceritanya. Sebab ini adalah percubaan pertama saya dalam filem, jadi saya perlu sesuatu yang boleh memberi impak kepada penonton, bukannya sekadar main ambil sahaja.
Walau bagaimanapun, buat masa sekarang, saya lebih selesa dengan drama. Bukan apa, saya sendiri pun lahir menerusi drama, jadi mungkin buat masa sekarang saya lebih tumpukan kepada bidang ini dahulu.
Inilah dunia artis seperti lampin pakai buang.