Amaris lebih berdikari menguruskan kerjayanya tanpa bantuan pengurus.
Pelakon Amran Ismail atau kini dikenali sebagai Amaris menyangkal dakwaan kononnya dia mengalami konflik dengan pengurusnya sehingga menyebabkan wanita berkenaan mengambil keputusan untuk berundur daripada terus menguruskan kerjayanya sejak beberapa bulan lalu.
Amaris, 30, berkata, hubungan mereka masih kekal baik dan wanita berkenaan mengambil keputusan tersebut kerana terlalu sibuk menguruskan syarikat dan bimbang tidak dapat berlaku adil kepadanya.
"Tiada pergaduhan, konflik atau sengketa di antara kami dan keputusan itu dibuat kerana dia terlalu sibuk dengan urusan syarikatnya dan pada masa sama terpaksa menguruskan kerjaya saya.
"Jadi sebab itu dia mengambil keputusan mengundurkan diri dan Alhamdulillah hubungan kami masih kekal baik," katanya kepada Artis Meletop.
Dalam pada itu, Amaris berkata, buat masa ini dia tidak bercadang untuk mencari pengganti sebaliknya mahu berdikari dan mempelajari selok-belok pengurusan kariernya.
"Sebelum ini saya banyak bergantung kepada pengurus dan ini adalah masa saya uruskan semua sendiri.
"Banyak perkara yang saya abaikan sebelum ini sekarang banyak memberi pengajaran kepada saya dan Alhamdulillah saya semakin berdikari," ujarnya.
Sementara itu, Amaris mengakui, dia lebih banyak mendapat tawaran berlakon di Brunei dan kerap berkunjung ke negara itu untuk menjalani penggambaran.
Jelas Amaris, dia menganggap tawaran tersebut sebagai rezeki dan tidak pernah sesekali mengabaikan kariernya di negara sendiri.
"Alhamdulillah rezeki. Penerimaan mereka terhadap saya juga cukup baik dan berharap kerjasama seperti itu akan terus berkekalan di antara dua negara.
"Pun begitu saya masih memberi fokus kepada kerjaya di Malaysia dan ada beberapa projek yang telah pun dipersetujui," ujarnya.