Bahang pentas akhir ANI2014



Antara barisan peserta yang bakal bertanding pada peringkat akhir ANI 2014 dianjurkan oleh Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm)

BAHANG Anugerah Nasyid IKIMfm 2014 (ANI2014) semakin terasa setelah 10 lagu bergenre nasyid dan ketuhanan layak untuk bertanding di pentas akhir.

Diadili oleh lima juri profesional hasil daripada pemilihan 30 lagu yang mendapat pencapaian terbaik dalam Carta IKIM sepanjang tahun 2014, 10 lagu yang tersenarai ke peringkat akhir anugerah berprestij itu adalah Al Haq...Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal), Dalam Sujud Cintaku (Halim Ahmad), Iman dan Aman (Inteam) dan Rindu Ini (Du’a Feat Amal, Alkautsar, Anas Tahir dan Azfar) manakala kumpulan Nowseeheart turut tersenarai menerusi lagu Maafkan Aku, Seiring Sehaluan (UNIC) dan Tangis Sebatang Tamar (Daqmie).

Dua lagu nyanyian Hafiz Hamidun iaitu Jodoh Berdua dan Kasih Padamu turut dicalonkan pada peringkat akhir termasuk Ucaplah Alhamdulillah oleh Amirul Haswendy yang juga seorang wartawan hiburan di sebuah akhbar popular.

Sebanyak 10 kategori anugerah bakal dipertandingkan pada peringkat akhir tersebut termasuk Lagu Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.

ANI 2014 dianjurkan oleh Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) dan kini kembali semula bertujuan untuk memberi ruang kepada penggiat industri nasyid dan ketuhanan sekali gus membuktikan kemampuan mereka dalam mencipta, menulis dan menonjolkan bakat dalam persembahan.

Bakal dihoskan oleh Amin Idris dan Heliza Helmi, ANI 2014 disiarkan secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah (saluran 114) dan TV IKIM (www.tvikim.my) pada jam 9 malam.




'Seperti tidak percaya' - Amirul Haswendy

Tidak pernah meletakkan sebarang harapan walaupun sudah lebih sedekad berkecimpung dalam bidang ini, Amirul Haswendy, bagaimanapun meluahkan rasa terkejut apabila lagunya Ucaplah Alhamdulillah layak ke peringkat akhir ANI2014.

"Pada mulanya saya seperti tidak percaya langsung apatah lagi sudah lama saya tidak menyanyi.

"Lagipun, saya menyanyi ini hanyalah untuk suka-suka sebagai mengisi profil yang ada dan menambah kepuasan.

"Tetapi, saya tetap bersyukur kerana terpilih sehingga ke pentas akhir," katanya yang pernah muncul dengan single, Heaven Is Here.

Ketika ditanya mengenai persiapan, kata Amirul, dia cukup bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada rakan-rakan seperjuangannya.

"Sehingga kini, hampir 80 peratus telah siap, dan bakinya pada malam pentas akhir nanti.

"Lebih manis, persembahan saya itu bakal diiringi dengan sekumpulan koir yang disertai oleh rakan-rakan rapat yang datangnya dari jauh seperti Johor dan Sabah.

"Lebih istimewa, mereka semua terdiri daripada golongan yang menjadi inspirasi kepada saya yang saya gambarkan menerusi lirik lagu nyanyian saya itu," katanya.


'Tuah tampil solo' - Halim Ahmad

Kekangan dengan tugasan masing-masing menyebabkan Devotees kini semakin kurang aktif di persada hiburan tanah air.

Oleh sebab itu, salah seorang ahlinya, Halim Ahmad mengambil keputusan untuk tampil solo.

Lebih manis, lagu Dalam Sujud Cintaku adalah ciptaan sepenuhnya dari pengkarya muda ini melalui album pertamanya, Zikir Para Perindu.

"Walaupun tampil solo, itu tidak bermakna saya telah keluar daripada Devotees.

"Cuma kumpulan ini agak kurang aktif kerana semua ahli kumpulan terikat dengan kerjaya masing-masing.

"Jadi, saya ambil keputusan untuk bergerak solo sementelahan lagi saya memiliki syarikat produksi dan studio sendiri," katanya.

Ketika ditanya apakah perasaannya apabila lagunya itu tercalon ke peringkat akhir ANI2014, dia memberitahu:

"Saya berasa sangat bersyukur. Saya tidak sangka akan tercalon sehingga sejauh ini.

"Sebenarnya, sudah tercalon pun sudah banyak membantu dalam publisiti untuk album ini," katanya yang kini sedang sibuk menguruskan sebuah agensi pelancongan miliknya.


'Platform rapat silaturahim' - Daqmie

Bagi Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manaf, dia menganggap ANI2014 adalah sebagai platform untuk merapatkan lagi silaturahim di antara penasyid lama dan baharu.

Malah, kata penyanyi bersuara lantang yang pernah muncul bersama kumpulan rock East (1991) dan Barongan (2003) ini memberitahu nasyid tidak pernah terkubur.

"Kekurangan hubungan di antara penasyid dan media, ia dilihat merudum. Dengan adanya acara seperti ini, ia seolah-olah menjadi jambatan yang menghubungkan semua pihak yang bertanggungjawab menaikkan industri.

"Media cetak, elektronik, sosial dan penggiat nasyid berganding bahu menyokong industri hiburan yang sihat. Kita hanya berusaha, harap segala-galanya termakbul," katanya yang mempertaruhkan lagu Tangis Sebatang Tamar.

Dia yang bakal membawakan konsep watan pada persembahan akhir nanti, cukup terharu apabila dianggap sebagai pencabar utama dan ramai meramalkan dia bakal membawa pulang anugerah utama.

"Bagi saya, semua finalis adalah terbaik dan ada peluang sama rata. Alhamdulillah, saya bersyukur ramai mendoakan yang baik-baik," katanya yang bakal membuat persembahan istimewa bersama-sama Alfa Booty Kesuma dan Datuk Dr Ibrahim Ghaffar.


'Musim peperiksaan Du'a' - Ustaz Amal

Agak berbeza dengan lagu lain, lagu Rindu ini dinyanyikan kumpulan Du’a bersama-sama Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir dan Azfar.

Dalam berkongsi rasa debaran menuju ke pentas akhir ANI2014, Ustaz Amal atau nama sebenarnya Amaluddin Mohd Napiah memberitahu, salah satu cabaran utama yang perlu dihadapi oleh mereka apabila Du'a kini sedang terikat dengan minggu peperiksaan di universiti.

"Du'a dianggotai oleh Muhammad Asadullah (Asad) dan Muhammad Ajwad (Ajwad).

"Kedua-duanya kini sedang bergelut dengan peperiksaan sehinggalah esok.

"Oleh kerana itu, mereka agak terkejar-kejar dalam membuat persiapan," katanya.

Kata Ustaz Amal, biarpun mereka adalah artis baharu, namun kelebihan mereka adalah apabila berkesempatan bergandingan dengan individu-individu yang telah berpengalaman dalam industri.

"Ini memberi pengalaman baharu kepada Du'a. Apa pun, ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan juri," katanya yang menganggap semua pesaingnya adalah kuat dan hebat-hebat belaka.



Previous Post Next Post