Aaisyah ikut jejak Zain & Che Ta


Zain memangku Aaisyah sambil ditemani Che Ta pada majlis akikah anak mereka.

KEHIDUPAN dan kebahagiaan sesebuah rumah tangga akan menjadi lebih berseri dengan kehadiran cahaya mata. Malah, kelahiran anak juga disambut dengan penuh gembira, kebanggaan dan rasa syukur yang tidak terhingga.

Tidak ketinggalan, buat pasangan selebriti Zain Saidin dan Rozita Che Wan atau yang lebih mesra disapa sebagai Che Ta.

Kini, keutamaan pasangan sama cantik sama padan itu adalah puteri sulung mereka yang diberi nama Aaisyah Dhia Rana yang sudah pun berusia dua bulan.

Bergelar bapa sejak 1 November lalu, kongsi Zain, dia teruja dengan kehidupannya kini.




"Alhamdulillah, seronok sangat apabila sudah jadi bapa.

"Rutin seharian tidak banyak berubah cuma saya perlu membiasakan diri dengan beberapa perkara seperti membuat susu dan menukar lampin.

"Biarpun ini adalah pengalaman pertama, saya tidak pula berasa kekok, sebab semuanya diajar oleh isteri. Ramai yang kata agak susah tetapi saya tiada masalah untuk melakukannya," katanya ketika ditemui Zass di majlis akikah dan kesyukuran cahaya mata sulungnya itu, kelmarin.

Bagi Che Ta pula, setelah sekian lama tiada anak kecil, kelahiran Aaisyah Dhia Rana ternyata memerlukannya untuk melakukan satu pengorbanan besar.

"Apabila sudah ada anak kecil ini, memang saya sering tidak cukup tidur apatah lagi anak kini sedang menyusu badan.

"Malah, sehingga kini pun saya masih belum sempat hendak membuat rawatan spa dan kecantikan," katanya yang lebih selesa menjaga anaknya itu sendiri. Berbicara tentang Aaisyah, baik Che Ta mahupun Zain, kedua-duanya sependapat mengatakan
puteri sulung mereka itu adalah seorang anak yang mudah dijaga dan baik.

"Aaisyah seorang bayi yang tidak banyak meragam. Dia sangat baik.

"Malah, Aaisyah lebih banyak tidur ketika kami membawanya bercuti ke London, baru-baru ini. Mungkin dia suka dengan tempat sejuk," katanya.

Pada masa sama, pasangan ini juga bersedia untuk menerima pelbagai tawaran komersial bersama Aaisyah.

"Kami tiada masalah akan hal itu sementelahan lagi Aaisyah kini adalah duta butik bayi Mothercare.

"Salah seorang dari kami pernah terlibat berlakon iklan dengan bayi dan menariknya, mereka ini akan mengikut masa dan keadaan bayi itu sendiri.

"Ketika kecil ini mungkin tiada masalah, cuma apabila sudah besar, kami mahu dia berfokus dengan pembelajarannya kecuali masa cuti sekolah," kata Che Ta yang mengimpikan anaknya itu menjadi seorang ustazah pada masa depan.

Bahkan, kata Zain, dua anak lelaki Che Ta iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezra juga suka melayan adiknya itu.

"Mereka sangat sayang dengan Aaisyah.

"Hari-hari kalau boleh, mereka hendak bermain dengan si kecil tetapi Aaisyah masih bayi dan kerap tidur," ketawanya sambil memberitahu dia dan Che Ta akan menunaikan Umrah, bulan depan.


Che Ta usaha turun berat badan

Umum mengetahui, Che Ta kini sedang cuti berehat daripada dunia lakonan sejak April lalu demi anaknya itu.

"Sekarang ini pun saya masih lagi sedang bercuti. Bahkan, majlis aqiqah dan kesyukuran ini adalah permulaan kepada sebarang aktiviti.

"Mulai pertengahan bulan ini, saya akan sibuk untuk memulakan sesi fotografi sebagai duta produk pelangsingan badan," katanya.

Begitu pun, kata pelakon berusia 42 tahun ini, dia belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran berlakon drama mahupun telefilem.

"Saya sudah lama tiada anak kecil, jadi apabila sudah ada ini, saya tidak sampai hati hendak tinggalkan dia hanya kerana berlakon.

"Jika tidak berlakon pun, kehidupan saya masih lagi boleh diteruskan apatah lagi saya kini sudah mempunyai syarikat produksi dan bisnes sendiri.

"Untuk sementara waktu, saya tangguhkan dulu untuk berlakon," katanya.

Tambah pelakon Kiah Pekasam ini, dia juga kini sedang berusaha untuk menurunkan berat badannya.

"Saya baharu saja turun 20 kg dari 75 kg.

"Sasaran saya turun 11 kg lagi selepas ini untuk mendapatkan berat ideal," katanya.

Ketika ditanya adakah mereka merancang untuk menambah cahaya mata lagi selepas ini, baik Zain mahupun Che Ta, mereka menyerahkan perkara itu kepada takdir.

"Doktor ada memberitahu, jika kami hendak menambah anak, elok disegerakan kerana tidak mahu ambil risiko tinggi atas faktor usia Che Ta.

"Tetapi, mungkin kami akan berehat dulu dalam tempoh setahun sebelum mempunyai anak yang lain," katanya.



Previous Post Next Post