Awie tidak tahu sijil nikah palsu


AWIE menyifatkan tindakan isterinya Rozana membawa kes sijil nikah palsu di mahkamah sebagai cubaan untuk memalukan keluarga.

Sejak pertengahan tahun lalu, nama Awie hangat diperkatakan ekoran dakwaan dia memukul isterinya, Rozana Misbun,37. Terbaharu, sijil nikah pasangan yang berkahwin di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan didaftarkan di Jabatan Agama Pulau Pinang itu pula disahkan palsu oleh bekas Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Yusoff Abu Bakar di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Pengesahan itu bermakna, selama sembilan tahun Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, menggunakan sijil nikah palsu sepanjang menjalani kehidupan rumah tangga dengan Rozana sehingga dikurniakan tiga orang anak Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.




Awie yang dihubungi Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu sijil nikah palsu itu mendedahkan, beliau sendiri tidak menyedari bahawa sijil nikah yang digunakan sepanjang sembilan tahun itu adalah palsu sehinggalah kemelut rumah tangganya dibawa ke mahkamah pada tahun lalu.

Jelas vokalis kumpulan Wings itu, beliau sedar kepentingan memiliki sijil nikah. Tidak mungkin beliau akan membiarkan perkara itu jika sedar sijil nikah yang didaftarkan di Jabatan Agama Pulau Pinang itu adalah palsu kerana ia bukan sahaja memudaratkan dirinya tetapi juga masa depan anak-anaknya. Pada masa yang sama, Awie turut menyelar tindakan isterinya yang membawa kes itu di mahkamah sehingga memalukan seluruh keluarga sedangkan perkara itu boleh masih diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

Kosmo!: Tahun baharu 2015 nampaknya tidak dapat memisahkan Awie dengan kisah kontroversi. Terbaharu, sijil nikah dengan Rozana disahkan palsu oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. Bagaimana perkara yang sebegitu serius kesannya tidak disedari oleh anda?

AWIE: Selepas kecoh hal sijil nikah itu palsu, saya pergi sendiri ke Jabatan Agama Pulau Pinang untuk pastikan sijil nikah itu palsu atau tidak. Jika saya tahu tidak mungkin saya terlalu bodoh untuk membiarkan perkara itu kerana ketiadaan sijil nikah bukan sahaja memudaratkan diri saya tetapi juga anak-anak.

Apakah yang membuatkan anda yakin bahawa sijil nikah anda selama ini adalah sah sepanjang sembilan tahun berkahwin dengan Rozana?

Selepas bernikah di Thailand, saya menggunakan khidmat ejen (orang tengah) untuk mendaftarkan pernikahan saya di Malaysia kerana saya sedar kepentingan untuk memiliki sijil nikah yang sah mengikut undang-undang Malaysia. Waktu itu, saya masih berstatus suami orang dan Rozana merupakan isteri yang kedua. Ketika itu, dia juga belum bersedia untuk memberitahu perkahwinan kami kepada keluarganya. Jika saya sendiri yang pergi mendaftar pernikahan tersebut, sudah tentu berita perkahwinan kami akan diketahui semua orang. Perkara itu (daftar menggunakan ejen) dibuat atas nasihat isteri saya juga. Kami memperoleh sijil nikah beberapa bulan selepas tarikh perkahwinan. Jadi, saya tidak mempunyai sebarang keraguan. Saya yakin sijil nikah itu sah di sisi undang-undang kerana saya tidak menghadapi sebarang masalah memiliki surat kelahiran untuk ketiga-tiga anak kami.


PERKAHWINAN Awie dan Rozana kini bagai retak menanti belah.

Selepas berita sijil nikah palsu kalian menjadi berita utama, apakah kesan terhadap kehidupan anda dan juga anak-anak?

Kesannya bukan sahaja memalukan saya tetapi juga anak-anak. Saya tidak faham mengapa seorang ibu sanggup memalukan anak-anaknya sendiri walaupun perkara ini boleh diselesaikan secara baik. Sekarang, orang mempersoalkan status ketiga-tiga anak kami, sedangkan perkahwinan kami sah mengikut syarak, cuma tidak didaftarkan di Malaysia melalui jalan yang betul. Cukuplah Rozana memalukan saya tetapi mengapa perlu membabitkan anak-anaknya juga.

Jadi, anda tiada niat untuk menyorokkan perkahwinan bersama Rozana?

Waktu berkahwin, Rozana merupakan isteri kedua, bagi menyelamatkan keadaan saya terpaksa menggunakan ejen, tetapi saya tiada niat untuk sorok perkahwinan bersama Rozana kerana sedar lambat laun orang akan tahu juga ditambah dengan status saya sebagai selebriti. Kami juga telah mengadakan majlis resepsi untuk memberitahu masyarakat tentang perkahwinan tersebut, jadi tidak timbul isu sorok perkahwinan.

Adakah anda ada berbincang dengan isteri untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga secara baik?

Peluang untuk berbincang dan selesaikan masalah rumah tangga kami secara baik sentiasa terbuka. Bagaimanapun, Rozana sengaja mencari kesalahan dan cuba memalukan saya. Bagi saya, apa yang dilakukan Rozana merupakan jalan untuk melepaskan dirinya dan meletakkan segala kesalahan di atas bahu saya seorang. Sekarang, terpulanglah kepada dia kerana dia sudah matang dan boleh berfikir sendiri.

Bagaimanakah masa depan perkahwinan anda dan Rozana?

Saya sendiri tidak tahu, tunggulah kes mahkamah diselesaikan terlebih dahulu. Kami masih suami isteri yang sah dan saya tidak akan menceraikannya lagi buat masa ini. Saya kehilangan banyak benda akibat tindakan Rozana, termasuk maruah diri dan wang kebajikan untuk anak-anak. Mungkin saya akan beri syarat yang adil untuk kedua-dua pihak andai perpisahan berlaku pada masa hadapan.




Previous Post Next Post