Che Ta mahu Aaisyah jadi ustazah



Usianya baru mencecah dua bulan tetapi kehidupan Aaisyah Dhia Rana, anak aktres Rozita Che Wan dan Zain Saidin dilimpahi dengan kemewahan dan glamor. Lihat sahaja majlis akikah dan kesyukuran Aaisyah yang berlangsung di Hotel Royale Bintang Damansara pada malam Rabu lalu yang akan turut disiarkan dalam program Pureen Chak Chak.

Dewan tempat berlangsungnya majlis akikah itu dihiasi indah umpama sebuah majlis perkahwinan dan tumpuan sudah tentu diberikan kepada si kecil Aaisyah yang dikagumi oleh setiap orang yang hadir dengan kecomelan wajahnya.

Rozita atau Che Ta, 42, yang ditemui pihak media pada majlis berkenaan sedar dengan perhatian yang diberikan khalayak kepada anaknya. Meskipun pada peringkat awal dia bersikap terbuka untuk berkongsi kebahagiaan bersama peminat dan tidak kisah andai suatu hari anaknya itu mengikuti jejak langkahnya bergelar selebriti, tetapi sekarang baik Che Ta mahupun Zain bertukar fikiran.

Bagi mereka, lebih baik untuk Aaisyah tidak terlibat dalam dunia seni selepas melihat perhatian melampau yang diberikan khalayak boleh bertukar menjadi negatif.




“Sebelum ini memang saya tidak kisah jika dia mengikut jejak langkah kami, tetapi sekarang kami bertukar fikiran. Kalau boleh saya mahu Aaisyah menjadi ustazah, tetapi kita hanya merancang, masa depan tidak boleh diramal. Ketika kecil ini saya tidak kisahlah andai dia menjadi model iklan atau duta produk kerana dia masih kecil dan tidak memahami apa yang berlaku.

“Tambahan pula penggambaran iklan biasanya mengikut jadual waktu bayi. Bagi saya tidak salah untuk Aaisyah memiliki pendapatan sendiri pada usia dua bulan. Wang yang diperoleh akan disimpan dalam akaun banknya, apabila dia berusia 18 tahun, dia sudah kaya dengan pendapatan sendiri,” ulas Che Ta yang memberitahu Aaisyah kini merupakan duta kepada butik Mothercare.

Bercakap tentang perhatian, Che Ta melahirkan rasa kurang senang apabila gambar anaknya menjadi mangsa kepada berita palsu yang tersebar di Indonesia. Menurut berita yang tersebar itu bayi tersebut iaitu Aaisyah telah dibuang oleh ibu bapanya dan kini berada di hospital.

“Saya cukup terkejut apabila mendapat tahu tentang gambar Aaisyah digunakan untuk berita palsu di Indonesia. Berita itu menjadi viral di internet, sebagai ibu saya cukup terasa dengan berita tersebut. Niat saya berkongsi gambar untuk tatapan peminat, tidak sangka pula ada orang menggunakan gambar Aaisyah untuk berita sedemikian.

“Itu antara kesan negatif apabila saya terlalu berkongsi semua perkara dengan orang ramai. Sebab itu saya dan Zain memutuskan untuk tidak membenarkan Aaisyah menjadi selebriti pada masa depan,” kata Che Ta yang tidak kisah untuk memberi kemewahan kepada anaknya itu.


SELEPAS memiliki dua orang anak lelaki Ammar Effendy (kiri) dan Aniq Ezzran (kanan), serta Aaisyah, Che Ta ingin menambah bilangan ahli keluarga pada tahun depan.

Mahu tambah anak

Disoal bilakah dia mahu menambah bilangan ahli keluarganya, sambil tersenyum wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu menjawab berkemungkinan besar tahun hadapan dia ingin hamil semula kerana faktor usia tidak mengizinkannya untuk menangguh lebih lama hasrat tersebut. Tahun hadapan Che Ta akan berusia 43 tahun.

“Tahun ini saya mahu berehat kerana apabila ada anak kecil memang penat dan tidak cukup tidur. Jika ingin hamil semula pun mungkin pada tahun hadapan. Doktor memberitahu tidak ada masalah untuk saya hamil lagi tetapi wanita yang berusia 40-an ke atas berdepan dengan pelbagai risiko apabila hamil.

“Kita hanya merancang, andai rezeki diberi oleh Allah saya terima dengan hati terbuka,” balas Che Ta.

Selepas selamat melahirkan anak, menjalani tempoh berpantang dan membawa Aaisyah bercuti bersama keluarga di London baru-baru ini, Februari depan, Che Ta dan Zain akan berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah. Bagaimanapun kali ini, perjalanan ke tanah suci itu tidak akan disertai Aaisyah, sebaliknya hanya mereka berdua yang mahu menunaikan umrah untuk membayar nazar.

Kata Zain, 30, yang pertama kali akan menunaikan ibadah umrah, pemergian mereka ke Mekah adalah selepas isterinya itu bernazar untuk menunaikan umrah andai hamil.

“Che Ta ada simpan niat andai dia hamil dan segalanya berlangsung dengan selamat, dia akan menunaikan umrah. Jadi, sekarang sudah tiba masanya untuk membayar nazar tersebut. Bagi saya yang tidak pernah menunaikan umrah, memang agak gementar tetapi Che Ta sudah beberapa kali menunaikan umrah, pengalamannya dikongsi bersama saya sebelum kami berangkat ke Mekah.

“Kami akan pergi berdua sahaja, anak pula akan ditinggalkan bersama keluarga di Malaysia. Kami pergi selama 12 hari. Memang akan rindu kerana tidak pernah berpisah lama dengannya terutamanya Che Ta, tetapi niat kami untuk menunaikan ibadah semoga semuanya dipermudahkan,” ujar Zain.


INILAH pelamin yang dihiasi indah hanya untuk Aaisyah.

Kembali bekerja

Selepas berpantang selama 44 hari, Che Ta akan kembali bekerja dalam masa terdekat ini apabila dilantik sebagai duta sebuah produk pelangsingan badan. Bagaimanapun, ibu kepada tiga orang anak itu masih belum bersedia untuk kembali ke set penggambaran.

Bukan tidak mahu bekerja tetapi komitmen menjaga Aaisyah menyebabkan Che Ta lebih selesa untuk berehat buat sementara waktu di samping menerbitkan drama menerusi produksinya sendiri iaitu Padusi Picture Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak Mac tahun lalu.

“Mungkin selepas ini saya lebih selesa berlakon dalam drama terbitan produksi sendiri kerana jadual waktu boleh mengikut masa saya. Namun, itu tidak bermakna saya tidak berlakon dengan produksi luar. Andai ada tawaran yang baik saya akan terima. Saya juga tidak akan meletakkan sebarang syarat kerana faham perjalanan sebuah produksi,” terangnya.

Sungguhpun begitu, Che Ta menegaskan buat masa terdekat dia tidak akan terlibat dengan mana-mana penggambaran drama kerana masih berat hati untuk meninggalkan puteri kesayangannya itu.

“Saya sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan tidak pernah ada anak perempuan. Sejak melahirkan Aaisyah, saya tidak pernah berpisah dengannya. Jika berlakon, saya terpaksa meninggalkan Aaisyah Dia kecil lagi dan saya masih berat hati untuk keluar bekerja.

“Oleh itu saya ambil keputusan, tunggulah dia besar sedikit. Selain itu, saya masih berpantang makan walaupun sudah habis tempoh berpantang selama 44 hari baru-baru ini. Ada makanan yang tidak boleh diambil selama setahun seperti laksa, ada sayuran yang tidak boleh dimakan selama enam bulan dan pelbagai lagi. Memang saya jaga pantang dengan ketat kerana menjaga kesihatan, jika tidak jaga akan datang bermacam penyakit pada kemudian hari,” jelasnya yang akan menyambung rakaman program Primadona tidak lama lagi.

Tidak hanya berpantang makan, Che Ta juga dalam proses menurunkan berat badannya sebelum benar-benar bersedia untuk kembali di hadapan kamera. Sebelum melahirkan anaknya, Che Ta memiliki berat sebanyak 75 kilogram.

“Sebelum ini berat saya 75 kilogram, selepas 67 hari berpantang, saya telah turun sebanyak 20 kilogram. Sekarang saya masih mempunyai berat sebanyak 11 kilogram untuk diturunkan,” kata Che Ta.

Che Ta yang kelihatan anggun dengan persalinan pereka fesyen Rizman Ruzaini sebelum menutup bicara meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang perbandingan anaknya dengan anak selebriti lain. Baginya perkara itu tidak sihat kerana setiap bayi mempunyai keistimewaan tersendiri.



Previous Post Next Post