Zizan usaha pujuk Emma


PASANGAN ini pernah didakwa melakukan penggambaran pra perkahwinan di Jepun, tahun lalu.

LEBIH setahun menyulam cinta, namun ketika hasrat hendak berumah tangga sudah dicanang satu Malaysia, perhubungan pelawak terkenal Zizan Razak dan pelakon cantik Emma Maembong tiba-tiba berkecai di tengah jalan.

Sebenarnya, desas-desus perbalahan pasangan sensasi itu sudah kedengaran sejak Disember tahun lalu, namun, Rabu lalu semuanya sahih apabila gadis yang baru berusia 22 tahun itu sendiri membuka mulut mengakui bahawa hubungan mereka sudah berakhir.

Terlanjur Emma yang mengaku selalu berendam air mata dan makan hati sepanjang hubungan mereka membuat pengakuan di dada akhbar, Zizan yang mulanya enggan bercerita turut akur mengiakan keadaan.




“Ya memang kami sudah putus, tetapi saya masih dalam proses untuk memujuk semula Emma,” tegas Zizan ketika dihubungi Kosmo!

Masih dalam emosi separuh mahu bercerita, separuh berat hati, Zizan turut mengulas keinginannya hendak membeli sebuah kereta mewah yang dikatakan sebagai punca pergaduhan besar sehingga membuat Emma memutuskan perhubungan yang terbina sejak tahun 2013 itu.

“Memang kami ada bertengkar pasal hasrat saya hendak membeli kereta mewah, tetapi bukan faktor itu sahaja. Banyak lagi faktor lain yang menyebabkan hubungan kami berada dalam penuh tekanan.

“Soal kereta mewah itu datang daripada saya, tetapi Emma memang seorang yang sangat sederhana. Dia amat berat hati untuk mengizinkan saya membeli kereta mewah.

“Faktor lain pula, saya terlalu sibuk dengan kerja sehingga tiada masa hendak bersama dengannya. Itu yang menyebabkan Emma agak tertekan. Selain itu, apabila orang kata Emma kikis duit saya, perkara itu tambahkan lagi tekanan bukan sahaja kepada Emma bahkan kepada saya juga,” cerita Zizan yang masih menyintai Emma.

Sehari sebelum membuka mulut, Zizan yang turut ditemui selepas menyaksikan malam terakhir pementasan muzikal Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta di Istana Budaya, bagaimanapun memohon agar diberikan ruang kerana dia masih belum selesa untuk mengulas isu perpisahan dengan kekasihnya itu.

“Saya minta maaf sangat kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak bercerita. Saya masih okey dan menganggap ini sebahagian dugaan untuk saya sebagai seorang manusia,” katanya.

Zizan yang turut ditemani ibunya Anai Ibrahim, diasak dengan pelbagai soalan termasuk situasi berhadapan tindakan saman RM500,000 oleh rakan kongsi dan bekas pengurusnya iaitu Marina Juki akibat pelanggaran kontrak, Zizan berkata jalan penyelesaian kini bertambah rumit dan harus mengikut prosedur mahkamah.

Diminta mengulas tentang permulaan 2015 yang kurang ‘cerah’ baginya, kata lelaki berusia 30 tahun itu: “Ini adalah permainan, pentas kehidupan. Yang baik itu daripada Allah dan yang tidak baik datang daripada kita. Pada saya kita manusia diturunkan dugaan atau masalah untuk diselesaikan.”



Previous Post Next Post