Big Eyes sentuhan terbaru Tim Burton



NAMA Tim Burton dalam arena pengarahan filem-filem dari Hollywood, bukan lagi asing.

Sejak mula berkecimpung dalam bidang pengarahan, Burton sering kali hadir dengan naskhah yang unik dan misteri seperti filem Edward Scissorhands, Sleepy Hollow, Charlie and the Chocolate Factory, Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street, Alice in Wonderland dan banyak lagi.

Jika anda perasaan, kebanyakan filem arahan Burton menggunakan khidmat Johhny Depp selaku teraju utamanya.

Namun, selepas kali terakhir muncul dengan filem animasi, Frankenweenie, Burton tampil dengan filem terbarunya, Big Eyes dan apa yang pasti, tiada Depp di dalam filemnya kali ini.

Sebaliknya, Burton menggunakan khidmat Aktres Terbaik bagi kategori Filem Komedi atau Muzikal di Anugerah Golden Globe ke-72, Amy Adams yang membawakan watak sebagai Margaret Keane.




Selain Amy, filem ini juga turut dijayakan oleh Christoph Waltz, Krysten Ritter, Danny Huston, Jon Polito, Jason Schwartzman dan Terence Stamp.

Filem biografi komedi-drama ini mengangkat kisah seorang yang ditindas karya seninya hingga hampir kehilangan segalanya. Ia sedikit sebanyak menjurus kepada hasil kerja dan pengalaman yang dilalui Burton sebelum ini.

Bagaimanapun berbeza dengan Burton, filem yang diadaptasi dari sebuah kisah benar mengenai seorang pelukis wanita terkenal yang bernama Margaret Keane.

Margaret gemar melukis wajah atau animasi dengan karakter yang memaparkan seseorang bermata besar, bagaimanapun karyanya tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan.

Bagaimanapun atas bantuan suaminya, Walter Keane (Waltz), lukisan Margaret mula mendapat perhatian setelah Walter membawa isterinya sebagai tetamu sebuah rancangan bual bicara dan beberapa acara lain.

Sejak itu, lukisan Margaret mula mendapat perhatian sehingga ia dicetak dan dijual dan Margaret sering menghabiskan masa untuk melukis bagi memenuhi permintaan.

Namun tanpa diketahui Margaret, Walter telah menurunkan tanda tangannya di setiap lukisan Margaret.

Konflik berlaku apabila perkahwinan Margaret dan Walter berantakan sehingga mereka membuat keputusan untuk bercerai. Bagaimanapun Walter telah menuntut hak ke atas setiap lukisan Margaret dan Margaret pula menyedari Walter telah mengambil lukisannya tanpa kebenaran.

Trailer:Big Eyes



Lakonan hebat Amy

Seperkara yang menarik mengenai filem ini adalah lakonan hebat ke semua pelakon terlibat terutamanya Amy selaku Margaret.

Dia tampak memberikan 100 peratus komitmen kepada wataknya dan setiap emosi dapat dirasai oleh penonton.

Bagaimana dari seorang pelukis biasa yang berusaha untuk menjual lukisannya dan akhirnya dikenali, namun akhirnya terjerumus dalam sebuah nasib yang malang.

Dengan bantuan Waltz, setiap emosi Margaret dan perkembangan wataknya dapat diterjemahkan dengan baik. Begitu juga dengan Waltz yang memberikan lakonan yang cukup baik.

Namun satu perkara yang sedikit mengecewakan penulis adalah pergerakan plot yang agak perlahan sehingga adakalanya menimbulkan sedikit rasa bosan.

Bagaimanapun ia tidaklah menjejaskan keseluruhan jalan cerita, apatah lagi dengan bantuan prop dan sudut teknikal lagi, Big Eyes adalah sebuah filem yang menarik untuk ditonton.

Justeru, bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah dan nasib Margaret, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.



Previous Post Next Post