SESETENGAH remaja pada hari ini, sering menjadikan penceraian ibu bapa sebagai salah satu punca untuk melibatkan diri dengan gejala negatif.
Namun berbeza dengan anak mudah berusia 20 tahun ini, dia memilih menghabiskan masa terluang memuat naik video di laman YouTube bagi mencari kawan baharu.
Caspar Richard Lee atau lebih dikenali dengan nama Caspar Lee di YouTube, dilahirkan pada 24 April 1994 di Paddington, London.
Caspar mempunyai seorang kakak bernama Theodora. Caspar berpindah bersama keluarganya ke Afrika Selatan tidak lama selepas dilahirkan.
Kemudian ketika berusia 13 tahun, Caspar memasuki Sekolah Tinggi Oakhill di Knysna dan berkenalan dengan Josh yang menjadi kawan baiknya sehingga kini.
Beberapa tahun selepas itu, ibu bapa Caspar mengambil keputusan untuk bercerai dan berita itu sangat mengejutkan dan membuatkan Caspar berasa marah dan kecewa.
Biarpun sukar untuk menerima berita tersebut pada mulanya, Caspar akhirnya mengekalkan hubungan baik dengan kedua ibu dan bapanya meskipun mereka berpisah.
Sebagai terapi mengubati kekecewaan, Caspar kemudian membuka saluran YouTube pertamanya pada usia 16 tahun menerusi nama DiCasp iaitu singkatan kepada Director Caspar (Pengarah Caspar).
Kini, Caspar membahagi salurannya kepada dua iaitu saluran utama dengan nama Caspar dan saluran kedua yang dinamakan saluran rahsia dengan nama morecaspar.
Namun siapa sangka, niatnya untuk mencari rakan baharu di YouTube, mendapat perhatian setelah dalam masa enam bulan, Caspar mula menjadi popular.
"Sejak mula dikenali ramai, saya berpeluang berjumpa dan berkenalan serta berkolaborasi dengan beberapa nama popular di YouTube seperti JacksGap, Sam Pepper, Marcus Butler, Alfie Deyes, Bertie Gilbert dan ramai lagi. Kolaborasi itu menyebabkan pengikut saluran saya bertambah bertambah.
"Namun dari sudut lainnya, saya melihat perkenalan itu memulakan titik persahabatan saya dengan ramai orang. Lebih istimewa, kami sentiasa menyokong karier antara satu sama lain setiap masa.
"Kami juga bergembira dengan apa yang kami lakukan dan juga menyokong orang lain yang mahu menjadi seperti kami," katanya.
Dari perkenalan itu, Caspar mengambil keputusan untuk berpindah ke London dan tinggal bersama Joe Sugg, seorang vlogger YouTube terkenal menerusi saluran ThatcherJoe.
"Saya seronok tinggal bersama Joe kerana dia banyak membantu saya mendapatkan idea baharu untuk video saya. Namun dalam masa yang sama, saya berharap dapat membawa Joe tinggal bersama saya di Afrika Selatan agar kami dapat berkongsi pengalaman yang sama," ujarnya.
Belum puas
Kini dengan pengikut sebanyak 3.6 juta di Caspar dan lebih satu di morecaspar, Caspar mendedahkan dia masih belum merasa puas dengan video yang dimuat naiknya.
"Kebanyakan idea video saya datang daripada pengikut saluran saya dan mereka sangat suka apabila saya sering mengemas kini video saya dalam masa yang singkat.
"Namun ada ketikanya, saya rasa video yang saya muat naik belum cukup menimbulkan rasa kagum terhadap diri sendiri dan ada ketikanya saya cemburu melihat kawan lain memuat naik video mengagumkan. Apabila itu berlaku, saya sering memaksa diri membuat perkara serupa," katanya.
Justeru Caspar berkata, dia memilih mempelbagaikan video-video yang dimuat naiknya.