Erra, Mahu jodoh saling melengkapi



TANGGAL 30 Disember lalu merupakan satu tarikh yang tidak akan pernah luput dari ingatan penulis apabila berpeluang menyelusuri perjalanan seni Primadona Filem Melayu, Erra Fazira.

Biarpun rasa gugup menyelebungi sanubari penulis apabila diberi tugasan untuk menemuramah pemilik nama sebenar Fazira Wan Chik, namun perasaan gementar itu hilang sekelip mata saat pandangan mata mula bertemu.

Bertentang mata buat kali pertama, hati penulis terpikat dengan perwatakannya yang masih sama seperti Erra Fazira yang dikenali di layar perak. Senyum dan tawanya sepanjang sesi fotografi seakan-akan mampu merawat jiwa yang sedang lara.




Sifatnya yang lembah lembut dan merendah diri membuatkan penulis tidak kekok untuk berbual rancak dan bercerita lanjut perihal kisah cinta dan kerjaya bekas Ratu Cantik Malaysia itu.

Bertemu Erra yang anggun mengenakan busana pereka terkenal, Rizman Ruzaini pada sesi fotografi di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, penulis sengaja memulakan bicara dengan menanyakan resipi kejayaannya dalam industri seni tanah air yang sehingga kini masih menjadi rebutan penerbit.

Katanya, sepanjang 21 tahun bergelumang dalam dunia seni tanah air, dia sentiasa menerapkan nilai disiplin dalam diri, selain menganggap rezeki yang hadir sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Kejayaan hari ini datangnya daripada Yang Maha Esa. Jujurnya, saya anggap kerjaya ini sebagai sesuatu kerja yang serius dan bukan sambil lewa. Amanah yang digalas ini harus dizahirkan dengan sempurna walaupun bebannya saya seorang yang terasa.

“Disiplin juga memainkan peranan yang penting untuk kekal bertahan dalam lapangan seni tanah air. Selain itu, saya sentiasa mengikut permintaan khalayak supaya mutu lakonan saya seiring dengan peredaran semasa,” ujar Erra yang tampil jelita ketika ditatarias jurusolek terkenal, Deq Sha.

Tambahnya, sejak memulakan karier lakonan pada tahun 1994, dia sudah mencuba berbagai jenis karakter yang diidam.


BAGI Erra, berlakon teater lebih memberi kepuasan kepadanya.

Malah, pembabitannya dalam dunia lakonan filem mahupun drama sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Buktinya, Erra sudah menggondol lebih 10 anugerah dalam kategori Aktres Terbaik Filem.

Erra yang baharu sahaja melebarkan portfolio kerjayanya dalam bidang teater dan selesai menjalani pementasan Takhta Tiga Ratu di Istana Budaya, Kuala Lumpur memberitahu, setiap cabang lakonan yang dilakukannya mempunyai kepuasantersendiri.

“Sukar untuk saya mencari kelemahan ketika menggalas tanggungjawab berlakon dalam filem, drama mahupun teater. Apa yang boleh saya katakan, sangat bersyukur dan berpuas hati kerana Tuhan beri saya peluang untuk berlakon filem.

“Kalau drama pula, tidak banyak lakonan yang saya bintangi. Jadi, susah untuk saya cari kelemahan yang terdapat dalam drama tetapi skala lakonan filem dan drama sangat berbeza. Masing-masing mempunyai kekuatantersendiri.

“Bercakap mengenai pementasan teater pula, ia bukan satu tugas mudah. Biarpun mempunyai kepuasan dan cara kerja berbeza tetapi teater lebih banyak tekanan. Sehinggakan setiap kali berlakon teater, saya pasti akan jatuh sakit.

“Teater lebih memberikan kepuasan kepada saya kerana kami bekerja dalam satu kumpulan sehingga menjadi rapat seperti sebuah keluarga,” kata Erra sambil memberitahu, tahun 2015 ini, dia mahu bergiat di belakang tabir.

Kehidupan baharu

Tahun 2014 telah melabuhkan tirainya dan boleh dikatakan banyak kisah suka dan duka yang dilalui Erra sepanjang tahun lalu.

Apa tidaknya, 2014 menyaksikan pergolakan rumah tangga antara Erra Fazira dan Engku Emran apabila mereka bercerai pada 18 Februari tahun lalu selepas hampir tujuh tahun menjadi suami isteri.


BUAT masa ini, Erra lebih pentingkan kerjaya dan anak.

Ditambah lagi, hak penjagaan anak, Engku Aleesya, 6, diberikan kepada Emran dengan persetujuan bersama, selain Erra juga tidak membuat sebarang tuntutan nafkah edah dan mutaah.

Bercakap mengenai kedatangan tahun 2015, Erra pastinya mahu menjadi bunga yang mekar.

Tidak mahu dirundung derita lalu, Erra nekad kembali menyesuaikan diri sebagai ibu tunggal.

Kata anak kelahiran Rawang, Selangor itu, selepas dua kali gagal dalam melayari bahtera rumah tangga, dia menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa.

“Saya sedang menyesuaikan diri sebagai ibu tunggal. Kini, saya banyak membahagikan masa dengan anak dan kerjaya sehingga tiada masa untuk memikirkan tentang diri sendiri.

“Tidak dinafikan, naluri untuk berteman dan berkasih itu masih ada, tetapi bahagian itu saya serahkan kepada Yang Maha Esa.Saya berharap jika ada jodoh nanti biarlah ia saling melengkapi antara satu sama lain.

“Sejujurnya, pada usia 41 tahun ini, saya tiada sasaran untuk menamatkan zaman bujang. Ini kerana, saya sudah berusaha cari yang sesuai. Sepanjang kehidupan ini saya sudah ikut kemahuan hati, pilihan keluarga dan mendengar kata rakan-rakan.

“Kadangkala saya suka seseorang itu tetapi perhubungan itu terkandas. Mungkin Tuhan jauhkan saya daripada orang yang memudaratkan saya dalam jangka masa panjang. Oleh itu saya reda,” ujar Erra yang kini dikatakan sedang berkawan rapat dengan seseorang.

Dunia dan akhirat

Sementara itu, Erra yang bakal mencecah usia 41 tahun pada 9 Februari depan mengakui, angka tersebut bukanlah titik noktah untuknya terus berkarya dalam industri seni tanah air.

“Orang tidak faham mengapa pada usia 41 tahun, saya masih bekerja keras dalam dunia seni. Ini kerana, saya perlu lakukan demikian untuk menyalurkan rezeki kepada keluarga.

“Ada juga yang berpendapat, saya masih mahu mengejar glamor sedangkan mereka tidak tahu bahawa saya ada ibu yang harus dijaga. Tanggungjawab saya bukan menanggung diri seorang sahaja. Ramai di sekelilingyang bergantung hidup dengan saya. Pekerjaan ini adalah amanah daripada Allah. Tuhan beri rezeki kepada mereka menerusi saya.

“Sesetengah orang beruntung kerana pada usia 40 tahun, mereka sudah disunting dan sudah ada yang sanggup menyara kehidupannya. Bagi saya, tidak semua orang bertuah. Saya antara wanita yang tidak bertuah daripada sudut itu.

“Sebenarnya, saya pernah terfikir untuk meletak tepitanggungjawab menjadi anak seni dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Malangnya, saya tidak mampu kerana ini adalah haluan yang saya pilih. Saya tidak memilih seseorang yang kaya untuk dijadikan suami,” jelas Erra yang mempunyai masa selama dua hari seminggu untuk bersama anak kesayangannya, Aleesya.

Tambah Era, pada usia 41 tahun ini, dia mahu mencapai keseimbangan dunia dan akhirat.

“Fokus saya sekarang mencari kesempurnaan dunia dan akhirat. Bagi saya, kehidupan boleh belajar melalui pengalaman, tetapi agama perlu dituntut dan saya sedang mendekatkan diri ke arah itu sekarang,” jelas Erra lagi.



Previous Post Next Post