Elizabeth Tan, Saya tak pernah demand


LAGU single Knock Knock mengangkat nama Elizabeth.

CANTIK dan berbakat. Itu sudah cukup menggambarkan diri penyanyi yang semakin mendapat tempat di hati pengikut industri hiburan negara, Elizabeth Tan. Apa yang pasti, perjalanan seni yang mula diteroka Elizabeth hari ini, bukanlah suatu yang pernah terjangkau fikirannya.

Dia tidak pernah menjangkakan lagu Knock Knock nyanyiannya itu benar-benar membawa dirinya sejauh ini. Mana tidaknya, dalam tempoh kurang tiga bulan selepas merakamkan lagu tersebut, naskhah ciptaan komposer Faizal Tahir itu benar-benar menangkap telinga pendengar.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, ketika pertama kali mendengar lagu tersebut, ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik suara lunak itu. Rata-rata pendengar tidak pernah menjangkakan bahawa lagu itu sebenarnya dinyanyikan wanita Cina.

Barangkali, kefasihannya melontarkan bait-bait lirik seperti lidah Melayu itu yang membuatkan telahan pendengar jauh meleset tentang penyanyi sebenar lagu tersebut.




“Saya sendiri terkejut dan tidak pernah menyangka lagu Knock Knock itu diterima ramai.

“Tambahan pula, lagu itu sendiri saya baru dapat bulan September lepas. Jadi, ia agak cepat juga mendapat respons positif daripada pendengar di luar sana,” katanya.

Sebenarnya, sebelum mendapat perhatian media tempatan, Elizabeth sudah terlebih dulu mendapat liputan media di Indonesia.

“Saya diundang untuk mengikuti satu program bual bicara berbentuk komedi di saluran Net. Itu pertama kali saya ke Jakarta untuk program televisyen.

“Perasaan saya ketika itu agak gementar kerana belum pernah ditemu bual media dari luar. Lagipun, mereka cakap laju sangat dalam bahasa Indonesia. Saya agak susah sedikit mahu faham apa yang mereka sampaikan,” katanya yang sudah biasa menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian.


SELAIN menyanyi, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga sudah berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

Menurutnya lagi, dirinya diundang selepas pihak media di sana menonton video-video nyanyiannya yang dimuat naik di laman sosial YouTube.

“Saya memang seorang yang suka menyanyi. Saya suka merakamkan lagu-lagu cover (nyanyian semula) penyanyi lain mengikut cara saya. Cuma saya mula aktif berkongsi video tersebut di YouTube sejak setahun lalu,” ceritanya kepada Sensasi Bintang pada satu pertemuan sesi fotografi baru-baru ini.

Tak pernah demand

Sejak lagu Knock Knock menjadi siulan ramai dek muziknya yang boleh dianggap ‘catchy’, susun atur hidup penyanyi berusia 21 tahun itu juga berbeza. Hari ini, dia melalui rutinnya sebagai penyanyi sepenuh masa.

Memenuhi undangan persembahan, menghadiri sesi fotografi dan ditemu bual, kini itu semua antara perkara yang melingkari hidup anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Mengakui jadualnya sudah mula sibuk, lebih-lebih lagi selepas memasuki kalendar baharu 2015, Elizabeth mengharapkan langkah yang baru dibuka itu bergerak mengikut apa yang dirancang sebaik-baiknya.

Sungguhpun begitu, lumrah kehidupan sebagai artis, dia juga tidak dapat lari daripada cakap-cakap buruk mengaitkan dirinya.

Tatkala dia sedang mengecapi kejayaan lagu Knock Knock, Elizabeth dilempar gosip yang kurang enak apabila ada pihak mendakwa dia dikatakan mula menjadi seorang yang demand selepas namanya dikenali ramai.


BIARPUN fasih menyanyikan lagu Melayu, penyanyi berusia 21 tahun ini lebih selesa menyanyikan lagu berbahasa Inggeris.

Namanya dikaitkan selepas ada pihak mendakwa Elizabeth hanya mahu menerima tawaran persembahan nyanyian daripada mana-mana pihak yang menawarkan bayaran tinggi.

“Saya tidak tahu mengenai cerita itu (dirinya demand). Ini kerana, saya mempunyai pengurus yang mengaturkan segala jadual seni saya. Ia termasuklah mengenai hal berkaitan undangan persembahan dan bayaran,” jelasnya.

Katanya, sebagai penyanyi yang duduk di bawah salah sebuah pihak pengurusan bakat, semestinya perkara berkaitan bayaran bukan bidang kuasanya.

“Mungkin juga berlaku salah faham kerana mereka bukan berurusan secara langsung dengan saya,” ujarnya.

Biarpun berita sedemikian sedikit sebanyak mencalarkan imejnya, Elizabeth tidak cepat melatah.

Dia sedar sebagai orang yang mahu mula menapak, dia perlu tabah dan cekal menghadapi segala cabaran mendatang.

Berlakon

Mengetepikan perihal dirinya seorang yang demand, Elizabeth memberitahu, rezeki bukan sahaja terbuka dalam bidang nyanyian, malah dalam bidang lakonan.

Buktinya, filem pertama lakonannya berjudul Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium bakal menerjah panggung tidak lama lagi.

“Penggambaran filem itu telah selesai dan mungkin ditayangkan pada Mei atau Jun depan,” ceritanya.

Menariknya mengenai gadis kelahiran Kuala Lumpur itu, biarpun namanya dikenali kerana nyanyian, kata Elizabeth, dia juga sebenarnya mempunyai minat terhadap dunia lakonan.

“Bagi saya, berlakon itu lebih sedikit santai kerana kita boleh menunggu. Bagaimanapun, menyanyi itu bagi saya lebih mudah sedikit.

“Jika berlakon, saya agak sukar untuk menghafal skrip dalam bahasa Melayu,” katanya yang bakal memegang watak utama dalam filem bergenre komedi itu.

Biarpun tidak mempunyai pengalaman berlakon sebelum ini, menurutnya, dia berterima kasih kerana banyak menerima bantuan dan tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain.

“Mereka beritahu, saya sesuai membawakan watak itu. Saya pun berasa pelik kerana ketika itu mereka tidak lihat lagi bagaiamana saya berlakon,” selorohnya menutup bicara.



Previous Post Next Post