Aaron, Diyana 12 tahun hidup bersama



SALING percaya dan bertolak ansur menjadi resipi kebahagiaan rumah tangga Aaron dan isteri, Diyana.

Menempuh kehidupan sebagai suami isteri hampir 12 tahun bukan suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila pasangan berstatus artis popular.

Biar pelbagai rintangan dan godaan dunia terpaksa dihadapi, namun aktor kacak Aaron Aziz dan isterinya, Diyana Halik membuktikan keteguhan cinta mereka.

Pasangan yang berkahwin pada 3 Ogos 2003 ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 10; Dwi Ariana, 8, dan Dahlia Arissa, 4.

“Hubungan saya dengan isteri tidak sama seperti orang lain. Saya dan isteri kerja bersama-sama. Dia yang menguruskan kerjaya lakonan saya. Sudah tentu kami akan sentiasa bersama. Kalau kami bergaduh, sekejap sahaja sudah berbaik. Kami juga faham kerja masing-masing. Bahkan, kami juga tidak pernah merungut antara satu sama lain,” kata Aaron yang bakal muncul dalam filem terbaharu Suamiku, Encik Perfect 10! di seluruh pawagam pada 22 Januari ini.

Ikuti temu bual Aaron dan Diyana menerusi ruangan Kopitiam pada minggu ini.

Adakah Aaron Aziz lelaki sempurna sepertimana lakonannya dalam filem terbaharu, Suamiku, Encik Perfect 10!?

AARON: Semua itu hanya lakonan semata-mata (ketawa). Bagaimanapun, saya rasa setiap penerbit akan memilih pelakon yang bersesuaian dengan watak dalam drama atau filem terbitan mereka. Mungkin, penerbit filem ini nampak ciri-ciri tersebut ada pada saya (ketawa).




DIYANA: Bagi saya, sempurnanya Aaron apabila dia cukup menjaga kebersihan rumah. Jika ada masa-masa rajinnya, dia akan mengemas rumah tanpa meninggalkan satu habuk pun. Selain itu, dia juga bersifat pelindung. Jika membawa anak-anak keluar, matanya hanya fokus pada anak-anak sahaja. Begitu juga dengan diri saya, kalau saya lambat balik ke rumah dia akan bertanya. Aaron juga teliti dalam menguruskan kewangannya.



Aaron bergandingan dengan Lisa Surihani dalam filem Suamiku, Encik Perfect 10!, apakah pendapat Aaron mahupun Diyana mengenai Lisa?

AARON: Sebelum ini saya pernah berlakon di samping Lisa dalam filem Ombak Rindu. Cuma, dalam filem ini (Suamiku, Encik Perfect 10!) babak kami berdua lebih banyak. Saya anggap dia seperti saya. Maksud saya, perangai dia yang menyerupai perangai saya. Cuma, kalau bab bekerja, Lisa lebih suka lakukan latihan. Mungkin itu cara dia untuk membina keserasian dengan pelakon gandingannya.

DIYANA: Gandingan Aaron dan Lisa nampak sangat serasi. Saya hormat Lisa sebagai pelakon dan saya sukakan dia daripada dia mula berlakon dahulu. Dia membuatkan saya rasa selesa di sampingnya walaupun saya bukan seorang pelakon (ketawa).

Selama 12 tahun hidup bersama, apakah perancangan 2015 kalian pula?

AARON: Melihat apa yang berlaku pada tahun 2014 seperti kehilangan pesawat syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, pesawat MH17 yang ditembak jatuh dan pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas serta banjir besar yang berlaku di Pantai Timur, saya rasa kita perlu sedar yang hidup ini singkat. Maka, janganlah mengejar duniawi sahaja. Pada tahun 2015 juga, saya tidak kisah jika tidak popular lagi. Popular bagi saya tidak penting lagi, sebaliknya hubungan erat antara suami isteri dan juga bapa dengan anak lebih menjadi keutamaan.

DIYANA: Tahun 2015, saya mahu lebih serius dalam perniagaan tudung.



DIYANA bersyukur kerana Aaron banyak membantuketika dia memerlukan pertolongan.

Bagaimana dengan perkembangan bisnes kalian iaitu Kidz & Creme dan tudung Diyana Halik?

AARON: Sebagai pemilik kepada kafe Kidz & Creme yang mula beroperasi sebelum Ramadan lalu di Setia Alam, Shah Alam, Selangor, saya kena sedar bisnes ini tidak semestinya hari-hari bagus. Adakalanya kita diuji. Bagi saya, kalau bisnes tidak bagus kita tidak perlu terkejar-kejar dan jika bisnes sukses, jangan pula kita bermegah-megah. Apa yang penting, pekerja gembira dan dapat gaji yang setimpal.

DIYANA: Buat masa ini, saya hanya menjalankan bisnes tudung di atas kafe Kidz & Creme. Insya-Allah, kalau Aaron sudi melabur, saya rancang untuk membuka butik tudung satu hari nanti (ketawa). Selain dua bisnes ini, kami juga merancang untuk membuat satu lagi bisnes.

Ada perancangan untuk menambah anak pada tahun ini?

AARON: Buat masa ini tiada perancangan lagi. Kalau ikutkan, tiga anak sudah mencukupi tetapi jika dikurniakan lagi cahaya mata saya tidak akan menolak.

DIYANA: Tiada perancangan. Saya rasa tiga orang sudah mencukupi tetapi saya juga tidak boleh cakap tidak mahu sebab jika Tuhan kurniakan, saya terima.

Apakah pemberian atau perbuatan pasangan yang kalian ingat dan sangat hargai?

AARON: Sudah tentu anak-anak. Selama 12 tahun hidup bersama dengan Diyana, saya anggap pemberian anak-anak sesuatu yang tak ternilai buat diri saya.

DIYANA: Selama 12 tahun hidup bersama Aaron, hadiah paling bermakna dia berikan kepada saya adalah sebuah rumah yang dijanjikan dan juga setiap percutian luar negara yang kami berdua pergi. Ia merupakan kenangan terindah buat saya. Selain itu, perbuatan dia yang bermakna apabila mengambil alih peranan saya selepas melihat saya dalam keadaan tertekan akibat kerja yang berlambak.



Previous Post Next Post