Gimik Shiro menjadi



PENTAS Maharaja Lawak Mega (MLM2014) minggu ke-10 menyaksikan kumpulan Shiro begitu menyerlah berbanding peserta lain dengan dua sketsa yang bertemakan Trend Terkini dan Radio di Dewan Teater Shah Alam, Jumaat lalu.

Biarpun membawa semula watak Bangladesh Mujibbur yang dilakonkan Shahrul, namun gimik mereka menjadi ditambah pula dengan lagu mix yang diadun dengan suara Datuk Jalaluddin Hassan.

Selain watak Mujibbur yang menjadi trademark Shahrul, kumpulan itu turut memperkenalkan watak Kadir (Ajak) buat pertama kali untuk disesuaikan dengan lagu ciptaan mereka.




“Sketsa ini dilakonkan berdasarkan lagu yang telah kami sediakan. Sesuai dengan muzik ala-ala Hindustan, maka watak Mujibbur kembali dengan kehadiran rakannya, Kadir.

“Sebenarnya, kami agak takut dengan penerimaan Datuk yang sememangnya terkenal dengan komen-komen pedas. Namun, beliau menerima lawak kami dengan hati terbuka,” ujarnya.

Menurut Shahrul, mulanya dia risau dengan penerimaan penonton, namun jangkaannya meleset kerana rata-rata penonton dan peminat dapat menerima watak tersebut.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi kumpulan SYJ yang dianggotai oleh Jihan Muse, Yassin dan Syuk apabila tersingkir pada malam itu.

Hanya tinggal enam peserta sahaja iaitu Bocey, Zero, Sepahtu, Shiro, Virus dan Nabil untuk meneruskan perjuangan mereka pada minggu hadapan.



Previous Post Next Post