MULA dimasukkan ke Hospital Columbia Asia, Setapak, sejak Sabtu minggu lalu, pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah, memberitahu bahawa keadaannya kini bertambah stabil.
Pun begitu, Ifa tetap risau tahap kesihatannya itu kerana pada hari ini bakal berlangsungnya pentas final rancangan realiti, Gegar Vaganza.
Setelah beberapa minggu berentap bersama 12 peserta lain, Ifa melayakkan diri ke pentas final bersama lima finalis lain iaitu Rahmat Mega, Mamat Exist, Haleeda, Ayai dan Fazli Zainal.
Ketika dihubungi Zass, Ifa memberitahu bahawa keadaan kesihatannya bertambah baik, namun belum sihat sepenuhnya lagi.
"Pada mulanya, saya batuk-batuk dan bila keadaan bertambah teruk, saya terus ke hospital. Doktor mengesahkan bahawa paru-paru saya dijangkiti kuman.
"Namun, kini keadaan paru-paru saya semakin stabil namun batuk masih lagi berlanjutan. Saya risau dengan keadaan ini kerana saya perlu beraksi di pentas final, Gegar Vaganza.
"Sehingga kini, saya masih belum boleh menyanyi dan diharapkan agar saya mampu lakukan yang terbaik. Doakan saya agar kembali pulih," katanya lagi.
Menganggap semua ini sebagai dugaan daripada ALLAH SWT, Ifa memberitahu bahawa dia perlu kuat untuk hadapi segala cabaran dan kemungkinan.
"Doktor ada menasihatkan saya supaya jangan terlalu memikirkan soal pertandingan itu agar tidak stress kerana ianya boleh menyebabkan saya lambat sembuh.
"Jadi, saya kena kuat hadapi semua ini dan sentiasa berfikiran positif. Doakan saya berjaya di final Gegar Vaganza," pintanya lagi.
Sepanjang berada di hospital berkenaan, Ifa menerima lawatan daripada rakan-rakan artis termasuk rombongan persatuan Seniman Malaysia.
Malah, Presiden Seniman, Zed Zaidi, turut menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban kewangan Ifa yang juga ahli persatuan Seniman.