RAMAI yang berpendapat tidak lengkap tahun baharu tanpa azam baharu dan perkara itu turut disetujui oleh jurulatih kecergasan terkenal, Kevin Zahri.
Jejaka itu berhasrat untuk melaksanakan impiannya yang tertangguh sejak dua tahun lalu iaitu khatam al-Quran.
"Saya membesar di Jerman dan pada ketika itu tiada bimbingan untuk mengajar saya mengaji.
"Saya mula mengaji apabila sudah pulang ke tanah air. Malangnya, ketika itu pengajian yang saya terima tidak begitu tersusun.
"Oleh sebab itu, saya mula meletakkan azam untuk khatam al-Quran sejak dua tahun lalu," katanya ketika ditemui Zass, baru-baru ini.
Nekad dengan cita-citanya itu, dia dan keluarganya kini sedang mengikuti pengajian al-Quran bersama seorang guru agama yang juga rakan baiknya.
"Saya bermula dengan membaca Muqaddam dan kini sedang mengaji al-Quran. Alhamdulillah, sekarang bacaan saya sudah menjangkau hingga ke surah Yusuf.
"Insya-ALLAH, sasaran saya hinggalah selepas raya nanti dan ia bergantung kepada bilangan kekerapan mengaji," katanya.
Tambah Kevin, biarpun umurnya kini sudah menjangkau 35 tahun, namun dia tidak merasakan tindakannya itu sebagai terlambat untuk dilaksanakan.
"Biarlah lambat daripada tidak pernah langsung. Saya amat bersyukur apabila ramai yang menyokong dan secara tidak langsung ia memberi inspirasi bahawa belum terlambat dalam mencari jalan untuk berubah ke arah yang lebih baik," katanya.
Dia yang sudah menunaikan umrah sebanyak tiga kali menjelaskan agama merupakan aspek yang besar dalam kehidupan.
"Dengan agama, kita dapat mengimbangkannya dengan kehidupan seharian kerana tanpanya manusia bagaikan tiada pegangan hidup dan hala tuju," katanya yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji suatu hari nanti.
Dalam perkembangan lain, Kevin kini dilantik sebagai jurucakap dalam mempromosikan produk terbaharu ‘Nivea Men Cool Kick’ di samping aktor Zul Ariffin dan Nazim Othman.