Amy Mastura tak serik


WALAUPUN usia kariernya bukanlah setahun jagung, namun pelakon Amy Mastura masih belum terlepas daripada menerima kritikan dalam lakonannya.

Ramai yang berpendapat, tanggungjawabnya dalam menggalas watak sebagai seorang datin menerusi drama bersiri slot Akasia, Maaf Jika Aku Tidak Sempurna kurang menjadi.

Namun itu bukanlah alasan buat Amy untuk menolak tawaran yang menuntut dirinya untuk membawakan watak seperti itu sekali lagi.




“Alhamdulillah, walaupun dikritik, saya masih diberi peluang untuk diberikan watak yang sama menerusi drama Bencinta dalam slot Akasia yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Saya akui ramai yang cakap saya tidak sesuai bawa watak seperti itu, tapi bagi saya bila pengarah dan produksi mahukan saya lakonkannya, itu maknanya mereka percaya dengan bakat saya.

“Saya ada gaya lakonan tersendiri dan mungkin mereka mahukan karakter seperti itu dan saya tidak takut untuk mencubanya sekali lagi.

“Sebagai pelakon, saya cuba buat yang terbaik dan tidak akan kecewakan kepercayaan yang diberikan oleh pihak produksi,” katanya kepada Sinar Harian.

Beralih pada perkembangan karier nyanyiannya, Amy yang turut terlibat dalam drama muzikal ‘Dee’ siaran Astro Ceria ini memberitahu dia bakal tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Menari Lerr’.

“Sebenarnya lagu ini memang sudah siap dirakamkan cuma muzik videonya sahaja yang belum siap.

“Dalam drama Dee ini juga single itu turut dimainkan. Genre lagu ini masih sama dengan lagu-lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini,” ujarnya.



Previous Post Next Post