PERSONALITI popular ini bukanlah asing di kalangan peminat seni tempatan. Sementelah sejak bergelar saudara Islam tahun lalu, dia terus menjadi tumpuan banyak pihak.
Mengakui mendapat pelbagai tawaran dalam bidang seni khususnya lakonan, empunya nama Raisyyah Rania Yeap ini berkata, dia bagaimanapun terpaksa menolak banyak tawaran tersebut rentetan tidak bersesuaian dengan imejnya kini.
“Semenjak saya mengucap dua kalimah syahadah dan memeluk agama Islam secara rasmi tahun lalu, saya sudah menolak beberapa tawaran berlakon.
“Ia atas sebab saya sendiri yang berkeras tidak mahu melakonkan watak yang memerlukan saya bersentuhan dengan lelaki.
“Malah saya juga tidak ingin penerbit dan pengarah serba salah dalam menjalankan tugas-tugas mereka menyempurnakan kerja disebabkan prinsip saya,” kata pelakon
Nikah Kita Bercinta ini.
Tambahnya yang mesra disapa Rara ini, dia mengakui ketika mula-mula memeluk Islam, dia masih tidak tahu bahawa Islam tidak membenarkan wanita bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim.
“Pada masa itu saya mendapat lebih tawaran lakonan berbanding sekarang,” ujar pelakon berusia 29 tahun ini.
Atas alasan itu, ujar Rara, mungkin pihak penerbit dan pengarah menganggap dia menolak bidang lakonan.
“ Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana berpeluang mencuba bidang lakonan dan belajar daripada kesilapan saya yang lalu.
“Insya-ALLAH, mungkin suatu hari nanti saya akan dapat watak yang betul-betul membenarkan saya menutup aurat dengan sempurna dan tidak perlu bersentuhan dengan artis lelaki,” katanya itu antara syarat untuk menerima mana-mana tawaran lakonan.
Tambahnya, dia juga cenderung dengan karya yang boleh memberi impak besar dan kesedaran agama kepada penonton.
“Saya memang tertarik dengan karya yang boleh memupuk keharmonian antara semua bangsa walaupun berbeza agama dan saya juga ingin cuba karya yang lebih ringan.
“Contohnya seperti filem, Matahari Terbit Lagi. Ketika menonton filem ini bersama ibu, saya dapat menjelaskan mengenai agama Islam kepadanya perlahan-lahan,” katanya.
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, kata Rara, dia masih aktif menjadi model Muslimah dan juga duta rasmi kepada beberapa produk.
“Buat masa sekarang, setiap kerja saya mengikut syariat Islam seperti menjadi duta kepada tudung jenama Neng Geulis dan produk mekap FCC (Farmasi Color Cosmetic) yang halal dan boleh dibawa solat,” katanya dalam usaha mengumpul modal untuk menjalankan perniagaan tahun ini.
Tegur cara berhemah
Dalam pada itu, Rara juga sering dipandang tinggi kerana meskipun baru memeluk agama Islam namun dia sering berkongsi nasihat dan pandangan bersama peminatnya di laman sosial.
Menariknya, pandangan, nasihat dan teguran yang disampaikan dilakukan dengan sopan dan lembut sehingga membuatkan dia dihormati masyarakat.
Berbicara mengenai perkara itu, jelasnya, dia tahu bagaimana rasanya dikritik dan ditegur tanpa hemah.
“Berbalik kepada pengalaman saya, ketika mula-mula mahu bertudung dahulu (sebagai bukan Islam), jadi, saya gunakan semua itu sebagai cara untuk memastikan kata-kata saya tidak akan menyakiti sesiapa.
“Dengan niat berdakwah dan memberi nasihat serta pengajaran yang saya ambil dari pengalaman sendiri.
“Bagi saya, tidak ada sesiapa yang boleh menghukum orang lain atau ditegur secara kasar. Setiap orang berhak untuk diberi peluang kedua untuk bertaubat kerana sejahat-jahat seseorang itu, dia juga mungkin bertaubat suatu hari,” katanya sentiasa beringat untuk merendah diri dan banyakkan berdoa.
Pun begitu, jelasnya, dia tetap reda dengan sesetengah pihak yang masih tidak berpuas hati dengannya selama ini.
“Ada yang masih berkeras mahu mencari kesalahan saya sehinggakan sanggup membuat fitnah dan mengaibkan saya.
“Apa pun, saya sentiasa ingat bahawa diri saya ini bukanlah sesiapa, dan dunia ini hanyalah sementara. Tiada kebaikan yang boleh kita dapat daripada melakukan kejahatan,” katanya.
Tidak terlepas berkongsi soal jodoh, akui Rara, dia sememangnya mengimpikan seorang teman untuk mengisi kekosongan hidupnya.
“Saya dah lama inginkan teman yang halal untuk berkongsi hidup dan dijadikan syurga saya, tetapi jodoh tetap di tangan ALLAH SWT dan lambat atau cepat semuanya ketentuan-NYA,” katanya lagi.