NAMA Baki Zainal tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang pengacaraan. Terpilih menggantikan penyampai radio popular, Halim Otham bagi slot Ceria Pagi Suria FM bermula 5 Januari lalu, Baki berkata, tawaran tersebut sesuatu yang sangat mencabar dirinya.
"Meskipun sebelum ini pernah mengambil alih tempat tersebut selama sebulan tetapi kali ini lebih berbeza kerana saya akan mengemudikan segmen itu dalam jangka masa yang lebih panjang.
"Malah bukan mudah untuk memberikan kepuasan kepada pendengar yang sudah selesa dengan kehadiran Halim," katanya.
Jelasnya, tawaran itu tidak mungkin dilepaskan sementelah dia sangat teruja menyertai keluarga Suria FM dan dapat meneruskan kerjasama dengan Adibah Noor menerusi slot Ceria Pagi, setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 5 hingga 10 pagi.
"Saya percaya ini adalah ruang untuk mengembangkan lagi bakat saya dalam bidang ini selain bergelar pengacara televisyen sahaja.
Penyampai yang fasih berbahasa Mandarin ini menjelaskan, walaupun masih belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan kerjaya baharunya itu, dia tetap bersyukur kerana banyak mendapat sokongan daripada seluruh keluarga Suria FM.
Baki menggantikan Halim yang kini telah beralih ke segmen sukan, Grandstand Suria pada setiap hujung minggu.