Nurul lahir bayi lelaki petang Khamis.
Penyanyi Nurul Wahab terpaksa membatalkan majlis baby shower yang dirancang pada 25 Januari ini gara-gara terpaksa melahirkan anak lebih awal secara pembedahan.
Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 37, melahirkan bayi lelaki di Pusat Perubatan Prince Court dekat sini, pukul 4.43 petang Khamis seberat 2.48 kilogram.
Mengikut jadual, Nurul sepatutnya bersalin pada Februari depan.
"Rancangan awal untuk buat baby shower pada 25 Januari ini bersama kawan-kawan dan peminat saya dan jemputan semua sudah pun diedar.
"Biarpun pada awal minggu lalu berlaku pendarahan dan kemungkinan untuk bersalin awal, tetapi doktor beritahu keadaan saya ketika itu masih boleh bersalin pada Februari jika uri saya naik semula, itu yang membuatkan saya yakin untuk teruskan rancangan majlis baby shower itu.
"Tidak sangka pula Ahad lalu pendarahan berlaku sekali lagi sehingga saya terpaksa menjalani pembedahan pada petang semalam (Khamis)," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Nurul dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court dekat sini petang Ahad selepas berlaku pendarahan sekali lagi akibat mengalami placenta previa atau uri berada di bawah.
Bagaimanapun, Nurul bersyukur segalanya berjalan lancar dan bayinya juga berada dalam keadaan sihat.
Tambahnya, buat masa ini dia tidak menerima sebarang tetamu berikutan bayi tersebut masih memerlukan rawatan rapi.
"Ini pertama kali saya bersalin secara pembedahan dan perasaan memang takut ketika itu, nasib baik saya ditemai oleh suami sepanjang pembedahan berjalan.
"Buat masa ini saya tidak menerima tetamu kecuali keluarga terdekat berikutan keadaan anak saya masih lagi di bawah pengawasan doktor," ujarnya.
Nurul bernikah dengan Eric Daniel Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Zachary Depp, yang berusia kira-kira 15 bulan.
Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan dengan suami pertama, komposer, Ajai.