BERIKUTAN kontroversi yang melibatkan kumpulan Mojo dan vokalis asalnya, Aweera, kumpulan yang terkenal dengan lagu ‘Romancinta’ ini mula mengatur strategi baharu untuk bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) yang bakal berlangsung Ahad ini.
Pada masa yang sama, Mojo turut memperkenalkan penyanyi berasal dari Jakarta, Indonesia, Ryan Brakhma sebagai vokalis terbaharunya.
Menurut ketua kumpulannya, Edry Abdul Halim, Mojo terpaksa melakukan perubahan pada strategi awal yang telah dirancang untuk AJL.
“Bila bercakap mengenai pertandingan, kita perlu ada strategi untuk menang dan ia tidak sepatutnya didedahkan terlebih dahulu sehinggalah pada hari persembahan.
“Tapi setelah apa yang berlaku, kami terpaksa mengubah semula strategi yang ada dan kami menghormati pihak penganjur bahawa setiap persembahan pada malam itu perlu ada keunikan dan kelainan tersendiri.
“Kami tidak akan dedahkan strategi itu sehinggalah penonton melihat sendiri persembahan kami kelak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Edry, 39, turut yakin Ryan mampu menggalas tanggungjawab sebagai vokalis kumpulan itu dengan baik memandangkan bakatnya yang tersendiri.
“Kami yakin, keunikan vokal yang dimiliki Ryan mampu mengembalikan semula kepercayaan peminat terhadap Mojo. Vokal Ryan yang universal, mampu bawa Mojo ke peringkat yang lebih baik,” ujarnya.
Saya sudah bersedia -Ryan
Sebagai orang baharu dalam kumpulan itu, Ryan akui telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan termasuklah perbandingan peminat yang akan mengaitkan dirinya dengan Aweera.
“Saya percaya setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing dan begitu juga dengan diri saya sendiri. Tapi saya juga yakin dengan bakat yang saya ada dan menerima segala kemungkinan,” katanya.
Ryan turut akui bersedia jika Mojo memerlukan dirinya untuk beraksi di pentas AJL 29.
“Jika Mojo perlukan saya untuk menyanyi saya bersedia dan saya mahu buat yang terbaik tapi jika Mojo tidak perlukan saya, saya juga menerimanya,” jelasnya ringkas.