EKORAN pasaran dan sambutan terhadap album kanak-kanak sangat tinggi sekali gus mencetuskan idea kepada UNIC untuk menerbitkan album Mudahnya Berdoa, yang dipasarkan sejak November lalu.
Lebih menarik, album berkonsepkan doa harian ini menampilkan salah seorang anggota UNIC iaitu Bazli Hazwan Che Osman atau Bazli sebagai pencipta dan penerbit serta menggabungkannya dengan peserta-peserta rancangan realiti TV kanak-kanak iaitu Muhammad Amirul Munir Azlin, Muhammad Amnan Muhammad Sani dan Saiful Hadi Baharin.
Mengulas lanjut, kata Bazli, album Mudahnya Berdoa ini menghimpunkan pelbagai jenis doa berserta terjemahan sambil diiringi dengan muzik ringkas bersesuaian dengan konsep hiburan berpendidikan yang diketengahkan.
“Oleh sebab berfokus terhadap kanak-kanak, jadi kami menggunakan muzik rancak agar ia tidak bosan selain bertujuan untuk memudahkan kanak-kanak menghafal. Album ini bukan sekadar wadah hiburan, bahkan pengisiannya membantu anak kecil mengingati doa dengan cepat.
“Alhamdulillah, ramai suka album ini, malah kami dapat maklum balas daripada ibu bapa bahawa anak mereka dapat hafal semua doa dimuatkan. Ia jadi siulan harian anak kecil, malah ada antara doa itu belum dihafal ibu bapa,” katanya kepada Zass.
Tambahnya, album yang mengandungi 23 lagu dengan 17 daripadanya adalah doa-doa harian dengan setiap ayat dan terjemahannya disemak oleh pendakwah, Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre dan Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin atau Fakhrul dari UNIC.
“Antara doa-doa yang terkandung dalam album ni ialah Doa Bangun Tidur, Doa Membuka Pakaian, Doa Masuk Tandas, Doa Keluar Tandas, Doa Memakai Baju, Doa Ketika Melihat Cermin, Doa Keluar Rumah, Doa Ketika Terdengar Petir, Doa Naik Kenderaan, Doa Sebelum Makan, Doa Selepas Makan, Doa Terlupa Membaca Bismillah, Doa Selepas Makan, Doa selepas Wuduk dan Doa Untuk Ibu Bapa.
“Insya-ALLAH, album ini dijamin tiada kesalahan baris dan makna. Penerbitan album ini memang dibuat dengan sangat teliti dan setiap melodi yang dibuat juga bersesuaian mengikut doa tersebut,” katanya.
Album terbitan UNICDOTMY Pro Sdn Bhd ini dijual di pasaran dengan harga RM19.90 seunit. Selain dari pasaran luar, peminat juga boleh mendapatkannya secara atas talian di www.unicmyshop.com.
Tidak tambah ahli
Umumnya mengetahui, mulai 1 Januari lalu, salah seorang ahli kumpulan UNIC iaitu Fadzli atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Abd Aziz tidak lagi bersama kumpulan nasyid terkenal itu.
Kata Bazli, ketiadaan Fadzli tidak mematahkan semangatnya dan Fakhrul untuk meneruskan perjuangan UNIC. Biarpun berdua, sehingga kini, aktiviti persembahan masih lagi diteruskan seperti biasa, malah segala perancangan diatur bersama Fadzli sebelum ini akan dilaksanakan.
“Soal pengganti, kami belum fikirkan lagi. Buat masa ini biar kami berdua menggerakkan UNIC dan Insya-ALLAH satu hari nanti akan ada pengganti Fadzli.
“Cari orang baru pun makan masa. Banyak aspek perlu diteliti, bukan sekadar boleh menyanyi tapi kena pastikan personalitinya baik, berakhlak dan komited,” katanya.
Tambah Bazli lagi, menjadi impian UNIC untuk menjadi tapak kepada selebriti Islamik dan pendakwah tanah air dengan menekankan konsep hiburan berpendidikan dalam menghasilkan album.
Dalam perkembangan lain, Bazli memberitahu, UNIC akan tampil dengan album kompilasi, The Greaters Hit UNIC yang dijangka berada di pasaran bulan ini yang bakal memuatkan himpunan single terdahulu dan lagu hit serta sebuah karya baharu berjudul Syamail Muhammadiah sempena Maulidur Rasul yang kebetulan menjadi runut bunyi bagi sebuah program di Astro Oasis.
“Kami juga akan ke Mesir hujung bulan ini kerana menjayakan sebuah konsert bersama-sama pelajar-pelajar Malaysia di sana,” katanya.