MULA menceburi industri lakonan ketika usia awal belasan tahun, menerusi drama popular, Spa Q, pelakon cantik ini semakin meniti puncak populariti.
Sebut sahaja Nelydia Senrose, sudah pasti peminat dapat membayangkan bakat lakonannya dalam drama-drama hits termasuk Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Setia Hujung Nyawa dan Setitis Kasih Darmia.
Di lembaran 2015, Nelydia kini sudah menginjak usia 21 tahun dan akuinya banyak perkara dan pengalaman yang dikutip sepanjang tempoh ini.
"Alhamdulillah, dalam tempoh ini, ianya banyak mengajar saya erti kehidupan. Apa yang berlaku untuk masa-masa lepas akan saya jadikan pengalaman dan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.
"Apa yang boleh saya katakan, ianya berjalan dengan baik dan pengalaman lalu banyak mematangkan saya. Saya gembira dengan kerja saya dan perjuangan dalam industri lakonan akan diteruskan selagi masih ada tawaran. Pada masa sama, saya masih menguruskan
perniagaan dalam bidang kecantikan, Secret of Senrose," katanya yang baharu sahaja memperkenalkan produk minuman kecantikan dan kesihatan itu pada tahun lalu.
Dalam perkembangan seni, pelakon filem Cinderella ini memberitahu dia kini sedang terlibat dalam penggambaran drama adaptasi 26 episod, Pergilah Air Mata, bersama Kamal Adli, Izreen Azminda dan Amar Asyraf.
"Selepas drama ini, saya akan terlibat dalam beberapa pembikinan drama lain di Astro dan TV3. Namun, saya bukan jenis yang 'tapau' kerja. Saya akan menerima tawaran setelah melihat kepada jadual terlebih dahulu," katanya lagi.
Kahwin tahun ini?
Sama seperti pasangan selebriti lain, hubungan cinta antara Nelydia dan Qi Razali juga turut mendapat perhatian daripada golongan masyarakat khususnya peminat. Malah, ada di antara mereka yang tidak sabar untuk melihat pasangan ini ke jinjang pelamin.
Enggan berahsia mengenai hubungan istimewanya itu, Nelydia memberitahu bahawa mereka masih belum membuat perancangan ke arah itu buat masa terdekat ini.
"Memang kami selesa bersama, namun masing-masing memberi ruang untuk mengukuhkan kerjaya. Tambahan pula, dia amat memahami dan tidak terlalu mendesak.
"Buat masa ini, hubungan kami masih berjalan seperti biasa dan sekiranya ada berita gembira, kami akan kongsikan bersama peminat. Insya-ALLAH," jelasnya.