O.N.E ralat tanpa Aziz Satar


ONE NATION EMCEES yang dianggotai oleh Mimi (tengah), Jojo (kiri) dan Jaydee (kanan).

RALAT apabila impian yang dipendam sekian lama tidak kesampaian, One Nation Emcees tidak berpatah arang. Sebaliknya, semangat itu dikumpulkan semula dan direalisasikan menjadi sebuah single baharu berjudul Hoi Ya Hoi. Lagu yang asalnya diilhamkan untuk menampilkan duet bersama Allahyarham Datuk Aziz Satar itu berkecai apabila pelakon filem Seniman Bujang Lapok itu meninggal dunia pada 6 Mei 2014 akibat serangan jantung.

One Nation Emcees (O.N.E) yang dianggotai oleh Mimi, Jojo dan Jaydee pernah menyuarakan hasrat itu kepada Aziz Satar sewaktu terlibat pada majlis anugerah Tribute P. Ramlee di Istana Budaya pada 7 Jun 2013. Seniman legenda itu sendiri sudah menyatakan persetujuan untuk projek single berkenaan.




“Kami bertemu dengan Allahyarham Datuk Aziz Satar pada tahun lalu dan sempat menyuarakan impian untuk berduet dengan beliau. Idea asal untuk single Hoi Ya Hoi sebenarnya dicetuskan oleh beliau. Kami telah bersetuju untuk berkolaborasi dalam klip video lagu ini, namun tidak kesampaian.

“Ketika berita kehilangan beliau disampaikan, kami rasa sangat ralat dan menyesal tidak merakamkan lagu ini lebih awal. Kehilangan itu membuatkan kami mengambil keputusan untuk mempercepatkan proses menyiapkan lagu ini. Apapun, lagu Hoi Ya Hoi merupakan penghargaan dan didedikasikan buat beliau,” ujar Mimi yang ditemui pada majlis pelancaran single Hoi Ya Hoi di Pusat Karaoke Neway, One Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Lagu yang diinspirasi daripada filem Ali Baba Bujang Lapok itu ditulis sendiri oleh ketiga-tiga anggota kumpulan One Nation Emcees dan disuntik sedikit pembaharuan daripada aspek susunan muzik yang lebih segar dan urban. Jika filem asal lagu itu mengisahkan sekumpulan penyamun yang rajin bekerja, begitu juga ilham dan harapan terhadap lagu Hoi Ya Hoi yang sebenarnya sudah dihasilkan sejak dua tahun lalu itu.

Melanjutkan bicara mengenai penghasilan single dan klip video lagu Hoi Ya Hoi, Mimi menjelaskan, proses tersebut mengambil masa yang sangat panjang biarpun tidak menelan belanja besar. One Nation Emcees juga berpuas hati apabila dapat menonjolkan elemen muzik hip hop dalam klip video itu.

“Pada asalnya kami mahu menampilkan lima artis realiti untuk ditampilkan dalam klip video lagu Hoi Ya Hoi, namun akhirnya kami hanya dapat bekerjasama dengan kumpulan tarian breakdance Wakaka Crew dan seorang artis grafiti. Paling penting, kami dapat mengetengahkan seni muzik, tarian dan visual hip hop,” jelasnya.



Klip video lagu Hoi Ya Hoi mengambil masa kira-kira dua hari untuk proses pembikinan manakala proses pengarahan dan suntingan turut melibatkan usaha Mimi sendiri. Lebih puas kata Mimi, apabila penggambaran yang dilakukan sekitar September 2014 itu mendapat sokongan dan bantuan daripada teman rapat dan individu sekeliling yang terlibat.

One Nation Emcees bagaikan sinonim dengan lagu berunsur saduran daripada lagu asal. Kata Mimi, konsep itu adalah formula segar yang senang menangkap emosi pendengar untuk kekal dengan aliran muzik hip hop yang diperjuangkan. Lagu yang dibikin semula daripada lagu-lagu lama itu juga mampu menjadi batu loncatan agar kumpulan yang tertubuh daripada program realiti Gangstarz itu lebih dikenali.

“Boleh dikatakan cara ini menjadi batu loncatan untuk kami lebih dikenali. Sebenarnya One Nation Emcees sentiasa tampil dengan lagu-lagu lama yang diperbaharui dengan susunan muzik segar. Kami suka menghasilkan karya-karya sebegini misalnya dalam lagu Raja Gelek yang pernah menampilkan Datuk M Daud Kilau sebelum ini.

“Kami akan kekal dengan konsep dan formula ini, malah lagu-lagu lama sebenarnya memberikan inspirasi untuk One Nation Emcees terus berkarya,” ujar Mimi lagi yang merancang untuk menerbitkan album ketiga One Nation Emcees pada tahun ini.

Sementara itu, Mimi menegaskan, kumpulan One Nation Emcees masih belum terkubur meskipun tiada sebarang single dikeluarkan sepanjang tahun 2014. Jelas vokalis kumpulan itu, mereka harus menghormati pelbagai peristiwa hitam yang berlaku sepanjang tahun 2014 dan menjaga sensitiviti untuk tidak mengeluarkan sebarang single berentak rancak.

“Sepanjang tahun 2014 One Nation Emcees tidak melahirkan sebarang produk baharu termasuk single. Bukan kami tidak bekerja, tetapi memandangkan negara kita berdepan dengan beberapa tragedi hitam, jadi kami mengambil keputusan untuk tidak melancarkan single rancak kerana faktor sensitiviti. Jadi, kami simpan dahulu lagu-lagu yang difikirkan tidak sesuai untuk dipersembahkan buat seketika.

“Ini bukan soal tiada keyakinan, namun kami sekadar menghormati sensitiviti masyarakat. Tambah pula kami dipilih oleh Malaysia untuk menjadi penghibur, jadi kami perlu mempertimbangkan banyak aspek sebelum membuat sebarang keputusan,” jelas Mimi.



Previous Post Next Post