PENYANYI muda ini telah jauh merantau untuk tiba ke pentas komersial. Menyelak kembali halaman beberapa tahun lalu, dia cuma seorang pelakon remaja yang menghiasi kaca televisyen dan menyanyikan semula beberapa buah lagu nyanyian asal daripada penyanyi terkenal di YouTube.
Peminatnya juga hanya terdiri daripada kanak-kanak belasan tahun yang cuma mengenalinya sebagai Cat, salah sebuah karakter daripada sitkom Victorious dan siri Sam & Cat di saluran Nickelodeon.
Hari ini, penyanyi yang dipuja dengan nama pentas Ariana Grande itu sedang merajai carta lagu dunia dengan album keduanya, My Everything yang mendominasi stor muzik iTunes serta isi putar tertinggi radio. Membesar sebagai figura dalam persekitaran glamor membawa seseorang selebriti itu melalui dua peralihan - berkembang membuka pelbagai peluang dan tuah atau merempuh sempadan realistik, menguburkan semangat dan memadamkan segala impian.
Luncur hidup Ariana Grande-Butera, 21, didorong oleh motivasi untuk menjadi diri sendiri. Wanita muda kelahiran Boca Raton, Florida, Amerika Syarikat itu percaya terhadap perjuangan seninya.
“Muzik ialah perkara paling penting dalam dunia ini bagi saya. Jadi, saya akan menjadi individu yang provokatif apabila perlu dan masih selesa memainkan imej seksi, ceria dan mempesonakan. Bagi saya, fokus utama ialah muzik dan saya gembira dengan setiap halangan yang perlu saya tempuh sepanjang menjadi artis,” ujarnya dalam temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini.
Tambahnya: “Saya fikir ramai yang melihat saya sebagai seorang penyanyi yang comel, walhal saya sebenarnya seorang individu paling sinis yang pernah dikenali.”
Sikap diva
Bersandarkan kilauan bintang yang menerpa dalam kehidupan Ariana selepas single pertama daripada album keduanya, Problem mulai meledak dan mencuri hati pendengar secara global. Pada masa yang masa pula, sikap tidak semenggahnya mula membusung sama naik. Perlahan-lahan fasa itu menjadikan Ariana, si bintang muda yang diisi sikap diva melampau.
Ariana selesa memiliki wajah keanak-anakan, baginya sifat itu satu kelebihan.
Kuat mengomel, cerewet dan berkeras mahu ditatang seperti bayi, meluangkan masa hanya 15 saat untuk bergambar bersama peminat, kemudiannya mengarahkan agar foto-foto tersebut dipadamkan segera, merupakan antara perilaku jelik yang menghiasi peribadi Ariana kini.
Tidak terhenti di situ, dia juga mencipta sengketa dengan beberapa selebriti antarabangsa termasuk yang terbaharu, pengacara karpet merah American Music Awards, Juliana Rancic. Secara sengaja, Ariana membuat onar dan mencuri perhatian kamera ketika berada pada acara berkenaan.
Malah, pelantun lagu Break Free itu juga pernah membatalkan sesi temu bual dan fotografi dengan media Australia pada September lalu gara-gara jurufoto media berkenaan enggan memenuhi permintaannya untuk merakamkan gambar daripada sisi kirinya sahaja.
Permintaan Ariana termasuklah tidak membenarkan fotonya dirakam menggunakan pencahayaan semula jadi ketika penggambaran dan melarang media bertanyakan soalan berkaitan cinta, bekas teman lelaki, Mariah Carey, Justin Bieber dan mendiang datuknya, seorang hartawan yang telah meninggal dunia tahun lepas.
Momen gelap
Anggapan sesetengah pihak, sikapnya itu merupakan letusan daripada rasa kurang percaya dan tidak yakin kepada diri sendiri. Hal itu termasuklah pendiriannya untuk menyarung rambut palsu gaya ponytail dalam setiap persembahan di pentas. Ibaratnya, dia cuba menutup rasa tidak selesa itu dengan imej dan perlakuan jelik di depan khalayak.
“Setiap orang mempunyai rasa kurang yakin diri. Walaupun kita telah berjuang habis-habisan untuk mengatasi perasaan itu dalam hidup dan meletakkan pelbagai pencapaian setiap hari, perasaan itu akan tetap bersisa dalam jiwa. Ia membuatkan kita kecewa sekali gus patah semangat. Saya merasakan, keperluan paling utama pada tempoh ini adalah kasih sayang.
Hubungan cinta Ariana dan Big Sean (kiri) mula dihidu sejak awal Disember lalu.
“Adalah sukar untuk seorang wanita seperti saya berdiri di hadapan orang asing ketika kerjaya sedang berkembang. Rasa kurang berkeyakinan ialah perasaan yang paling sukar untuk saya atasi dan saya fikir, wanita yang seusia saya akan mengalami perasaan sama,” katanya.
Berbicara mengenai cabaran paling sukar untuk diladeni sepanjang kehidupannya, penyanyi yang pernah dilabelkan sebagai Mariah Carey mini itu berkata, detik berpisah dengan bapanya, Edward Butera, adalah momen paling sukar.
“Ia bersifat peribadi namun sejak tahun lalu, saya semakin berenggang dengan bapa sehinggakan saya mengambil satu tempoh masa yang panjang untuk memujuk hati. Hakikatnya, saya ialah sebahagian daripada bapa saya dan banyak ciri menarik tentang saya datang daripada beliau,” tambah Ariana.
Skandal cinta Big Sean
Dalam sebuah temu bual bersama media antarabangsa sebelum ini, Ariana ada berbicara mengenai hubungan cintanya dengan penyanyi rap Big Sean. Katanya, untuk bercerita tentang kisah hati, dia sebenar berdepan dengan konflik dalam diri.
“Saya merasakan saya sedang membesar dan sedar bahawa bukan semua kisah kehidupan peribadi saya boleh dikongsikan kepada semua.
“Pada masa sama, saya seorang individu yang telus dengan peminat. Sekiranya saya memiliki simpanan foto comel yang dirasakan sangat personal, saya pasti mahu berkongsi,” jelasnya.
Hubungan Ariana dan Big Sean, 26, mula dihidu peminatnya sejak kali pertama foto mereka berpegangan tangan di belakang pentas MTV Awards pada awal tahun 2014 tersebar. Mengukuhkan spekulasi itu, Ariana pernah memuat naik poster lagu duet mereka, Best Mistake ke laman sosial Instagramnya pada awal Julai lalu. Kisah mereka berdua kian mekar apabila sering terbabit dalam rangka promosi sejak awal Disember lalu yang membawa kepada pengakuan bahawa mereka sedang bercinta.
Kata Ariana; “Sean adalah rakan lelaki saya yang paling rapat, saya malu untuk mengakuinya tetapi dia seorang yang penyayang!”
Kini, pasangan itu dikhabarkan akan bertunang apabila sumber rapat kepada penyanyi Big Sean mendedahkan, sebentuk cincin khas telah ditempah untuk Ariana. Cincin itu telah dijadikan hadiah istimewa Sean untuk Ariana sempena sambutan Hari Natal pada Disember lalu.
“Sean menghadiahkan Ariana sebentuk cincin pada Hari Natal tempoh hari dan dia mahu membuktikan betapa komitednya hubungan mereka. Tidak dapat dipastikan sama ada Sean telah melamar Ariana untuk berkahwin, namun yang pasti, cincin itu ditempah khas untuk Ariana. Dia (Sean) sangat mencintai Ariana.
“Baru-baru ini, ketika nenek Sean meninggal dunia, Ariana tidak berenggang daripadanya dan detik mendukacitakan itu menjadi pengukuh ikatan cinta mereka. Pasti hidup Sean akan kacau-bilau sekiranya kehilangan Ariana,” lapor satu sumber seperti yang dilaporkan media antarabangsa.