Rita Rudaini ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.
PELAKON Rita Rudaini akan memfailkan permohonan perubahan tuntutan nafkah anak selari dengan keadaan semasa.
Rita Rudaini memaklumkan perkara itu kepada media di perkarangan mahkamah selepas tamat prosiding tuntutan nafkah anak hari ini.
Menurutnya, permohonan itu akan difailkan pada minggu hadapan.
Beliau berkata, jumlah RM3,000 yang perlu dibayar oleh bekas suaminya, Aidil Zafuan mencukupi bagi anak-anaknya yang ketika itu masing-masing berumur 3 dan setahun.
"Ada beberapa tuntutan yang sudah tidak relevan lagi seperti susu dan lampin pakai buang kerana anak-anak sudah besar dan tidak memerlukannya lagi," katanya.
Ujar Rita, kini perbelanjaan anak-anaknya semakin bertambah apabila mereka sudah bersekolah.
"Saya menghantar mereka ke sekolah sejak tahun lepas lagi," katanya.
Beliau berkata, anak- anaknya bersekolah di tadika pada sesi pagi manakala kelas fardhu ain pada sebelah petang.
"Yuran tahunan mereka RM2,090 manakala yuran bulanan adalah RM259 bagi setiap anak," katanya.
Sementara itu, Aidil Zafuan ketika ditemui berkata, dia menerima keputusan itu dengan berlapang dada.
"Keputusan itu menjadi tambahan RM1,000 bagi bayaran nafkah anak yang telah saya beri selama ini setiap bulan iaitu RM2,000," katanya.
Menurutnya, dengan keputusan tersebut, tiada lagi pihak yang pertikaikannya.
Menyentuh soal anak, beliau berkata, masih belum dapat berjumpa dengan mereka.
"Apa pun saya akan berusaha untuk berjumpa dengan mereka. Tidak tahulah jika anak-anak yang enggan berjumpa," katanya.