PENGHUJUNG tahun lalu, bekas vokalis kumpulan Exist ini pernah ditahan pihak polis kerana didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram.
Berkongsi kisah di sebalik tempoh empat hari ditahan reman, Ezad Lazim, 35, mengakui pernah melalui perkara yang sama seperti penyanyi Zamani Slam yang ditahan berkaitan kes dadah dan baharu sahaja dibebaskan atas jaminan polis.
Menurut penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah, ini, dia juga pernah berdepan dengan karenah anggota polis yang menyuruhnya menyanyi semasa ditahan.
“Memang ada yang suruh saya nyanyi masa itu, namun saya tak boleh menyanyi dan tak ada ‘mood’ kerana memikirkan keluarga, isteri dan anak di rumah.
“Mungkin mereka faham keadaan saya ketika itu dan tidak memaksa untuk menyanyi. Mereka juga tidak merakam sebarang video atau gambar ketika itu kerana saya memakai pakaian lokap dan bergari," katanya.
Bagaimanapun, Ezad meluahkan rasa kesal apabila gambarnya ketika sedang disoal siasat di balai tersebar dengan mudah menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mengenai gambar yang tersebar sebelum itu, saya memang tak tahu kerana ia tersebar sebelum saya dimasukkan ke lokap.
"Tetapi sepanjang berada di lokap, saya sering menangis mengenangkan nasib anak yang baharu setahun,” katanya yang memberitahu kes itu bakal disebut semula pada 5 Februari.
Bertanya mengenai rakaman klip video rakan artisnya yang tersebar, Ezad berkata, pihak berkuasa tidak wajar mengambil sebarang gambar atau rakaman orang yang ditahan.
“Mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana menyalahi etika kepolisan.
“Namun, saya yakin, tidak semua yang berperangai begitu, hanya segelintir sahaja. Mungkin mereka teruja mendengar nyanyian secara live,” katanya lagi.