Villa Nabila kutip RM2juta



BIARPUN ditayangkan tanpa promosi besar-besaran, namun filem eksperimental seram pertama arahan Syafiq Yusof, Villa Nabila berjaya menarik penonton untuk ke pawagam.

Buktinya, setelah 10 hari ditayangkan, filem terbitan Viper Studios dan SKOP Productions berjaya mengutip kutipan lebih RM2 juta. Perkara itu disahkan sendiri oleh Syafiq ketika dihubungi Zass.




"Alhamdulillah setakat semalam apa yang saya tahu, filem ini sudah mengutip lebih RM2 juta.

"Apa pun saya bersyukur kerana dalam kemerosotan kutipan filem, Villa Nabila mampu mencatat kutipan sebanyak itu dan saya berharap rakyat Malaysia yang belum menonton akan ke panggung untuk menonton filem ini," katanya.

Tidak menafikan populariti filem itu meningkat dek kejadian histeria di pawagam Tanjong Golden Village Cinemas (TGV) di pusat beli-belah AEON Tebrau, Johor Bahru, Syafiq bagaimanapun menegaskan sekali lagi, ia bukannya strategi pemasaran.

"Demi ALLAH, saya berani bersumpah tidak membayar sesiapa untuk berlakon kononnya terkena histeria. Saya pasti jika saya berbuat sebegitu, tidak akan ada sesiapa yang sanggup mempertaruhkan maruah untuk menjerit-jerit di khalayak.

"Saya sendiri terkejut apabila dikhabarkan mengenai perkara tersebut. Lagipun untuk apa saya bersikap tidak jujur kerana saya yakin, kalau filem itu menepati cita rasa, orang akan ke panggung tanpa perlu dipaksa," katanya.



Previous Post Next Post