Saman penulis novel Syamsul gagal melalui mediasi



KES saman antara penulis novel "Aku Bohsia' Elias Idris terhadap pengarah yang juga pelakon Syamsul Yusuf, Datuk Yusuf Haslam serta syarikat mereka, gagal diselesaikan menerusi proses mediasi.

Prosiding melibatkan dakwaan plagiat novel karya Elias itu didengar dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohammed Hashim hari ini dan ia akan diteruskan menerusi proses perbicaraan.

Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Syamsul memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 6 Februari untuk pengurusan kes.

Di luar mahkamah, Yusuf Haslam berkata pihaknya telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes tersebut namun keengganan Elias menyelesaikan secara baik amat mengecewakan.




"Saya dan anak saya, Syamsul cuba menyelesaikan kes ini di luar mahkamah seperti yang dinasihatkan hakim sebelum ini, namun pihak plaintif menuntut ganti rugi," katanya.

Elias, 63, memfailkan saman terhadap Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Md Yusuf, 31, bapanya Md Yusuf Md Aslam (Yusuf Haslam), 61, dan syarikat Skop Production Sdn Bhd pada 24 November tahun lepas kerana didakwa meniru novel Elias itu dalam filem 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam' yang diterbitkan pada 2009.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Elias mendakwa bahawa beliau menulis novel tersebut pada 1995 menggunakan nama pena Anne Natasha Nita serta pemilik hak cipta terpelihara.

Beliau mendakwa terdapat banyak persamaan dari segi tema, plot, watak dan mesej dalam novel 'Aku Bohsia' dengan filem 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam'.

Elias juga mendakwa bahawa pihaknya telah menulis surat kepada kesemua defendan untuk memaklumkan bahawa hak cipta terpelihara beliau telah dilanggar dan menuntut ganti rugi namun ia tidak diendahkan.

Berikutan itu beliau memfailkan saman dan menuntut satu deklarasi bahawa kesemua defendan telah melanggar hak cipta terpelihara plaintif sebagai penulis asal, memohon injunksi untuk melarang defendan menyiarkan semula filem tersebut dan satu perintah ganti rugi serta faedah.

Sementara itu menerusi pernyataan pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan pihak defendan pada 5 Jan lalu, kesemua defendan menafikan persamaan yang didakwa oleh Elias serta menyatakan bahawa tidak pernah membaca, memiliki atau mendengar mengenai novel tersebut sebelum dan selepas selesai pengambaran filem.

Mereka turut mendakwa bahawa pertama kali memiliki novel itu pada 1 Disember tahun lalu dan daripada pembacaan dan pemahaman, terdapat perbezaan yang ketara daripada tema, plot dan lain-lain.

Dalam tuntutan balas defendan terhadap plaintif, ketiga-tiga defendan mendakwa bahawa plaintif telah menulis kata-kata fitnah di laman blog miliknya pada 16 November tahun lepas.

Defendan mendakwa perkataan fitnah itu ditulis untuk memalukan dan menjatuhkan nama serta reputasi defendan dalam industri filem.

Berikutan itu defendan menuntut satu injunksi menghalang plaintif atau pekerjanya memberikan apa-apa kenyataan lisan atau bertulis kepada media yang merujuk kepada apa-apa peniruan atau persamaan antara novel dan filem terbabit.

Defendan turut menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi am, faedah dan kos.



Previous Post Next Post