SELEPAS berkahwin, isteri Syarif dan Alyph menjadi orang yang lebih memahami kerjaya sebagai penyanyi.
TAHUN ini merupakan tahun pertama buat penyanyi duo, Sleeq melalui satu fasa baharu dalam hidup apabila mereka mengambil keputusan untuk berumah tangga hujung tahun lalu.
Apa yang pasti, mahligai yang dibina sejak beberapa bulan lalu itu kini sedang meniti hari-hari bahagia.
Semestinya, selain kerjaya, fokus utama yang menjadi perhatian dua anak kelahiran Singapura itu ialah perihal institusi kekeluargaan.
Sensasi Bintang minggu ini menemu bual Syarif, 26, dan Alyph, 26, untuk berkongsi pengalaman kisah kehidupan selepas bergelar suami:
Sensasi Bintang: Boleh perkenalkan serba sedikit latar belakang isteri kalian?
SYARIF: Isteri saya, Sharifah Malak Aimana Mahdaly berumur 25 tahun dan bekerja sebagai pereka seni kek, selain menjadi konsultan untuk industri makanan dan minuman.
ALYPH: Saya berkahwin dengan seorang guru, Azzah Fariha, 27, yang mengajar subjek Seni dan bahasa Inggeris. Dia juga terlibat dalam dunia lakonan.
Kalian difahamkan baru pulang daripada berbulan madu. Mungkin ada pengalaman menarik yang ingin dikongsi sewaktu bercuti?
SYARIF: Kami ke Greece selama sembilan hari dan kemudian ke Dubai (enam hari). Ketika itulah saya dapat mengenali isteri dengan lebih dekat. Semua rahsia dan tabiat dirinya terbongkar.
ALYPH: Kami pergi ke Tokyo, Jepun dan ketika itu memang mengujakan apabila dapat merasai suasana salji turun. Sembilan hari di sana dan rasa seperti tak cukup.
Apakah perbezaan rutin hidup seharian paling ketara yang dialami?
SYARIF: Sekarang sudah tak perlu berulang alik hantar dia pulang ke rumahnya lagi. Sekarang lebih senang, minyak pun dapat lebih jimat, telefon bimbit juga sudah jarang digunakan. Kalau nak pergi kerja, ada orang akan uruskan baju, malah setiap hari isteri akan masak.
ALYPH: Walaupun tak ada beza sangat dari segi rutin harian, tetapi saya merasakan bahawa kehidupan menjadi lebih lengkap. Bukan itu sahaja, tanggungjawab juga sudah bertambah.
Bagaimana kalian menguruskan masa antara kerjaya dan menguruskan rumah tangga?
SYARIF: Dia buat bisnes sendiri, jadi masa agak fleksibel. Dia juga adakalanya, mengikut saya ke set lokasi penggambaran. Jadi, apabila ada masa senggang kami akan bercakap mengenai urusan rumah tangga. Lagipun, sekarang kami belum berdepan situasi isteri kena jaga anak di rumah. Mungkin perkara itu akan dilalui pada masa depan.
ALYPH: Alhamdulillah saya dikurniakan sebuah keluarga yang amat memahami situasi dan kedudukan saya. Keluarga Azzah juga banyak memberi sokongan dan itu yang memberi semangat untuk terus bekerja keras.
Sebagai seorang suami, apa pengorbanan dan tanggungjawab paling besar yang dirasai?
SYARIF: Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Sekarang kena fikirkan hati dan perasaan isteri juga.
ALYPH: Sebagai seorang suami, memang kita ada banyak pengorbanan dan tanggungjawab. Ke arah mana kita pergi, itu bergantung kepada nilai hidup yang ada.
Kerjaya anda mungkin menuntut anda sentiasa berjauhan. Apa kata isteri anda mengenainya?
SYARIF: Sekarang ini apabila dia mengikut saya ketika bekerja, dia sendiri dapat lihat bagaimana cara saya bekerja. Sekarang dia lebih faham keadaan dan kenapa saya sebelum ini lambat balas mesej dan selalu sibuk.
ALYPH: Sebelum berkahwin memang sudah terbiasa. Memang tak mudah untuk mencari rezeki sebegini, jadi ini salah satu cabaran yang terpaksa kami hadapi. Sekarang sikit-sikit asyik rindu sahaja.
Apa masakan paling digemari anda yang disediakan oleh isteri?
SYARIF: Aglio olio. Itu masakan sihat yang paling saya suka makan sejak berkenalan dengan dia dahulu.
ALYPH: Kami berdua tak pandai masak, tetapi kita pernah cuba masak goreng kentang dengan telur bersama-sama.
Nama Sleeq semakin mendapat tempat di Malaysia. Ada perancangan untuk menetap di Malaysia?
SYARIF: Saya dan isteri sudah memiliki rumah di Kuala Lumpur. Selepas ini, memang merancang untuk tinggal di sini. Dia juga akan cari peluang untuk kembangkan bisnesnya di Malaysia.
ALYPH: Kita sendiri sudah buat langkah pertama iaitu dengan membawa semua barang ke sini, jadi sekarang tak perlu bawa baju naik turun dari Kuala Lumpur ke Singapura dan sebaliknya. Bagaimanapun, Azzah akan ikut saya apabila kontrak mengajar dia habis dalam tempoh tiga tahun lagi.
Adakah kalian menghasilkan lagu khas untuk isteri?
SYARIF: Memang ada. Kita tulis memang mengenai pengalaman hidup sebenar. Jadi apabila dah berumah tangga, kita sampaikan dalam bentuk lagu. Kalau ada ilham, saya akan hasilkan sebuah lagu.
ALYPH: Dalam album kita ada sebuah lagu bertajuk #1 yang ditujukan kepada isteri. Sebenarnya sebab kebanyakan lagu saya tulis, jadi kalau liriknya untuk seorang wanita, ia biasanya untuk Azzah.
Apa projek terbaharu dan hala tuju Sleeq untuk 2015?
SLEEQ: Tinggal lagu bertajuk #1 single terakhir album kami, sangat teruja untuk lagu ni. Kita akan buat yang terbaik buat penggemar muzik untuk masa akan datang.