Adeline Tsen pilih lelaki romantik


ADELINE tidak berselindung bahawa hatinya dia kini sudah dimiliki.

ALAM percintaan pastinya menjadi pengalaman yang amat menggembirakan buat sesiapa sahaja yang sedang dilamun asmara.

Begitu juga dengan si empunya nama Adeline Tsen, 29, yang sedang menyulam cinta dengan jejaka pilihan hatinya.

Biarpun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai identiti teman lelaki yang sedang bertakhta di hatinya, namun pelakon berketurunan Cina berwajah cantik dan bertubuh langsing itu me­ngakui, dia kini bahagia bersama jejaka pilihannya itu.

Sensasi Bintang sempat menemu ramah Adeline tentang perjalanan kisah cinta yang sedang dibinanya.




Sensasi Bintang: Sebelum ini, Adeline ada menyatakan sedang mengenali hati budi seseorang. Boleh kongsikan siapa gerangan lelaki bertuah yang dimaksudkan itu?

Memang sekarang saya sedang me­ngenali seseorang. Dia merupakan seorang ahli perniagaan. Bagaimanapun, saya terpaksa merahsiakan identitinya kerana hubungan kami masih lagi di peringkat awal perkenalan dan kini sedang mengenali hati budi masing-masing. Apa yang membuatkan saya menerima kehadirannya kerana dia sentiasa menyokong karier seni saya dalam bidang lakonan.

Bilakah anda berkenalan de­ngan ahli perniagaan tersebut?

Sejujurnya kami sudah lama ber­kenalan. Bibit perkenalan kami bermula sewaktu rakan baik saya memperkenalkan kami berdua. Kalau boleh, enggan komen panjang-panjang kerana bimbang pendedahan saya nanti mengundang perasaan kurang selesa khalayak (ketawa).

Sudahkah anda membawa teman lelaki bertemu keluarga?

Ya, saya sudah membawanya bertemu keluarga. Pertemuan itu, okey sahaja. Mereka gembira dan merestui hubungan yang sedang kami bina. Saya harap perhubungan ini berkekalan untuk selamanya.

Jika tidak keberatan, apakah yang membuatkan anda menyukai teman lelaki anda itu?

Dia menepati ciri-ciri lelaki yang saya cari selama ini dan sifatnya yang romantik membuatkan saya selesa bersamanya. Susah nak cari lelaki romantik seperti dia sekarang. Tambahan pula, dia sangat memahami diri serta kerjaya saya yang tidak mengira waktu.

Adakah anda bersedia untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya?

Bagi saya, tumpuan pada kerjaya lebih penting sekarang kerana banyak perkara yang belum dilaksanakan. Lagipun, saya baru sahaja selesai menamatkan pengajian, jadi untuk berfikir soal kahwin itu masih terlalu awal. Berilah saya peluang untuk kecapi sesuatu dalam hidup. Sebenarnya, saya mahu memperkukuhkan kerjaya dalam bidang lakonan dan teringin untuk menggenggam anugerah dalam ka­tegori pelakon wanita terbaik sebelum membawa hubungan ke fasa seterusnya.

Beralih ke aktiviti seni, apakah perkembangan terkini anda?

Saya kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Selipar Jepun Stiletto Merah yang bakal ditayangkan di Hypp Sensasi (Saluran 116).

Selain itu, saya kini dalam perancangan untuk melancarkann single kedua bergenre R&B rap hasil kolaborasi de­ngan penyanyi Caprice tidak lama lagi.

Mengapa anda memilih untuk bergelar penyanyi pula?

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya saya lebih berminat untuk menjadi penyanyi. Bagaimanapun, tawaran lakonan datang dahulu apabila penerbit David Teo melamar saya membintangi filem terbitannya. Sebelum ini, saya pernah melancarkan single pertama berjudul Kau Bagiku.

Lagu hasil inspirasi dan idea sendiri itu hadir ketika saya membayangkan satu perhubungan jarak jauh.




Previous Post Next Post