Syarul Ridzwan: Saya tidak memusuhi wartawan


Syarul tidak gemar menerima lebih tawaran berlakon pada satu masa.

PENGHUJUNG tahun lepas, dunia hiburan tanah air gempar seketika apabila aktor berbakat, Syarul Ridzwan terlibat dalam satu kecelakaan jalan raya di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika itu, kereta Honda City milik Syarul atau nama sebenarnya Mohd. Saharul Ridzwan Hashim yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menjalani penggambaran di Port Dickson, tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik ekoran permukaan jalan licin selepas hujan lebat.

Lebih teruk, timbulnya khabar angin mengatakan Syarul maut gara-gara insiden berkenaan juga tersebar secara meluas di laman sosial, sedangkan dia sebenarnya tidak mengalami sebarang kecederaan.




“Ia memang satu gosip yang paling dahsyat pernah saya alami sejak berkecimpung dalam dunia seni. Alhamdulillah, saya tidak apa-apa dan lebih berhati-hati sekarang,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Perkara yang dikesalkan teraju drama Love You Mr. Arrogant ekoran insiden itu adalah kononnya dia bertelagah dengan wartawan kerana didakwa enggan bekerjasama memberikan sebarang kenyataan ekoran kemalangan tersebut.

“Saya dihubungi oleh seorang wartawan kira-kira 10 minit selepas kejadian dan tidak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya. Dalam keadaan kelam-kabut, perlu membuat perkara lebih penting termasuk menghubungi keluarga.

“Tidak terniat langsung untuk memusuhi wartawan, jadi saya minta maaf sekiranya mengguris perasaan mana-mana pihak,” ungkapnya.

Jarang dikaitkan dengan sebarang gosip sensasi, Syarul mengakui, tidak terkilan seandainya peminat lebih mengenalinya menerusi mana-mana watak yang dilakonkannya.

“Ia satu penghargaan jika peminat lebih mengenali saya menerusi watak, bukan nama sebenar,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26 esok.

Pelakon drama Romi Cinta Julia itu juga tidak terlalu terbuka untuk bercerita mengenai statusnya sama ada masih solo ataupun sudah berpunya.

“Apa yang penting, saya masih bujang dan belum mendirikan rumah tangga,” kata pemuda kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Menyentuh mengenai projek terkini, Syarul menjelaskan, dia kini sedang menjalani penggambaran drama Hati Perempuan arahan Kash Roshan yang dijangka ditayangkan pada Mac depan.

“Saya memegang watak sebagai Tengku Zaril, seorang Ketua Pegawai Eksekutif berjaya. Dia sering memandang rendah kemampuan wanita sehinggalah bertemu Yuhanis (lakonan Mia Ahmad) sebelum pelbagai konflik berlaku antara mereka,” jelasnya.

Selain itu, katanya, dia juga terlibat dalam drama arahan Azma Aizal Yusoof, Puteri Bukan Nama Sebenar.

“Setakat ini, saya hanya akan menerima satu tawaran pada satu masa. Saya lebih gemar fokus satu-persatu,” tuturnya.



Previous Post Next Post