KEITH tidak takut popularitinya merudum selepas berkahwin kelak.
Keith FOO tiba di sebuah banglo terbengkalai di Ampang, Selangor pada petang itu untuk sesi fotografi bersama Sensasi Bintang. Dia yang belum kebah daripada demam menyalin tiga helai baju dan memberikan pose istimewanya.
Selama menemu bualnya, tutur kata pelakon berusia 32 tahun ini lembut dan terbuka. Dia turut membuat temuan mata yang tepat tatkala bercerita tentang kerja mahupun cintanya, Kim Raymond.
Alis kening cantik melindungi pandangan matanya yang tajam. Kadangkala alisnya terangkat berserta kedutan di dahi menunjukkan kesungguhan terhadap bidang kerjaya dan cinta yang bukan mudah laluan baginya.
Dia begitu yakin dengan laluan hidupnya.
Berbekalkan semangat dan cinta, pemilik nama sebenar Foo Chuan Chin ini menjalarkan minat terhadap karier lakonan. Dia yang dikenali sebagai Keith membawa dirinya yang masih ‘hijau’ tentang dunia hiburan ketika itu kepada pembelajaran hidup yang mengajarnya banyak perkara.
Selama 10 tahun pelakon berasal dari Bahau, Negeri Sembilan ini mencuba nasib dalam bidang lakonan di Indonesia.
Selama itu, beberapa deretan filem, Mati Suri (2009), Paku Kuntilanak (2009), Pengantin Pantai Biru (2010), Hantu Budeg (2012) dan Perempuan di Rumah Angker (2012) memekarkan namanya.
Kembali semula ke tanah air, lakonannya dalam drama popular Ariana Rose mencatatkan rating tertinggi bilangan penonton di slot Akasia.
Nama Keith berada pada kedudukan nombor tiga di bawah Felixia Yeap dan Hanez Suraya yang menjadi selebriti paling banyak dicari di enjin carian Google.
Tidak hanya mak cik berusia pertengahan umur, remaja belasan tahun turut gemar menonton siri ini kerana jalan ceritanya menarik.
Watak Tengku Adam yang dibawa Keith membuatkan namanya semakin harum dalam industri.
“Saya sangat bersyukur kerana peminat banyak memberikan sokongan selama ini. Mereka (peminat) beri saya semangat untuk menghasilkan karya lebih bagus pada masa akan datang,” katanya.
Tidak berubah
Apa yang mengagumkan, hanya dalam tempoh kurang dua tahun, Keith sudah membina nama di Malaysia. Bakal muncul dalam beberapa buah drama dan filem, kemunculannya sekali lagi dalam slot Akasia, Dia Isteri Luar Biasa dikatakan bakal meraih sukses serupa dengan Ariana Rose.
Begitulah Keith, tiada perubahan yang terlihat selepas namanya menjadi siulan anak muda. Dia masih merendah diri dan ramah. Senyumnya manis dan ikhlas.
“Saya masih Keith Foo yang sama seperti mula-mula berlakon dahulu. Bagi saya, populariti jatuh nombor dua. Paling penting, saya mahu memberikan lakonan yang terbaik buat peminat.
Sebabnya, peminat yang tengok dan mereka juga yang beri sokongan. Biar apa pun komen positif atau negatif yang mereka berikan, saya akan terima. Dua-dua komen itu bagus untuk saya belajar,” katanya merendah diri.
Secara jujur, dia berasakan dirinya masih belum bagus. Masih banyak perkara yang ingin dicapai termasuk kerjaya lakonan mahupun bisnes restoran, Mezza9 yang sedang diusahakannya bersama abang kekasihnya, Kim.
Keith juga mengakui, dia tidak berseni untuk diri sendiri, sebaliknya mempunyai misi untuk menjadi pelakon lebih bagus pada masa akan datang.
“Sejujurnya, saya rasa diri kurang bagus. Saya masih belum berpuas hati. Banyak benda lagi yang ingin saya capai. Antaranya, menambah cawangan restoran dan menghasilkan karya-karya lebih bagus. Dalam pada itu, saya akui masih banyak benda yang kena belajar. Bagi saya, setiap hari adalah proses pembelajaran.
“Selain berlakon, saya juga fokus pada bisnes restoran. Buat masa ini, ada dua cawangan iaitu di Publika, Kuala Lumpur dan Empire Damansara,” katanya bersemangat.
Kahwin
Mendengar kata-katanya, Keith jelas memperlihatkan kesungguhan terhadap lakonan. Dia tampak seperti sudah kukuh untuk bertempur dalam medan seni.
Dalam bertempur, dia juga tidak memilih senjata. Asalkan ia mampu mematikan lawan, ia sudah mencukupi baginya.
Atas alasan itu juga, Keith mendedahkan, dia turut menerima tawaran berlakon watak ‘cameo’ (penampilan khas).
Bagi dirinya, tiada istilah jatuh standard jika dia menerima watak ‘cameo’ di dalam drama.
“Sekarang, saya tengah berehat dan banyak membuat sesi fotografi dan ‘cameo’ dalam beberapa buah drama. Bagi saya, bukan bererti kita ambil watak ini (cameo) ia menjatuhkan standard kita.
“Ia sebenarnya memberikan kita satu kepuasan dan proses pembelajaran. Lagi pun, saya melihat juga jalan cerita yang ditawarkan. Jika ia bagus, kenapa kita harus menolak,” katanya yang bakal muncul menerusi watak ‘cameo’ dalam drama bersiri 60 episod berjudul Keluarga Karaoke bakal bersiaran di Maya HD (saluran 134) pada 9 Februari ini.
Tidak pernah menyembunyikan perihal cinta bersama Kim, kemesraan bersama wanita bergaya itu jelas dapat dilihat melalui foto-foto yang dikongsikan Keith menerusi laman Instagramnya @keithfoo.
Kecoh dengan berita pertunangan dan dikatakan bakal berkahwin pada tahun ini, Keith juga tidak menolak akan hal itu.
“Perancangan ke arah itu (perkahwinan) memang ada. Tambahan pula, saya kini sudah berusia 32 tahun. Kalau tidak merancang, bila lagi? Tarikh sudah ada tetapi masih dalam perbincangan,” katanya.
Berkongsi mengenai wanita yang dicintainya, kata Keith, dia dan Kim sudah berkawan selama 12 tahun.
Banyak hal Keith yang Kim tahu, begitu juga sebaliknya. Pendek kata, tiada benda yang disembunyikan oleh pasangan ini.