Seni karate warnai Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa


Pelakon utama drama bersiri 26 episod ini dibintangi oleh (dari kiri) Sharnaaz, Hanis dan Shogen.

CUACA panas terik pada petang itu ternyata tidak menghalang sesi penggambaran drama bersiri terbaharu arahan Amor Rizan apabila segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

Menggunakan lokasi di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, Selangor, penggambaran sehari suntuk drama bersiri berjudul Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa berjaya dilakukan dengan jayanya.

Sesi penggambaran bermula sejak pukul 10 pagi itu adalah lanjutan daripada aksi lakonan yang dibuat hampir 50 peratus di Okinawa, Jepun.

Mengangkat seni bela diri karate sebagai warna penceritaan utama, ia satu percubaan berani yang cuba diketengahkan oleh pengarah dan barisan pelakon terlibat.




Kata Amor, selaku penulis skrip dan pengarah drama Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa, dia sengaja menambah elemen aksi seni mempertahankan diri dalam drama arahannya kerana menganggap penonton sering kali dihidangkan dengan elemen kekeluargaan, persahabatan dan percintaan.

“Tidak dapat dinafikan, masyarakat Melayu sebenarnya lebih gemar menonton drama yang sarat dengan elemen kekeluargaan, persahabatan dan percintaan. Jadi, untuk naskhah kali ini, saya cuba selitkan benda baharu yang jarang diketengahkan iaitu elemen karate,” ujar Amor ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Tambahnya, sebab utama dia menerbitkan sebuah karya berkisarkan karate kerana wilayah Okinawa merupakan tempat asal usul seni bela diri tersebut.

“Pada November tahun lalu, kami telah menjalani penggambaran di Okinawa selama sebulan. Kami memilih sukan karate sebagai latar penceritaan kerana wilayah Okinawa merupakan tempat bermulanya seni bela diri ini,” kongsinya.

Membariskan para pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Hanis Zalikha dan pelakon tampan dari Jepun, Shogen, ter­nyata menjadi percaturan hebat kepada Amor membawakan drama itu ke kaca televisyen yang bakal bersiaran di Mustika HD (Astro 134).

Bercerita tentang pemilihan Shogen sebagai teraju utama dalam drama berkenaan, Amor menjelaskan, dia amat berpuas hati dengan mutu lakonan dan komitmen yang diberikan pelakon berusia 36 tahun itu.

“Semuanya bermula apabila syarikat produksi Jepun, Mabuyer telah mencadangkan namanya kepada Double Vision Sdn. Bhd. Melihat portfolio dan pencapaian yang diraihnya dalam dunia lakonan, pihak produksi bersepakat dan bersetuju memilihnya untuk membintangi drama ini. Lagipun, Shogen pernah beberapa kali berlakon di Hollywood.

“Terus terang saya katakan, Shogen memiliki aura tersendiri ketika memegang karakter sebagai Shun yang merupakan seorang jurulatih karate.

“Biarpun dia kelihatan sukar untuk memahami skrip yang sudah ditafsirkan dalam bahasa Jepun, namun saya kagum de­ngan kesungguhannya apabila dia berusaha keras untuk merealisasikan watak yang diberi,” katanya sambil memberitahu, cabaran utama yang dihadapi ketika menjalani penggambaran di Okinawa adalah berdepan cuaca sejuk di wilayah itu.

Naskhah terbitan Motion Pictures Sdn. Bhd. itu mengisahkan Alisa (lakonan Hanis Zalikha) mahu mencari ibu kan­dungnya yang terpisah sekian lama.

Pada suatu hari, Alisa nekad menyertai latihan seni mempertahankan diri karate kerana dia diberitahu, ibunya merupakan seorang juara dalam bidang tersebut.

Biarpun tinggal bersama bapanya, Amran, namun dia tidak pernah diberitahu mengenai sejarah silam antara bapa dan ibunya. Sehinggalah rahsia tersebut terbongkar sedikit demi sedikit apabila Alisa telah menyelamatkan seorang lelaki bernama Rykal (Sharnaaz Ahmad).

Rykal adalah anak kepada Datuk Sherry yang juga merupakan kawan baik kepada Amran. Sejak itu, Datuk Sherry mendedahkan cerita mengenai ibu kandung Alisa yang masih belum ditemuinya.

Sewaktu Alisa dihantar ke Okinawa untuk menjalani latihan karate, dia telah berkenalan dengan seorang jurulatih bernama Shun (lakonan Shogen).

Secara tidak sengaja, dia menaruh hati kepada jejaka tersebut sehinggakan mempunyai musuh bernama Riana.

Tanpa disedari, Alisa mendapati salah seorang daripada mereka merupakan adik-beradiknya.

Bagi Hanis yang berperanan sebagai pelakon utama dalam drama bersiri 26 episod itu mengakui, sukar untuk mempelajari teknik karate.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana teman lelakinya, Hairul Azreen banyak membantu sebelum dia berlepas ke Okinawa untuk memulakan penggambaran.

“Sebelum ke Okinawa, saya menjalani latihan dengan jurulatih khas. Alhamdulillah, sepanjang mempelajari teknik seni mempertahankan diri, semuanya berjalan lancar. Lagipun sebelum ini, saya pernah membintangi drama aksi. Jadi, banyak teknik asas yang sudah saya tahu.

“Selain itu, Hairul juga ba­nyak mem­­­bantu saya mem­pelajari selok-belok seni ini. Biarpun dia lebih mahir dalam sukan taekwondo, namun dia cuba sedaya upaya mengajar saya teknik pergerakan karate sebelum berlepas ke Okinawa,” kongsinya.

Tambah Hanis, antara cabaran terpaksa diharungi­ ketika berada di lokasi penggambaran adalah keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Penggambaran banyak yang tergendala disebabkan cuaca sejuk. Bayangkan, saya terpaksa memakai baju karate sepanjang sesi penggambaran dengan suhu mencecah tujuh darjah Celsius.

“Selain itu, masalah komunikasi juga antara cabaran yang saya hadapi ketika berada di Oki­nawa. Apa tidaknya, ketika di sana, kami bekerjasama dengan kru produksi Jepun.

“Jadi sukar untuk saya berkomunikasi dengan mereka. Apapun, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan tidak jatuh sakit sepanjang berada di sana,” katanya.

Berbeza pula kisah pelakon Sharnaaz Ahmad yang sering kali ditawarkan watak antagonis dalam setiap lakonannya.

Biarpun kali ini memegang karakter baik, namun Sharnaaz mengakui rindu untuk kembali memegang karakter jahat yang menjadi ‘makanannya’ sejak membintangi drama Juvana.

“Sejujurnya, saya kurang berminat untuk membawakan karakter baik. Mungkin ini adalah drama terakhir saya memegang watak baik. Saya mahu berehat seketika bagi memberi fokus terhadap tawaran watak antagonis pula.

“Saya lebih suka memegang watak antagonis kerana ia boleh dikembangkan dengan kreatif. Lagipun penerimaan khala­yak terhadap watak antagonis berbeza. Mereka seakan lebih terkesan ketika saya memegang karakter jahat,” kongsinya yang mengagumi bakat lakonan yang dimiliki aktor Shogen.

Bercakap mengenai gandingannya bersama Shogen, kata Sharnaaz, dia terhutang budi dengan jejaka tersebut kerana banyak memberi tunjuk ajar sepanjang sesi penggambaran dijalankan.

“Shogen seorang pelakon yang hebat dan sangat komited dengan kerja. Sepanjang sesi penggambaran berlangsung, dia tidak pernah kedekut ilmu, bahkan banyak mengajar dan membantu pelakon lain,” ujarnya.



Previous Post Next Post