Status isteri, ibu lengkapkan hidup Fasha



PERKAHWINAN dengan Jejai membuatkan Fasha terhindar daripada kontroversi.

Genap dua bulan melahirkan anak keduanya, Putri Raysha Jemaima, aktres Fasha Sandha kelihatan anggun ketika hadir bersama suaminya, Rizal Ashram Ramli, 39, ke majlis tayangan filem Suamiku, Encik Perfect 10! anjuran program Hlive dan radio Era di TGV, KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun tampil serba ringkas, Fasha tetap menjadi perhatian media pada majlis tersebut, sementelah itu merupakan kemunculan pertama kalinya pada majlis hiburan selepas melahirkan anak.

Dia masih Fasha yang sama. Mesra dan tidak lokek dengan senyuman. Hanya bezanya, hari ini dia tampil jauh lebih matang dan mementingkan keluarga berbanding kerjaya dan populariti sebagai pelakon.

Justeru, tidak hairanlah Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 31, yang sebelum mendirikan rumah tangga pernah digelar ratu kontroversi dunia hiburan tempatan, kini lebih selesa menjalani kehidupan serba sederhana sebagai isteri dan seorang ibu kepada Putra Rayfal Ramli, setahun sembilan bulan dan Putri Raysha Jemaima, dua bulan.




“Kehadiran anak-anak kami, Rayfal dan Raysha melengkapi kehidupan saya. Tiada yang lebih penting dan diinginkan daripada keluarga yang saya ada hari ini. Apabila saya menjadi ibu kepada dua orang anak, kehidupan saya berubah.

“Setiap hari, perkara penting dalam hidup saya ialah menguruskan anak-anak dan suami. Perkara yang lain sudah jatuh nombor dua. Walaupun penat untuk menjaga dua orang anak tetapi semua itu berbaloi. Saya bersyukur dengan rezeki Allah yang diberikan kepada saya sekeluarga,” ujar Fasha.

Peralihan kehidupannya itu sekali gus menghapus kisah kontroversi Fasha. Dia kini tidak lagi terdedah dengan ‘serangan’ sensasi seperti sebelum berkahwin.

Katanya, kesibukan kerja dan tugas sebagai ibu menyebabkan dia tiada masa untuk mengambil peduli hal remeh-temeh atau kontroversi yang melingkari kehidupannya.

“Saya sudah cukup sibuk dengan kehidupan berkeluarga, jadi memang tiada masa untuk ambil tahu tentang hal remeh yang lain. Laman Instagram saya juga penuh dengan gambar anak sahaja, tidak terfikir untuk mencetuskan sebarang status yang boleh menyebabkan kontroversi.

“Saya akui, mungkin dahulu kerana darah muda, jadi pantas sahaja mencetuskan kontroversi secara sengaja atau tidak. Namun sekarang tidak lagi. Banyak lagi perkara lain yang harus saya fikir selain kontroversi atau populariti kerana keutamaan saya hanyalah keluarga,” tegas aktres cantik itu.

Apabila disoal tentang perubahan kehidupannya sejak kehadiran anak perempuannya, kata Fasha, kehadiran Raysha menyebab rutin hariannya sedikit berubah, begitu juga dengan Rayfal yang masih belum boleh menerima sepenuhnya kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka.

“Saya bertambah sibuk, jika sebelum ini hanya uruskan seorang anak tetapi sekarang dua orang. Rayfal masih kecil dan cemburu apabila perhatian diberikan kepada adiknya sahaja. Jadi, sebagai ibu saya akan beri lebih perhatian kepadanya supaya dia tidak rasa terpinggir atau cemburu dengan Raysha.

“Walaupun begitu, sebagai abang, dia tetap sayangkan adiknya. Saya cukup seronok menjadi ibu, terutamanya apabila Rayfal mula memanggil saya dengan perkataan ibu dengan jelas buat pertama kalinya baru-baru ini. Saya gembira dan pada masa yang sama sebak. Siapa yang sudah menjadi ibu akan faham perasaan saya,” tuturnya lagi.

Selepas memiliki dua orang anak, Fasha memberitahu, dia akan berehat buat sementara waktu sebelum menambah bilangan ahli keluarga. Akuinya, dia mungkin mengambil masa yang lama untuk memperoleh anak ketiga selepas ini.

“Lambat lagi untuk saya hamil semula selepas ini. Biarlah saya berehat dan membesarkan dua orang anak terlebih dahulu. Saya tidak menolak andai diberi rezeki, tetapi buat masa terdekat ini, saya ingin beri tumpuan kepada Rayfal dan Raysha sebelum menambah bilangan ahli keluarga,” terangnya.

Sekat publisiti anak

Jika selebriti lain dilihat cukup terbuka untuk anak kecil mereka menjalani kehidupan penuh glamor dan menjadi selebriti kecil, lain pula pendapat Fasha dan suaminya yang menyekat publisiti dua anak kecil mereka.


PUTRI RAYSHA JEMAIMA buah hati kedua Fasha.

Selaku seorang selebriti, Fasha sedar publisiti untuk kedua-dua anaknya hadir secara automatik apabila mereka lahir ke dunia kerana status selebriti yang dipegang Fasha. Bagaimanapun, jika boleh dia mahu menyekat publisiti tersebut kerana menyifatkan anaknya masih terlalu kecil untuk menjalani sesi fotografi atau penggambaran iklan.

“Demi menghormati permintaan suami, saya memang meletakkan batasan untuk publisiti anak-anak. Pada hemat suami, anak kami, terutamanya Raysha masih terlalu kecil untuk menjalani sesi fotografi atau penggambaran iklan. Saya sendiri mempunyai pendapat serupa, cukuplah dengan gambarnya yang saya letak di laman Instagram untuk tatapan peminat.

“Saya percaya setiap ibu-bapa mempunyai acuan mereka sendiri untuk membesarkan anak masing-masing. Saya tidak boleh komen tentang publisiti terhadap anak kecil selebriti lain kerana itu hak masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, puteri kecil Fasha kini menjadi duta kepada produk kecantikan miliknya sendiri di bawah jenama Jemyma. Ujar wanita itu, memadai anaknya menjadi duta produk perniagaannya sendiri.

“Sekarang Raysha menjadi wajah kepada produk perniagaan kecantikan yang baru saya ceburi. Cukuplah wajahnya selalu dilihat di Instagram dan produk Jemyma,” tuturnya lagi.

Disoal mengapakah dia mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan kecantikan sedangkan sebelum ini Fasha sudah pun memiliki sebuah salon rambut yang diberi nama Chinta yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, jelasnya, dia memang suka meneroka sesuatu yang baharu.

Malah akuinya, dunia perniagaan adalah dunia yang akan menjadi bekalan ekonominya pada masa depan selepas dia mengucapkan selamat tinggal kepada bidang lakonan kelak.

Jelasnya: “Saya tidak akan berlakon sampai tua, jadi perlu ada persediaan. Saya jenis yang tidak boleh duduk diam walaupun tidak bekerja, jadi saya harus lakukan sesuatu. Ini hanya permulaan dan jika tiada aral melintang, saya akan mengadakan majlis pelancaran produk Jemyma yang memasarkan gincu bibir, jus kesihatan dan kolegen dalam masa terdekat ini.”

Masih berlakon

Beralih bicara kepada kerjaya lakonannya, akui Fasha, dia tetap dihujani tawaran lakonan meskipun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak. Sebaik sahaja tamat tempoh berpantang selama 44 hari baru-baru ini, Fasha telah memasuki set penggambaran drama Tentang Hati untuk siaran RTM, manakala pada bulan Mac depan, Fasha akan menyambung penggambaran sekuel kedua drama tersebut.

“Alhamdulillah, walaupun sudah berstatus ibu anak dua, tawaran lakonan masih seperti biasa. Malah, saya menerima banyak tawaran berlakon biar pun sedang dalam fasa berpantang tempoh hari.

“Hanya sebagai ibu anak dua, saya akui agak memilih kerana komitmen kerja agak terbatas kerana saya akan memberi keutamaan buat dua orang anak saya,” jelasnya yang sedang menunggu skrip filem Anak Mami Nasi Kandar arahan Datuk Profesor Razak Mohaideen untuk diteliti.

Kehidupannya yang stabil pada hari ini sebenarnya membolehkan Fasha untuk tidak lagi berlakon. Mengakui hakikat itu, Fasha menjelaskan, dunia lakonan sudah sebati dengan jiwanya. Status ibu kepada dua orang anak tidak memadamkan cintanya pada dunia lakonan, ditambah dengan kepercayaan yang diberikan pihak penerbit menyebabkan dia masih ligat berlakon sehingga kini.

Katanya: “Suami tidak kisah saya berlakon kerana dia tahu saya sudah matang untuk membuat keputusan. Sebagai isteri dan ibu, saya tahu batas-batas dan tanggungjawab yang harus saya jaga. Saya juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat apabila menerima tawaran lakonan.

“Selagi rezeki lakonan masih ada dan peminat masih ingin melihat wajah saya, sudah pasti saya akan terus berlakon. Belum ada niat untuk bersara daripada dunia lakonan buat masa terdekat ini.”



Previous Post Next Post