Tuah Daqmie menang besar ANI2014



ANUGERAH Nasyid IKIM FM (ANI2014) memperlihatkan kemenangan berganda buat penasyid Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap.

Dalam anugerah berprestij itu, Daqmie menerusi lagu nyanyiannya, Tangis Sebatang Tamar berjaya menggondol Juara Nasyid Terbaik, Vokal Terbaik dan Lirik Terbaik.

Lebih manis, lagunya itu turut menjadi pilihan sebagai Lagu Paling Banyak Menjadi Juara Carta IKIM.

Dengan kemenangan itu, Daqmie berjaya membawa pulang wang tunai RM17,000 berserta pakej umrah, penapis air kalsium berkolagen, baucar buku dan trofi yang kesemuanya bernilai RM45,000.




“Alhamdulillah, ini semua rezeki. Saya tidak mampu untuk berkata-kata. Insya-ALLAH, saya berhajat untuk berkongsi hadiah kemenangan ini dengan kumpulan produksi yang selalu memberi sokongan padu kepada saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas penyampaian anugerah berkenaan, kelmarin.

Naib juara pula menjadi milik kumpulan UNIC menerusi lagu Seiring Sehaluan dan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta hadiah bernilai RM30,000 iaitu pakej umrah, penapis air kalsium berkolagen, baucar buku dan trofi.

“Alhamdulillah, pertama sekali syukur kepada ALLAH SWT kerana kami tidak sangka akan berjaya sehingga ke tahap ini.

“Begitu pun, apa yang kami lihat penganjuran anugerah ini merupakan satu penanda aras baharu bagi industri nasyid,” katanya.

Penyanyi popular, Hafiz Hamidun pula terpaksa berpuas hati apabila hanya berada di tempat ketiga menerusi lagunya Kasih Padamu sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta hadiah sampingan iaitu pakej umrah, pakej penginapan hotel, baucer buku dan trofi bernilai RM20,000.

Bagaimanapun, Hafiz turut memenangi tiga trofi pilihan pendengar IKIM FM iaitu Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta dan Lagu Pilihan Pendengar menerusi lagu Kasih Padamu selain Artis Solo Pilihan Pendengar.

“Saya tak sangka akan menang sementelahan lagi saya agak sibuk apabila terpaksa berulang-alik ke Kelantan kerana terlibat dengan misi bantuan banjir.

“Tapi, apa-apapun, saya percaya, jika kita melakukannya dengan ikhlas, Insya-ALLAH pasti berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh Datuk AC Mizal dan Mawi menerusi lagu Al Haq Yang Satu.

Artis Baru Terbaik pula dimenangi oleh kumpulan Du’a dan Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dimenangi oleh Nowseeheart.

Semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 serta trofi dan baucer buku bernilai RM1,000.

ANI2014 dihoskan oleh Amin Idris dan Heliza Helmi.

Ia berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin dan dipancarkan secara langsung menerusi stesen radio IKIMfm dan TV AlHijrah (saluran 114).

Sebelum itu, penyanyi terkenal Datuk Hattan dan Tomok tampil mengadakan persembahan pembukaan menerusi lagu Kau Yang Satu dan Bila Tiba.

Antara artis undangan lain adalah Alif Satar, Hazama dan Noh Salleh.

Selepas sedekad, edisi ketiga ANI2014 terus dianjurkan bertujuan menyemarakkan lagi persada industri nasyid tanah air.

SENARAI KEPUTUSAN PENUH ANI2014
A) Lagu Terbaik
1) Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)
2) Seiring Sehaluan (UNIC)
3) Kasih PadaMu (Hafiz Hamidun)
B) Lirik Terbaik - Tangis Sebatang Tamar (Ito Lara)
C) Persembahan Terbaik - Al Haq Kau Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal)
D) Vokal Terbaik - Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)
E) Lagu Paling Banyak Menjadi Juara Carta IKIM - Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)
F) Lagu Paling Lama Bertahan Carta IKIM - Kasih PadaMu (Hafiz Hamidun)
G) Artis Baru Nasyid Terbaik - Du’a
H) Artis Solo Pilihan Pendengar - Hafiz Hamidun
I) Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar - Nowseeheart
J) Nasyid Pilihan Pendengar - Kasih PadaMu (Hafiz Hamidun)



Previous Post Next Post