
Joe Flizzow & SonaOne
PERNAH kecewa apabila muzik yang diperjuangkan dianaktirikan, namun itu bukanlah alasan buat penyanyi rap dan komposer Joe Flizzow terus mengalah.
Ternyata kerja kerasnya mengubah persepsi masyarakat terhadap muzik hip hop berbaloi apabila karyanya dinobatkan sebagai juara AJL 29.
“Alhamdulillah, kemenangan kali ini adalah untuk muzik hip hop. Sebenarnya kalau diikutkan, Apa Khabar bukanlah lagu pilihan untuk dimasukkan dalam album Havoc kerana lagu ini terlalu bersifat peribadi.
“Lebih kurang enam tahun saya lari daripada menjawab pertanyaan mengenai topik yang melibatkan Too Phat. Ketika itu saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu mengawal situasi tersebut.
“Tapi setelah sekian lama, masih ramai yang mengharap kemunculan Too Phat dan pada masa yang sama mereka masih menyokong karier solo saya, jadi inilah cara saya meluahkan isi hati untuk dikongsi bersama peminat yang tidak pernah jemu menyokong kami,” katanya penuh teruja.
Pada masa yang sama, SonaOne yang bertindak sebagai komposer lagu tersebut juga bangga kerana masyarakat mula menerima muzik yang diperjuangkan oleh mereka.
“Saya memang tidak sangka malam ini kami berjaya bergelar juara. Selama ini memang kami buat yang terbaik dan cuba beri fokus sepenuhnya untuk menonjolkan muzik hip hop.
“Sekarang muzik ini telah diterima dengan baik oleh pelbagai lapisan masyarakat dan apa yang boleh dikatakan, selepas ini kami akan bekerja lebih kuat,” katanya.