Wanita Gemar Beremosi Punca Kilauan Emasi Didominasi Peserta Lelaki


Barisan juri yang bakal menjayakan ujibakat Kilauan Emas Musim Kelima

Peserta wanita yang kerap beremosi dan hilang kekuatan mental antara punca program realiti Kilauan Emas kebanyakannya didominasi peserta lelaki.

Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris berkata, perkara tersebut sering kali menjadi kekangan kepada pihak produksi untuk memberi peluang sama rata terhadap peserta bertanding dalam program tersebut.




"Misi kita kali ini untuk mencari lebih ramai peserta wanita yang berkualiti dan mampu bertanding dalam program Kilauan Emas Musim Kelima.

"Ia bukan kerana kekurangan peserta wanita yang datang hadiri uji bakat, sebaliknya mereka menarik diri selepas terpilih. Ia kerana tidak tahan dengan latihan yang perlu dilakukan serta cepat beremosi," ujarnya pada mStar Online, di sini, Khamis.

Namanzee berkata demikian pada sidang media dan taklimat bagi program Kilauan Emas Musim Kelima yang bakal mengadakan uji bakat bermula 31 Januari ini.

Kilauan Emas Musim Kelima ini juga menggunakan khidmat empat nama besar dalam industri seni tanah air iaitu Datuk Hattan, Ayai (Ilusi), Siti Hajar dan Syafizawati Sharif atau Shafi sebagai juri tetap pada uji bakat tersebut.

Namanzee berkata, pihaknya mencari peserta yang bukan sahaja bersuara sedap tetapi juga mempunyai daya saing serta boleh mengawal tekanan.

Sementara itu tambahnya, program ini masih mengekalkan format asal yang terbuka kepada warganegara Malaysia dan Singapura, berumur 40 tahun ke atas.

Dalam pada itu, ditanya tentang lokasi pertandingan yang sebelum ini pernah berlaku kekecohan akibat tempat tidak mencukupi katanya, ia masih dalam perbincangan.

"Kita masih dalam perbincangan tentang lokasi kerana tidak mahu perkara seperti kekecohan timbul akibat tempat tidak mencukupi.

"Kita juga merancang menyediakan kemudahan di luar lokasi pertandingan bagi mereka yang gagal mendapat tempat.

"Kami juga sedang memikirkan sama ada untuk menjual tiket atau tidak kerana jika ia dijual lebih mudah penonton dikawal berbanding mengedarkan secara percuma," ujarnya.

Uji bakat akan diadakan di enam buah lokasi seluruh Malaysia bermula di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Januari ini dan The Hills Shopping Mall, Kuching, Sarawak (7 Februari).

Bagi peserta di Pahang uji bakat akan diadakan pada 21 Februari di Berjaya Megamall, Kuantan diikuti Berjaya Watarfront Mall, Johor (28 Februari), Megamal Pinang, Sebarang Prai, Pulau Pinang (7 Mac) dan Summit USJ Shopping Complex, Subang Jaya, Selangor (14 dan 15 Mac).



Previous Post Next Post