Pelakon dan pelawak Zizan Razak mengesahkan percintaannya dengan aktres Emma Maembong sudah kembali pulih selepas dilaporkan putus pada awal bulan lalu.
Namun, Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 31, berkata, dia enggan berkongsi lanjut perkara itu kerana bimbang ia boleh mengeruhkan keadaan.
"Saya tidak mahu kongsi tentang perkara itu kerana bagi saya ia sudah selesai, kami sudah kembali bersama dan ia tidak perlu diperbesarkan lagi.
"Saya hanya harap yang terbaik dan minta semua peminat mendoakan kami. Sekarang masa saya untuk beri perhatian kepada kerjaya," ujarnya kepada Artis Meletop.
Zizan ditemui selepas pelancaran program Projek Ceria di Wad Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, Selasa.
Dalam pada itu, ditanya adakah isu saman melibatkan dia dan bekas pengurus membabitkan tuntutan melebihi RM500,000 mempengaruhi percintaannya, Zizan memberitahu tidak mencampurkan urusan peribadi dan kerjaya.
Konflik hubungan Emma Maembong dan Zizan Razak masih menjadi tanda tanya.
Dia mengakui, biarpun kadang-kala berasa tertekan, namun dia perlu mengawal keadaan itu agar sentiasa kelihatan ceria di hadapan orang ramai.
"Kadang kala tertekan juga tetapi saya tidak boleh tunjukan perasaan itu kepada orang ramai yang mahu melihat saya gembira.
"Saya tidak boleh campurkan urusan peribadi dengan kerjaya," ujarnya.
Sementara itu, mengenai Projek Ceria, Zizan merupakan salah seorang selebriti terpilih untuk menunaikan impian kanak-kanak yang ingin bertemu dengannya.
Dalam program lima episod itu, Zizan bakal membuat kejutan dengan hadir ke rumah dua orang kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik.
"Ketika dipelawa untuk terlibat dengan program ini saya sangat berbesar hati kerana saya dapat membuat mereka tersenyum walaupun dalam keadaan mereka sakit.
"Sedikit sebanyak rasa gembira itu mengurangkan dan menjadi penawar penyakit mereka," ujarnya.
Tambah Zizan, dia sering melakukan aktiviti ini bukan sahaja melalui program sebaliknya datang sendiri menziarahi kanak-kanak kurang bernasib baik.
Dia juga pernah ditahan kerana disyaki melakukan penggambaran tanpa kebenaran pihak hospital sedangkan kunjungannya adalah untuk melawat mereka.
"Bukan untuk program ini sahaja tetapi saya sering datang sendiri melawat mereka di hospital.
"Ada satu ketika saya ditahan dan dihalang masuk kerana mereka fikir saya ingin mengadakan pengambaran tanpa memberitahu pihak hospital terlebih dahulu," ujarnya.
Program Projek Ceria akan mula disiarkan setiap hari Jumaat, pukul 7 malam bermula 30 Januari ini menerusi saluran Astro Ceria (611).
Antara artis yang turut terlibat ialah Datuk Aznil Nawawi, Hafiz Suip, Lisa Surihani dan Shahrol (Shiro).